Wednesday, November 7, 2012

Mampukah

Mampukah
Menjadi seperti anak-anak kecil
Tidak menyimpan dendam ketika peribadi diserang

Mampukah
Menjadi seperti anak-anak kecil
Tidak berprasangka kepada yang berkata-kata
Diam sebaik kita tiba


Mampukah
Pada usia ini menganggap gurisan perasaan
Hanya secebis sampah kecil
Yang akan dibawa air lalu tika hujan lebat
Atau
Menjadi parut luka
Yang ada  di dada sampai bila-bila
Mampukah aku Ya Allah…

Monday, November 5, 2012

Lintah - Satu Catatan

Aku santai-santai sambil menikmati hujan renyai di luar. Bunyi titisan hujan menimpa bumbung zink membangkit bingit. Panggilan telefon aku tamatkan sebaik sahaja rakan aku yang juga jiran sampai di hadapan rumah. Dia menolakkan motornya sehingga melepasi hujan. Kemudian duduk pada kerusi plastik berwarna putih yang sudah usang (tidak lagi putih). Bersembang dan tahulah dia baru pulang daripada menabur baja di bendang. Bercerita tentang beberapa topik dan semuanya menjurus kepada pertanian. Kaitan tentang baja (juga kes curi baja), racun ulat, baja penggalak buah, dan akhirnya dia menunjukkan dua ekor lintah pada betis dan tulang kering (bukan aurat  bagi lelaki). Saiz lintah yang kecil itu dibiarkan menikmati keenakan darah dibetis sehingga memboyot. Terasa kenyal apabila dipegang dan ditekan. Gigitan pada isi betis memang kuat dan tidak jatuh apabila digoyang. Soalan : Pada bahagian mana mulut lintah ini? Atas atau bawah? Selepas kenyang dan hampir gugur dari betisnya, rakanku membawa semula ke sawah untuk dikembalikan ke habitat asal, iaitu bendangnya...

Monday, October 22, 2012

RM450.00 - Sebuah Catatan

RM450.00. Banyak atau sikit? Bagi yang ada duit dia kata sikit. Bagi yang tidak ada duit, nilai ini sangat besar. Duit anda banyak atau sikit? Jawab sendiri-sendiri, orang lain tidak tahu. Al kisahnya, hari Sabtu 20/10/2012, aku mendepositkan wang sejumlah yang dinyatakan. Setelah beberapa kali mencuba, RM350 sahaja yang masuk, RM100 masih ditolak mesin deposit itu. Aku cuba lagi. Cuba lagi. Usaha tangga kejayaan. Akhirnya, semua RM450 masuk tapi mesin tergendala, sangkut. Seketika setelah berbunyi keruk kerak, keruk kerak, keluarlah resit yang ada nombor akaun yang hendak dideposit, lokasi, masa, tarikh, dan nombor CDM ID. Di bawah resit tercatat DEPOSITORY ERROR, PLS CONTACT BRANCH TO CHECK YOUR A/C.
Huh... dugaan lagi. Hari Sabtu, bank tidak beroperasi, Ahad tutup lagi. Tunggu Isnin. Aku ke cawangan lain dan membuat laporan. Mulanya risau juga kalau-kalau kena pergi semula ke tempat wang sangkut itu. Alhamdulillah, laporan boleh dibuat di mana-mana cawangan, dan boleh semak baki dalam masa tiga hari kerja. Andainya perlu semula ke tempat sangkut, tentu perlu korbankan masa lagi. Apa-apa pun Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak bank kerana prosedur untuk menyelesaikan masalah ini begitu mudah. Tunggu dulu tiga hari. Terima kasih CIMB.




Sunday, October 21, 2012

Mini Cerpen - Sampai Hati

"Tergamak kau buat macam tu," tingkah Syed sebaik dia tahu tindakan Zaid. "Aku tak ada pilihan Syed. Apa lagi pilihan yang aku ada," balas Zaid setelah ditegur Syed. Syed memerhati dengan pandangan kosong. Zaid juga nampak tidak kesal dengan tindakan yang diambilnya.
"Kau memang tak mengenang jasa!" Syed menyerang lagi. Zaid tidak menjawab. Tangannya mencapai kacang bersalut tepung dan memasukkan ke dalam mulutnya. Mengunyah, mengunyah dan menelan kacang tepung yang sudah hancur itu.
"Bukan aku tak mengenang jasa tapi aku terpaksa, kau faham tak. Aku terpaksa." "Ahh.. alasan yang sengaja dicipta." "Kau katalah apa-apa yang kau suka. Bila kena batang hidung kau baru kau tahu." Syed menjeling. Zaid tetap bersahaja.Seolah-olah hatinya sudah nekad. Keras dan keras hati. Mengunyah lagi kacang yang berada di dalam mulutnya. "Kau nak kacang?" "Tak nak, nanti angin." Syed mula menunjukkan senyum. Zaid bersahaja lagi.
Syed teringatkan cerita petang tadi. Bersama-sama dengan Zaid  ke bank untuk memasukkan wang ke dalam akaun adik Zaid. Sewaktu Zaid memasukkan wang ke dalam mesin automatik itu, dicubanya beberapa kali, tapi masih tersangkut. Tiba-tiba mesin deposit wang  itu tergendala operasinya. "Maaf, mesin ini tergendala. Sila hubungi pihak bank." Waktu sudah petang, bank sudah tutup, pegawai bank pun sudah balik rumah masing-masing. Siapa yang boleh dihubungi?
"Inilah kelemahan berurusan  dengan mesin. Ikut suka dia saja. Dia tergendala, masalahnya kita," Zaid meluahkan rasa kesal. Apatah lagi itulah kali pertama menggunakan mesin deposit tunai. Selalunya Zaid memindahkan wang terus dari dalam akaun. Dugaan, dugaan. Benarlah dugaan datang dalam pelbagai bentuk. Semuanya menguji kesabaran kita. Jadi jalan yang terbaik ialah sabar, sabar. Bukankah sabar itu sebahagian daripada iman.
"Tunggu bank buka esok," cadang Syed. "Esok Ahad. Bank tutup lagi," jawab Zaid. "Dugaan lagi," getus Zaid di dalam hati. Tidak mungkin Zaid sanggup tunggu sehingga Isnin. "Nanti kau ke cawangan sana, tanya macam mana nak uruskan perkara ni. Kita dah nak balik." 
"Ya la... Aku pun tak nak tunggu sini." Mereka berdua bergerak menuju ke pekan dengan berjalan kaki. Lagi pun tidak sejauh mana. "Kita beli sikit-sikit sudah, nanti susah nak bawa," cadang Zaid. "Susah apanya, teksi yang bawa. Bukan kena heret sepanjang jalan," balas Syed. "Ya, aku setuju. Jadi belilah selagi kita mampu membayar." "Haa, bijak, memang bijak." Bijak menghabiskan yang ada." Mereka berdua ketawa dan masuk ke kedai menjual coklat dan beg. Syed sibuk mencari coklat kegemaran. Zaid membelek beg yang dipamerkan di kaki lima kedai. Teringin hendak membeli beg baru. Syed membayar nilai coklat yang dibeli. Zaid juga mengeluarkan wang untuk membayar barang yang dibeli.
"Syed." "Ya, ada apa?" Soalan kembalikan kepada Zaid setelah nama Syed dipanggil. "Kat mana ada kedai tayar." "Mengapa?" Nak tukar sport rim roda beg ni." Kering jawapan Zaid. Syed senyum meleret dan mereka meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke tempat penginapan.
"Aku dah ambil gambar." "Nak buat apa?" Syed spontan sebaik sahaja Zaid bersuara. Lamunan tentang petang tadi hilang begitu sahaja. Syed tersenyum. "Kau ni mengapa? Asyik senyum ja," Zaid terus bersuara.
"Ya lah, beg tu pun kau ambil gambar." "Yalah, banyak jasanya pada aku. Aku terpaksa tinggalkan beg ni di sini.Tengok pemegang pun dah patah, jahitan tepi pun dah terkoyak. "Sampai hati ke kau nak buang dia, banyak jasa yang dicurahkan."
"Kan aku kata tak ada pilihan. Sampai hati ke, tak sampai ke, kena tinggal la... Selamat tinggallah wahai beg." Zaid mengeluarkan isi di dalam beg lama dan memindahkan ke dalam beg baru.

Wednesday, October 17, 2012

Terima kasih

Seorang sahabat meminta penjelasan walaupun jarang berada di sekeliling aku. Setidak-tidaknya masih ada yang meminta penjelasan. Terima kasih.

Saturday, October 13, 2012

Ayat power

Ayat yang tidak pernah dijangka dari seorang sahabat.
"Kalau aku jadi kau, aku dah tumbuk dia tu." Aku sekadar tersenyum.
Nampaknya, marah dia lebih hebat!!! Cool... cool. Nanti timbul kisah lain pula...
Mengawal marah agar sesejuk embun...

Wednesday, October 10, 2012

Ronda-ronda


Hari ini merupakan kali kedua aku ronda-ronda dengan gerek tua aku. Perjalanan tidak sejauh mana, cukup untuk mengeluarkan sedikit anak peluh sahaja. Dari rumah, aku menghala ke kiri, membelok ke dalam kebun getah dan bertemu dengan jalan baru menghala ke Semadong. Jalan ini belum dibuka kepada kenderaan, cuma yang melalui jalan ini secara tidak rasmi sahaja.
Gerek tua ini aku kayuh perlahan-lahan dan sewaktu itu melintas beberapa orang yang mengayuh basikal yang lebih hebat, laju dan berdesup meninggalkan aku. Aku melepasi seseorang yang berjoging dan aku menyapa, “Pi dulu na.” “Ya,” balasnya ringkas sambil tersenyum. Aku tidak mengenalinya dan aku yakin, dia juga tidak kenal aku. Barangkali dalam hatinya, “ Pakcik mana ni yang menegurnya sedang berjoging?”
Indah panorama di situ. Setelah melepasi kebun getah di kiri dan kanan, ada pula sawah bendang yang sedang dibajak dan dikabotakan (betul ke istilah ni?). Ketika menuruni jalan itu, di hadapan kelihatan bukit yang nampak berbalam-balam. Beberapa minit kemudian, aku sampai di kawasan sawah di kiri dan kanan. Di tengah sawah sebelah kanan, kelihatan sebuah traktor berwarna biru sedang menarik traktor  biru juga. Tayar belakangnya yang besar itu berputar-putar tapi pergerakannya sangat perlahan. Aku membayangkan betapa beratnya menarik traktor di dalam sawah yang berair, dan berlumpur. Enjin terus mengaum tetapi pergerakan sangat perlahan. Tentu saja yang di belakang itu mengalami kerosakan.
Seketika aku melepasi beberapa orang  dan mereka mengenali aku. “Tak beli fit-C?” “Saja guna yang ada dulu,” ringkas daripada aku. “Oh… ingatkan Pakcik Nor tadi.” Seorang yang agak berumur menambah dialog itu. Aku senyum dan berlalu dengan kayuhan yang tidak selaju mana.  Pakcik Nor? Siapa ya? Sebenarnya itulah arwah datuk aku, atau tok wan aku sebelah mak. Memang orang itu mengenali arwah datuk aku.
Aku terus berkayuh dan berselisih pula dengan Ustaz Yazid, “Assalamualaikum,” dan ustaz menyahut bersama senyum di seberang jalan. Ustaz Yazid juga berkayuh seorang diri. Sebaik sampai ke persimpangan menghala ke Semadong dan Beseri aku membuat pusingan U dan berhenti sekejap. Merenung ke arah sekolah baru yang masih belum menerima pelajar. Katanya 5 November ini. Seketika, aku mengayuh balik ke rumah…

Tuesday, October 9, 2012

Monolog Buat Ija (2)


Moga terus bahagia buat  Ija. Apakah Ija masih ingat lewat pertemuan kita dulu? Ya, antara sedar dengan tidak, sudah setahun kita lewati pertemuan itu. Dulu, aku pernah titipkan monolog ini, tapi setahun yang lalu. Terasa bagaikan baru sahaja berlalu dan baru sahaja kita bertemu. Namun hakikatnya, sudah setahun Ija. Kita telah lewati tempoh itu. Aku sangat yakin, yang pertemuan dua belas purnama lalu tersimpan kukuh di lipatan kenangan Ija (moga-moga tidak terpadam).
Setahun berlalu dan tempoh itu bukan satu jangka masa yang sangat panjang untuk dilupai tetapi bukan pula satu jangka masa yang pendek untuk kita ingat semua peristiwa yang berlaku. Ada ketikanya, aku ingin mengajak Ija menjengah kembali ke daerah ilmu yang pernah kita jejaki (kalau Ija membaca blog ini). Berbicara panjang tentang padang permainan, blok bertangga, tempat meletak basikal, dewan perhimpunan, cermin nako yang berhabuk, tempias hujan di kaki lima, dan aktiviti petang yang menyenangkan. Masih dalam ingatankan?
Semuanya sudah kita tinggalkan bersama usia yang bertambah, juga menandakan yang kita sudah TUA. Aku sering diusik sudah tua, tapi aku tahu kita sama-sama tua atau lebih tepat kita sebaya (ya ka?) Kalau Ija membaca tentu akan tersenyum atau mendengus spontan (ya lah perasan la tu…). Ungkapan  Ija yang sering  menyentuh gegendang telinga aku. Namun, aku senang mendengarnya, setidak-tidaknya aku diingatkan yang aku sudah tua. Walaupun sudah setahun pertemuan itu, aku masih mengingatinya, Ija. Terima kasih Ija, walaupun seketika, tetapi aku yakin Ija akan terus ada, biar lama tidak bersua.

Wednesday, October 3, 2012

Bukan Rezeki



Kita mampu merencana tapi ketentuan itu Allah yang tentukan. Apa-apa saja yang bukan rezeki kita, tetap tidak akan kita dapat. Wang di dalam poket hanya singgah seketika sahaja sebelum menuju destinasi lain. Buah yang hampir masa dan berkira-kira boleh makan boleh hilang atau 'diambil orang'. Makanan di dalam mulut juga boleh jatuh ke tanah dan menjadi rezeki makhluk lain. Kita redha dengan ketentuan Yang Maha Esa bahawa itu bukan rezeki kita. Barangkali itu hanya dugaan yang sangat kecil berbanding orang lain yang lebih hebat dugaan yang mendatang.

Saturday, September 22, 2012

Jutawan Segera

Tiba-tiba aku menjadi jutawan segera. Berjaya memegang duit sebanyak dua juta sembilan ratus lima puluh ribu. Banyak tu!!! Cakap nak beli apa? Hari ini aku belanja. Kalau kereta setakat ratus ribu saja, rumah pun ratus ribu saja, ini juta, juta boleh beli banyak benda....

Tapi... akhirnya tak laku juga di Malaysia ini. Jutawan rupiah saja, itu pun pinjam nak pegang sat saja. Terima kasih Kak Zaa. Apa-apa pun dapat rasa menjadi jutawan untuk seketika.

Tuesday, August 7, 2012

Nostalgia


Tiba-tiba hari ini aku terjumpa sehelai kemeja biru yang pernah aku pakai pada tahun 1991 dulu. Lama dulu. Kemeja itu aku beli pada Mei 1991, aku pakai pada 13 Mei 1991, setelah beberapa hari menggayakan di rumah. Berhadapan dengan cermin tanpa komen daripada sesiapa. Waktu itulah satu-satunya kemeja yang aku beli sendiri dengan harga RM29.90 (rasanya dah cukup mahal). Masih elok, cuma  ada bekas lipatan dan kesan tahi lipas sahaja. Ada apa dengan kemeja ini setelah 21 tahun berlalu?
Aku menerima surat daripada Universiti Pertanian Malaysia (Putra) yang bertarikh 26 April 1991, perlu menghadiri temuduga di Bilik Seminar B pada 13 Mei 1991. Syukur dan berdebar. Maka aku pun ke pasaraya Looking Good (tak dak dah pasaraya ni). Memilih dan mencuba beberapa kali, aku memilih warna biru, berjenama  G. MENTA International (tak terkenal pun). Waktu itu aku begitu jahil tentang jenama pakaian, dan sangat tidak mengambil kisah. Waktu itu, aku tidak lagi tahu tentang Orlando, John Master, Lentino, Crocodile, GMV, dan yang setaraf dengannya. Asalkan sesuai dan padan, aku beli saja. Maka aku pilihlah baju ini.
Bersaiz 16 atau 40-41, dan itulah saiz yang aku pakai sekarang.Bayangkan pada ketika itu aku lebih kecil daripada sekarang, sudah memakai saiz itu, tentu nampak besar bukan? Maklumlah waktu itu tidak ada jururunding imej (tak kenal sesiapa). Waktu memakai baju itu memang nampak besar. Kasut jenama Treveler (ada ke lagi?). Seingat aku, seluar berwarna hitam.
Aku bertolak ke Kuala Lumpur dengan seorang rakan pada 11 Mei, malam. Sampai di Puduraya pada waktu pagi dan dijemput oleh bapa saudara, terus ke apartmen di Kampung Baru. Seharian dan bermalam di situ, 13 Mei pagi aku dan rakan bertolak ke Serdang dengan menaiki teksi. Banyak teksi yang tidak mahu ke Serdang, tapi Alhamdulillah ada juga seorang pemandu yang sanggup ke sana dengan syarat tidak memasang meter perjalanan. Aku setuju.
Aku sampai ke UPM lebih kurang 9.45 pagi. Temuduga pukul 10.00 pagi. Dalam perjalanan, perasaan aku berbaur, resah tentang temuduga, isu apa yang nak ditanya bermain-main dibenak. Di mana nak cari Bilik Seminar B? Berapa orang panel? Maklumlah ini temuduga aku yang pertama. Susahnya hendak masuk universiti aku rasa pada waktu itu. Mengapa program ini perlu ada temuduga? Bukankah mudah kalau pemohon diterima terus. Aku mencadang pada waktu yang tidak wajar. Ahh…kecut juga waktu itu…  teksi berhenti di hadapan kafeteria (sekarang dah berubah)  dan aku berjalan beberapa ketika sebelum sampai ke tempat temuduga… Berbaju biru, berseluar hitam, kasut kulit koko, maka aku ditemuduga. Apakah yang berlaku di dalam Bilik Seminar B? Nak tahu? Tunggu episod seterusnya... (Insya-Allah, ada waktu bersambung).

Thursday, July 12, 2012

Musang King - Sebuah Catatan

Penghujung Jun sempat berkunjung ke Pasar Payang, Kuala Terengganu. Menjengah seketika selepas selesai tugas pada waktu pagi dan tengah hari. Melalui deretan bangunan yang dikenali Kampung Cina, beberapa minit sampai ke Pasar Payang. Berjalan bersama-sama seorang kawan sambil berbual pelbagai topik dan sampai ke tempat menjual durian. Buahnya tidak sebesar mana, sederhana sahaja. 
Saya dan kawan mencuba Musang King(RM25 sekilo) yang sudah dikoyak, ok, rasanya lemak melekat pada kerongkong, manis dan terasa sedikit ranum. Kemudian mencuba pula D24 (RM12 sekilo), manis tapi kurang lemak, dan mencuba pula D101 (RM15 sekilo), warna kekuningan seperti udang merah, manis dan lemak. Ummp... mencuba durian kali pertama di tempat orang, sedap dan lazat.

Wednesday, June 20, 2012

Limau Nipis

Sekadar merenung sesuatu kejadian di alam ini. Hikmahnya pasti ada. Kitaran hidup juga begitu. Bermula dengan tiada, ada dan tiada semula. Semua bersifat fana kecuali Yang Maha Esa.

Suatu petang


S: Awak (SMS).
T: Ya, awak (SMS).
S: Call saya boleh?(SMS, beberapa ketika telefon berdering)
T: Ish… ish… ish… ingatkan adik-adik saya saja yang berkira kredit, awak pun sama?
S: Sorry, saya tak sempat nak top up.
T: Yalah awak…  awak nak bagi tau apa?
S: Beberapa perkara.
T: Apa?
S: Nak dengar?
T: Yalah.
S: Awak, 1. Lama sungguh saya tak jumpa awak. 2. Saya rindu awak. 3. Saya masih suka awak.
T: Ish… ish… ish… anak siapa ni. Berani sungguh!
S: Ok. Saya dah selesai. Awak nak bagi tau apa kat saya.
T: Satu saja.
S: Apa?
T: Pergi tambah kredit atau tukar saja guna line…
(toing…toing…  toing… ambik kau)

Wednesday, May 9, 2012

Monday, May 7, 2012

Terbaru - Sebuah Catatan

Setelah sekian lama terperam, Alhamdulillah akhirnya terbit juga garapan aku ketiga. Tiba-tiba juga berada dalam Majlis Pelancaran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Merenung kembali, siapalah aku yang sangat kerdil berbanding karya-karya yang berada di pasaran. Namun besar harapan aku bahawa suatu hari nanti akan terhasil sebuah karya yang mampu menambat dan memukau hati pembaca. Terima kasih kawan-kawan yang menyokong dan terima kasih kapada penerbit yang menaruh kepercayaan dan menganjurkan pelancaran yang sedemikian rupa. Moga-moga Mengikis Onak mendatangkan pengajaran yang baik.

Monday, April 16, 2012

Dialog Hujung Minggu

Dialog 1
Cucu 1 : Tok Wan, Tok Wan, pasal apa Tok Wan guna tongkat?
Tok Wan : Tok Wan guna waktu berjalan.
Cucu 2 : Kalau Tok Wan tak dak tongkat, Tok Wan boleh berjalan tak?
Tok Wan : Boleh, tapi kaki Tok Wan tak kuat. Tongkat boleh tolong Tok Wan.
Cucu 1 : Kaki Tok Wan satu saja yang tak kuat?
Tok Wan : Ya, satu saja, sebelah kiri ni.
Cucu 2 : Kalau kaki Tok Wan dua-dua tak kuat nanti, boleh Tok Wan guna dua tongkat.
Tok Wan : Kalau dua-dua tak kuat, Tok Wan tak boleh jalan le. Mau abang dengan adik angkat Tok Wan?
Cucu 2 : Tak mau, sebab abang dengan adik kecil lagi. Suruh ayah dengan ibu angkat Tok Wan.
Cucu 1 : Adik pun tak mau, Tok Wan berat.
Tok Wan : Bertuah punya cucu…

Dialog 2
Anak : Banyaknya duit ayah.
Ayah : Memang banyak, tapi bukan duit ayah, duit masjid.
Anak : Ni ayah nak bawa ke mana?
Ayah : Bawa ke masjid le.
Anak : Tak kan ayah nak tinggal duit ni di masjid? Nanti orang ambil.
Ayah : Tak, bukan tinggal di masjid. Ayah nak bagi kat Tok Imam.
Anak : Anak ayah ni kan Tok Imam, maksu selalu panggil abang, Tok Imam. Boleh la bagi duit tu…
Ayah : Kalau ayah bagi, abang nak buat apa dengan duit ni?
Anak : Boleh abang beli ais krim, banyak ni abang boleh beli.
Ayah : Tak baik makan ais krim banyak-banyak.
Anak : Nanti Tok Imam tu beli ais krim kat dia. Ayah pesan le jangan bagi Tok Imam beli ais krim banyak-banyak.
Ayah : Ya le nak, nanti ayah bagi tau Tok Imam.

Dialog 3
A : Awak.
M : Ya, awak.
A : Sorry, saja.
M : Maaf.
A : Sebab?
M : Saja nak ganggu awak.
A : Saya tak nak kawan dengan awak.
M : Sebab?
A : Awak akan menjadi lebih tua daripada saya. He…he…he..
M : Penyataan yang salah. Awak nak tau penyataan yang betul?
A : Apa?
M: Awak dan saya akan sama-sama TUA.
A : Eeewah… …saya nak keluar kejap. Jumpa esok. Bye.
M : (Walaupun saya tua, awak suka saya kan?)

Dialog 4
Z : Maaf En. T.
T : Saya, apa yang boleh saya tolong?
Z : Begini, saya pernah membuat permohonan memindahkan tiang elektrik. Lama dah.
T : Bila agak-agak permohonan encik.
Z : Saya mohon pada 19 Disember, 29 Disember ada kakitangan encik pergi tengok. Waktu saya tidak ada di rumah, dia called saja. Tapi sampai sekarang tidak ada apa-apa respons pun.
T : Called pun tak dak selepas 29 Disember tu?
Z : Tak ada la pula.
T : Ini mesti sangkut kat bahagian atas ni. Lapis muda banyak bahagian ni. Nanti kalau kita cakap banyak, dia kata mengajar pula.
Z : Sampai bila saya perlu tungggu, dah 3 bulan lebih ni encik?
T : Betul encik, sepatutnya satu bulan boleh clear ni. Begini, sebab dah agak lama, encik isi borang permohonan lain, boleh?
Z : Saya pelanggan, syarikat encik menawar perkhidmatan.
T : Saya faham perasaan encik, tapi encik tak cakap macam orang marah pun?
Z : Encik, kalau saya marah pun, saya kena berurusan dengan syarikat encik juga. Kita ada pilihan encik, sama ada untuk meninggi suara atau tidak. Berurusan dengan suara rendah pun syarikat encik kena selesaikan, kalau saya meninggikan suara pun syarikat encik kena selesaikan. Jadi pilihan di tangan kita.
T : Maaf encik, kerana permohonan encik tidak dilayan sepatutnya.
Z : Ok, permohonan ini bila pula?
T : Dalam minggu depan, dan saya yakin orang yang sama akan pergi.
Z : Terima kasih encik.
T : Sama-sama, dan minta maaf sekali lagi.

Friday, March 23, 2012

Hari Tidur Sedunia

Anda percaya bahawa ada Hari Tidur Sedunia? Barangkali bagi yang pernah membaca tulisan Dr Irfan Mohamad akan berkata ya dan yang tidak membaca mungkin akan mengemukakan soalan kembali, ya ke? Sekiranya ya, bila tarikhnya? Anda ada jawapan, simpan seketika.
Tujuan Hari Tidur Sedunia bukan menggalakkan manusia tidur sepuas-puasnya, tetapi membangkitkan kesedaran masalah berlaku sewaktu tidur. Malahan masalah tidur memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan. Tentu sahaja anda pernah mendengar tentang insomnia, iaitu masalah tidak boleh tidur. Kedua-dua ini berkaitan dengan tidur.
Di Malaysia, rawatan untuk masalah tidur dijalankan oleh pakar dalam bidang pelbagai, termasuklah pakar tekak dan leher, pakar perubatan penyakit dalam, pakar kanak-kanak, pakar psikiatri dan sebagainya. Apa-apa yang penting ialah bagi yang menghadapi masalah ketika tidur atau masalah mengantuk yang berlebihan daripada kebiasaan, rawatan yang sesuai pasti ada untuk anda. Langkah pertama, aturkan pertemuan dengan doktor.
Ini hanya sebahagian petikan tentang Hari Tidur Sedunia. Sebenarnya aku ingin mengaitkan Hari Tidur Sedunia dengan tidur yang kita jalani setiap hari. Adakah kita mempunyai tidur yang cukup? Aku diberi cuti rehat selama dua hari. Kata doktor demam kuat, jadi cuti dua hari boleh rehat. Aku mengikut saja. Lagipun lama dah tidak mendapat cuti sakit. Pada kesempatan itu, aku berehat le, makan ubat dan tidur. Dengan harapan dapat tidur dengan selesa tanpa gangguan (walaupun ada panggilan tentang kerja selang beberapa ketika). Jarang-jarang dapat tidur waktu begitu. Hikmah di sebalik demam kuat dapat berehat dan tidur. Cuma, perut lapar mulut kurang selera. Tidur selepas makan ubat, badan berpeluh, basah baju, bau busuk peluh sendiri (badan sendiri pun berbau, kalau dekat dengan orang lain, lagi berbau agaknya) Nampaknya, aku berjaya memanfaatkan Hari Tidur Sedunia.
Bila Hari Tidur Sedunia? Jawapannya, ialah 16 Mac 2012 (Khamis)- rujuk Berita Minggu 18 Mac 2012.
*saya tahu awak tidak ada masalah tidur

Saturday, March 10, 2012

Mini Cerpen - Kecewa dan Bersalah...

Tengah hari itu terasa bahang menyambar muka Cikgu Em. Mukanya benar-benar tarasa membakar. Ketika berjalan balik ke bilik mindanya bersoal jawab sendirian. Banyak soalan yang terbit dimindanya menyalahkan diri sendiri. Banyak juga perkataan yang sepatutnya, sepatutnya, agh…..
Dia meletakkan punggung ke kerusi yang berwarna merah jambu itu. Mejanya sedia semak. Semalam ada rakan guru yang meninggalkan nota agar mengemaskan meja bimbang kalau-kalau tikus mebiak di situ. Cikgu Em menyambut dengan senyum. Bergurau perkara biasa. Sebenarnya memang betul, mejanya sesungguh semak, namun sesuatu yang dicari masih mudah dijumpai (antara helah bela diri).
“Macam mana keputusan hari ini?” Cikgu Em tersenyum tawar. “Ada kualiti tapi kuantiti kurang,” jelas Cikgu Em kepada Cikgu Dan. Sebetulnya Cikgu Em baru balik dari bilik Guru Kanan Tingkatan 6, melihat keputusan STPM 2011. Analisis juga sedang disediakan oleh Cikgu Inah. “Semua subjek menurun peratusnya kecuali Sejarah yang tak berubah. Tapi aku frust juga, dua orang boleh dapat 3A1B, dan yang B tu paper aku.” Cikgu Em meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Cikgu Dan hanya memerhati sahaja.
“Tak apa nanti cikgu boleh jawab masa post mortem nanti,” sampuk Izul yang merupakan Pembantu Operasi atau ringkasnya PO. “Tu lah, nak jawab apa nanti dalam bedah siasat tu,” Cikgu Em menggunakan Bahasa Melayu dalam istilah post mortem itu. “Nanti boleh bedah siasat cikgu dia sama,” sampuk pula Cikgu Dan. “Betullah, nanti cikgu paper tu pun kena bedah juga,baru dia tau” Cikgu Em menyambung ayat tersebut. Mereka ketawa sama-sama.
Cikgu Em dicengkam rasa sedih dan bersalah. Bersalah kepada pelajar-pelajar itu kerana tidak terdaya membantu mereka mendapat 4A. Bersalah kepada sekolah kerana tidak mampu membantu melonjakkan nama sekolah. Bersalah kerana gagal mecipta rekod untuk pelajar mencapai 4A untuk kali pertama. Bersalah kerana tidak mampu membantu mata pelajaran yang diajar mencapai peratus yang lebih baik. Agh….. stress tahap tinggi ni. Hakikatnya, cikgu tidak mendapat apa-apa, cuma kepuasan atau kekecewaan. Anak didik berjaya, cikgu tumpang gembira, anak didik gagal, cikgu tumpang kecewa.
Dalam bahang yang membakar itu, Cikgu Em pulang ke rumah. Seleranya hilang. Digagahi juga nasi yang disuap itu ditelan. “Sedap juga,” hatinya bermonolog. Masak lemak udang dengan belimbing buluh. Fuhh… Walaupun seleranya hilang, tambah juga nasi ke dalam pinggannya. Di luar masih panas tetapi sudah berkumpul awan hitam di sebelah utara. Makin tebal dan mengarah ke selatan. Cikgu Em membuka tingkap melihat awan-awan hitam yang semakin menebal. Angin menerpa ke wajahnya. Masih terasa bahang panas itu. Mahu sahaja dia membaringkan badannya tetapi terasa perutnya masih sendat (walaupun tak selera). Dia membelek majalah yang ada di sisi. Keputusan peperiksaan tadi masih bersarang di kepalanya. “Tak patut sungguh,” hatinya terus bermonolog.
Pemikirannya penuh dengan kecewa dan rasa bersalah tapi hatinya tiba-tiba menjadi sarat, sesarat awan hujan yang menghitam itu. Bila-bila masa sahaja hujan akan mencurah. Hatinya juga sarat tapi bila lagi dia harus meluahkan? Antara merenung rasa kecewa, dan bersalah, Cikgu Em hilang ke alam lena. Sesedarnya, hujan mencurah dengan lebat. Tempias manik-manik kecil ke muka itu yang mengejutkan Cikgu Em. Ingatan kekecewaan kembali dan secepat itu juga terlintas nama buah hatinya. Mahu sahaja dia terus menghubungi dan berkongsi kekecewaan itu dengan segera, namun ditangguh dahulu.
Harapannya, tahun ini mesti usaha lebih lagi. Moga terus tekun menjadi guru, Cikgu Em. Moga anak-anak murid terus mencipta kejayaan. Dia cuba untuk senyum sendiri. Perutnya kembali terasa lapar. “Inilah untungnya kalau stress, boleh makan kerap,” Cikgu Em bermonolog. Dia bingkas bangun dan terus ke dapur. Di luar hujan masih mencurah dengan lebat.

Wednesday, February 8, 2012

Mini Cerpen - Oh... Cuti (2)

Azrul meletakkan silanya dekat benar dengan emaknya yang sedang berbaring mengiring. Mak Chah menggerakkan sedikit kepalanya memerhati Azrul yang baru duduk itu. Kepala Mak Chah di atas bantal hijau berbunga kuning. “Mak pening atau sakit kepala?” Tangan kanan Azrul memegang kepala Mak Chah dekat dengan telinga dan menekan perlahan-lahan sambil menggerakkan jari ke arah belakang telinga. “Tak pening tapi rasa tak sedap saja.” “Demam?” “Tak lah.” “Kalau demam, Rul nak ambik ubat yang ada tu…” Tangannya bergerak ke tengah kepala Mak Chah. Dipicitnya perlahan-lahan turun ke bahagian tengkuk. “Sakit?” “Tak,” balas Mak Chah.
“Mak bawa le berehat. Jangan nak ke sawah saja. Sekarang ni kan panas terik.” Nasihat daripada seorang anak. Sebenar tidak sesuai sebagai nasihat tetapi lebih kepada peringatan. Mak Chah lebih tahu berbanding Azrul. Namun, niat Azrul murni kerana mengingatkan emaknya. “Rul.” “Ya mak,” sahut Azrul dan tangannya berhenti seketika daripada memicit kepada Mak Chah. “Ada tak Rul sembunyikan apa-apa daripada mak?” Azrul terdiam. Cuba memikirkan perkara yang dimaksudkan. Mencari sekiranya ada perbuatan yang boleh disampaikan oleh orang lain kepada emaknya. Serasanya tidak ada. “Sembunyi apanya, mak. Rul rasa-rasa tak ada apa-apa.”
Mak Chah bangun dari baringnya dan duduk bersimpuh. Azrul mengemaskan silanya. “Mak jaga Rul baru ini atau dah lama?” “Mengapa mak? Pelik saja bunyinya.” Mak Chah tersenyum. Menatap anak lelakinya itu dalam-dalam. “Mak tengok Rul dalam seminggu dua ini banyak diam. Macam tak cergas dan tak seperti sebelum ni.” “Mak, Rul rasa macam biasa saja.” “Itu kata Rul. Ini mak, mak yang menjaga Rul sejak kecil lagi. Kata orang sekilas ikan di air ….” “…sudah tahu jantan betinanya,” sampuk Azrul dan diikuti ketawa kecil antara dua beranak itu.
“Cerita le dangan mak, atau Rul tak sihat?” Azrul diam. Ungkapan yang ada di benaknya berpintal-pintal menjadi kusut untuk dilepaskan. Ketika dipanggil tadi pun Azrul sudah memikirkan cara yang paling baik untuk memberitahu kepada emaknya tentang pembedahan itu. Masih menimbang untuk memberitahu, malam ini atau esok-esok. “Atau pun putus cinta?” “Mak, ke situ pula. Cerita tu, ada edisi khas nanti.” “Rul, mana ada emak yang gembira bila tengok anaknya seperti susah hati atau tak sihat. Cuba Rul cakap.” “Memang betul, yang emak cakap tu, Rul setuju.” “Kalau setuju bagi tau mak, Rul ada masalah?”
Azrul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambut hitamnya masih lebat dan tersikat rapi. “Mak, siang tadi Rul pergi jumpa doktor.” “Hah… mengapa?” Riak cemas mula menguasai Mak Chah. “Mak, tenang dulu. Itu yang Rul tak nak mula. Mak janji jangan cemas dan susah hati. Boleh?” Mak Chah kembali merenung muka anak lelakinya itu. Penuh tanda tanya. “Hah.. apanya Rul?” “Mak, gini. Rul pergi jumpa doktor tadi, doktor kata tak serius tapi tak ada ubat mak.” “Sakit apa tak ada ubat. Yang tak ada ubat ni mati saja…” “Mak, Rul perlu dibedah baru boleh sembuh.” “Kalau tak bedah?” “Tak boleh juga, mesti bedah.” Mak Chah merenung wajah anaknya dalam-dalam. Riak terkejut tergambar jelas. “Haa… tengok. Kalaulah mak tak tanya, tentu Rul tak bagi tau mak. Mak nampak Rul sehari dua ni pun tak secergas hari-hari dulu. Kebun pun dah banyak hari tak pergikan?” “Ya mak, tapi tak sempat bukannya apa-apa.”
“Mak masih ingat lagi, dulu masa Rul bedah perut dulu, seorang diri saja. Tak bagi tau mak dengan ayah pun waktu itu. Tau-tau kawan universiti yang hantar balik ke rumah. Jangan le buat lagi macam tu… mak ayah risau tau tak?” “Mak, Rul sayang mak, tu yang tak mau bagi tau.” “Rul, anak mak. Orang tua-tua tak kata sayang kalau macam tu. Orang tua-tua kata membelakangkan orang tua. Kalau jadi apa-apa macam mana? Tak kesian pada emak dengan ayah.” “Rul minta maaf mak. Rul tak nak susahkan mak ayah pada waktu tu. Lagi pun jauh. Jadi kawan-kawan universiti Rul yang tengok-tengok Rul. Baik mereka tu…”
Mak Chah memegang pipi Azrul dengan kedua-dua tapak tangannya. Kemudian menarik turun kedua-dua tapak tangan itu sampai ke dagu dan tersentuh janggut nipis anaknya. “Mak sayang Rul. Jaga diri baik-baik, kesihatan Rul juga kena jaga.” Mak Chah tersenyum lagi. Di matanya bersinar kaca air jernih yang bertakung. “Rul juga sayang mak. Rul janji tak akan buat mak risau lagi.” Bersama ungkapan itu juga, Azrul memegang tangan emaknya dan diangkat merapati mulutnya. Dicium lama belakang tangan Mak Chah. Mak Chah menggosok perlahan-lahan kepala Azrul. Sesungguhnya, kerisauan seorang emak tetap bersarang biarpun anaknya menjelaskan yang sakitnya hanya sedikit. Mak Chah tidak mahu memikirkan perkara yang buruk terhadap Azrul. Sehingga kini, Azrullah harapannya. Memang ajal maut ditentu Yang Maha Esa, namun diharapkan bukan masa ini. Cuma persoalannya, sampai bila Azrul sanggup bertahan?

Tuesday, February 7, 2012

Mini Cerpen - Oh... Cuti

Azrul menguakkan jendela rumahnya. Angin malam menerpa masuk tanpa diundang. Membelai mukanya dengan usapan manja. Terasa sejuk menyusup dari atas kulit menyelinap ke ruang roma dan sampai ke saraf untuk terus menghantar maklumat ke otak. Mukanya terasa sejuk. Di hadapannya berdiri gagah pohon-pohon kelapa. Daunnya dan pelepah meliuk-liuk disapa angin malam. Di celah-celah pelapah itu terang sang purnama. Azrul tersenyum sendirian. Bulan yang satu, masih di situ. Hatinya kembali kepada seseorang.
“Awak, maafkan saya. Apa lagi yang saya mampu katakan. Bukan niat untuk mengguris apatah lagi melukakan. Saat ini, saya mengharapkan yang awak juga melihat bulan yang satu,” monolog itu terbit bersama bersinarnya bulan di celah-celah pelepah kelapa itu. Azrul menikmati keindahan malam itu. Nyaman dan sekali sekala diganggu ngauman enjin motosikal anak remaja yang memecut di jalan kampung. Angin terus bertiup perlahan-lahan. Terdengar juga rengekan nakal nyamuk di telinga kiri dan kanan. Tangan kanannya mengibas-ngibas di telinga kiri dan kanan, menghalau nyamuk nakal itu.
Sesungguhnya, Azrul masih dihambat rasa bersalah kerana gagal menunaikan sesuatu. Cuti kali ini memang menjadikan benar-benar dihambat rasa bersalah. Tambahan pula cuti yang panjang. Bermula dengan cuti hujung minggu, bersambung dengan Maulidur Rasul, dan Thaipusam sekali gus. Panjangnya bagi orang seperti Azrul yang menanti hari bekerja. Mengapa? Azrul sahaja yang ada jawapannya. Jiwanya masih mengharapkan agar buah hatinya benar-benar mengerti. Dia membaringkan diri di atas katil bujang itu dan jelas melihat sang bulan di angkasa. Cerah bertemankan bintang.
Sejenak, Azrul memejamkan mata dan mengenang peristiwa petang semalam sewaktu dalam perjalanan ke pekan. Takdirnya sudah begitu. Dalam deretan kereta yang panjang, Azrul terleka seketika memerhati kereta di hadapannya membelok. Tanpa disedari kereta di hadapan yang satu lagi berhenti kerana lampu isyarat merah. Sesedarnya, kereta itu benar-benar di hadapannya. Antara membrek atau membelok, Azrul membelok sedikit. Mampu dielak kereta itu walaupun keretanya agak ke tengah jalan. Syukur, selamat. Pada masa yang sama, bunyi brek yang panjang kedengaran. Azrul melihat cermin pandang belakang, sebuah Waja menuju laju ke arah keretanya dan gedegum… keretanya tersorong ke depan.
Azrul menghela nafas panjang. Memberi isyarat ke kiri dan turun dari kereta. Tuan punya kereta yang melanggar belakang kereta Azrul pun turut turun sama. Azrul menghulur tangan untuk bersalam. “Oh, encik sikit saja ni, tak teruk pun. Saya yang teruk. Tengok, plat nombor dan lampu saya pecah. Belakang kereta encik calar sikit saja.” Azrul diam. Memerhati sahaja pemandu yang boleh dipanggil dengan pangkat abang. “Kira selesai lah,“ kata pemandu itu lagi. “Bukan kira calar sikit atau pecah, bang. Abang cuai (walaupun aku juga hampir melanggar kereta hadapan). Kalaulah luruh bumper belakang ini, macam mana? Itu bumper ok lagi, kalau cedera, apa pula abang nak kata? Boleh abang kata sikit saja ni, baru terkoyak kulit kepala, tak pecah tempurung kepala lagi. Atau patah sikit saja ni tak putus terus. Boleh kata macam tu?”Azrul diam, pemandu itu juga diam. “Kita selesai di sini saja ya, encik?” Sebenarnya, Azrul menanti ucapan maaf daripada pemandu itu. Sudahnya, ucapan maaf dan terima kasih tidak terucap juga. Naik kereta dan berlalu. Benarlah dalam dunia teknologi ini, nipisnya nilai kemanusiaan, dan tebalnya nilai keegoan. Sukarkah mengucapkan maaf dan terima kasih? Azrul mengetap bibir. Tangan kanannya menampar pipi kiri untuk membunuh nyamuk yang mahu mencuri darahnya. Mata dibuka dan bulan sudah berubah tempat letaknya, sikit ke barat. Hatinya berbicara lagi, “Awak, maaf saya tetap mengingati awak.” Angin malam terus-terusan menghembus. Nyamuk juga tidak malu-malu mahu mencuri darahnya.
Azrul bangun dan duduk mendakap lutut, namun matanya tetap pada sang bulan. Cantik dan menawan. Laut fikirnya memikirkan ungkapan doktor petang tadi. Selepas melakukan pemeriksaan, Azrul kembali duduk di kerusi sisi sebelah kanan doktor itu. Doktor menarik fail yang berkulit kuning, membuka dan melukis sesuatu berpandukan gambar ultrasound yang dicetak keluar. “Encik, ini masalah biasa yang boleh berlaku tapi jarang sangat. Encik sakit?” “Sakit tu tidak sangat tapi tidak selesa. Kadang-kadang sakit, kadang-kadang rasa sangat tidak selesa.” Doktor itu tersenyum mesra dan menyatakan istilah yang Azrul sendiri tidak mampu mengingatnya. Pastinya, penerangan doktor sikit meresahkan. “Doktor, apa alternatif yang saya ada?” Doktor tersenyum lagi dan penuh yakin. “Tidak ada alternatif lain, kecuali operation.” “Ubat?” “Pun tak ada.” Azrul diam. Memandang doktor dengan penuh harapan. Disandarkan badan ke kerusi yang berwarna oren itu. Dan cuba mengukir senyum tapi sangat tawar.
“Doktor.” “Ya.” “Kebarangkalian risiko yang mungkin saya hadapi?” “Sangat kurang.” “Saya nak pastikan risiko sekiranya saya menjalani pembedahan.” “Encik, saya yakin sangat kurang. Jangan risau.” Azrul cuba untuk senyum lagi, masih gagal. “Encik balik dulu, cari masa yang sesuai dan datang semula jumpa saya,” terang doktor itu. Azrul bangun sambil mengucapkan terima kasih dan bersalam dengan doktor itu. Sewaktu melangkah keluar dari bilik doktor itu, Azrul memikirkan cara-cara untuk memberitahu emaknya. Bagaimanakah cara yang terbaik, agar emaknya tidak terkejut atau risau dengan keadaannya. Angin malam masih menyapanya.
“Azrul, Azrul.” “Ya mak.” “Turun sini picit kepala mak.” “Kejap mak, nak tutup tingkap.” Azrul bingkas bangun. Memerhati bulan yang satu kemudian menutup jendela yang terkuak itu. Membetulkan kain pelekatnya dan turun sambil memikirkan cara-cara untuk memberitahu emaknya. Sekarang atau esok-esok. Cutinya berakhir malam ini dan esok akan meneruskan rutin kerja. Akan bertandangkah yang dinanti-nanti?

Thursday, February 2, 2012

Mini Cerpen - Lewat

Beberapa orang pengawas yang bertugas berdiri di hadapan pintu pagar. Menahan dan mencatat nama pelajar yang datang lewat. Zia bersama rakan-rakan yang lain bertugas pada minggu ini. Memakai blazer biru dan bertali leher. Tudung biru dimasukkan ke dalam baju. Kemas. Comel dan menawan. Dua orang pelajar bermotosikal melewati pintu pagar. Zia menahan. “Nama?” Dua orang pelajar itu tidak menjawab. Mereka turun dari motosikal dan menanggalkan topi keledar. “Nama?” sekali lagi Zia mengulangi soalannya. Mereka berdua berpandangan dan tersenyum. Mengundang rasa geram di hati Zia.
“Azrul Danial Dahlan.” “Seorang lagi?” “Zainal Abidin Zainon.” Salah seorang rakan Zia mencatat nama mereka berdua. Zia memandang kepada rakannya dan apabila siap mencatat nama, Zia kembali memandang ke arah Azrul dan Zainal. “Alasan lewat?” Mereka berdua diam. Memandang antara satu sama lain seakan-akan mencari alasan datang lewat ke sekolah. “Cepatlah, sebab datang lewat ni. Saya nak catat alasan awak,” jelas Zia.
“Sebab saya suka awak!” Ringkas daripada Azrul. Dia tidak lagi senyum-senyum tapi nampak serius. Muka Zia merah padam. Hati Zia yang geram tadi bertukar terbakar. Bukan jawapan itu yang dia mahu. Rakan-rakan Zia juga seakan seperti Zia, ada sedikit rasa marah.
“Awak jangan main-main. Saya tanya serius ni!” “Saya pun serius, saya suka awak sebab itu saya datang lambat.” “Menyampah!” Getus Zia semakin terbakar hatinya. “Cepatlah, kami nak tulis ni,” desak Zia lagi. “Kan saya dah bagi jawapan.” “Jawapan itu tak boleh diterima dan tak menjawab soalan.” “Itu alasan saya. Mana ada alasan yang betul atau salah. Tulis sudahlah.” Jawapan Azrul terus mengundang panas di hati Zia. “Awak jangan main-main, cakap la alasan awak,” Zia separuh memujuk walaupun hatinya geram. “Awak tulislah tayar pancit,” sambung Zainal yang sedar Zia dan rakan-rakannya seakan hendak marah. Seketika Zia memandang ke arah padang bola dan waktu itu juga muncul Cikgu Zul.
“Ni pasal apa lambat?” suara kuat Cikgu Zul dari jauh. Azrul dan Zainal memandang sesama sendiri. Zia masih memandang mereka berdua dengan rasa geram. Dalam hatinya berasa puas sebaik Cikgu Zul muncul. “Haa… cakap la… kata awak suka saya,” balas Zia kepada Azrul yang terdiam. Azrul memandang Zia dengan jelingan tajam. “Baik, ini masa awak, nanti masa aku akan tiba,” Azrul berkata-kata di dalam hati.
“Dua-dua tolak motor keliling padang,” arah Cikgu Zul kepada Azrul dan Zainal. Zia menghadiahkan senyuman manis tanda puas buat Azrul dan Zainal. Sambil berlalu Azrul bersuara, “Saya datang lambat sebab saya suka awak. Jadi, saya boleh jumpa awak setiap kali awak bertugas. Jumpa lagi!” Suaranya perlahan agar tidak didengari Cikgu Zul. Kedua-duanya berlalu sambil menolak motosikal ke arah padang.

Sunday, January 15, 2012

Ringkasnya...

Telefon berbunyi. Aku membiarkan seketika.
“Ya, Waalaikumussalam. Tengah bawa kereta.”
Aku mendengar suara itu, “Jawab ya atau tidak!”
Pilihan hanya dua, ya atau tidak.
Aku bertanya, “Soalannya?” Dia mengemukakan soalan.
Aku sangat yakin, jawapannya.
Aku katakan “Ya.” Dan aku membayangkan yang dia tersenyum ceria.
Andainya, pilihan jawapan “ya” sahaja, sememangnya aku memilih “ya.”
Sekiranya, dia memaksa aku memilih “tidak”, aku yakin aku tetap memilih “ya.”
Kerana sememangnya "YA.” Talian diputuskan...

*** Nak saya tanya awak apa yang dia tanya saya?

Saturday, January 14, 2012

Hijaunya Padang

Hijaunya padang itu kerana semua rumput, bukan kerana sehelai rumput. Setiap rumput ada peranan masing-masing. Tidak akan hilang hijaunya padang itu, seandainya tercabut sehelai rumput. Rumput yang ada masih boleh menghijaukan padang. Sehelai rumput tidak boleh mendabik dada mengatakan hijaunya padang itu kerana ia sehelai sahaja, sehingga melupakan peranan rumput-rumput yang lain. Sehelai rumput tidak boleh mendabik dada mengatakan kerana akulah padang itu menjadi hijau.
Sebenarnya, rumput tidak pernah mendabik dada tentang peranannya menghijaukan padang. Selalunya manusialah yang akan mendabik dada mengatakan tanpa aku keadaan ini tidak mungkin akan berlaku. Tanpa aku tentu rancangan ini tidak boleh dilaksanakan. Aku sangat diperlukan di sini, jadi aku mesti ada di sini. Orang lain tidak ada pun tidak mengapa, tapi aku mesti ada, semua orang memerlukan aku. Sudahnya, manusia itu akan terus berada di dalam kepompong hebatnya sendiri, terus menegakkan ego, menolak peranan orang lain, dan orang lain tidak boleh mencabar kerana dia seorang sahaja yang mampu melakukan sesuatu perkara. Renung-renungkanlah…

Mini Cerpen - Hipokrit

Pak Moin mengayuh basikal tuanya menuju ke kedai makan Pak Usin di Taman Melati. Bertemankan lampu suluh yang terang setelah ditukar bateri baru petang tadi. Malam itu sekitarnya menjadi sibuk. Pokok-pokok dipaku dengan kain rentang “SELAMAT DATANG”. Tentu pokok-pokok jati di sekitar jalan raya dan lebih-lebih lagi yang dekat dengan dewan besar itu terkejut besar. Tidak pernah-pernah kawasan ini terang benderang, banyak pula kain rentang, dan kenderaan keluar masuk kawasan dewan berulang-ulang.
“Cuba kau tengok Usin, hidup ni penuh dengan bermuka-muka.” Sebaik sahaja Pak Moin melabuhkan punggungnya ke kerusi plastik biru di kedai itu. “Apanya Pak Moin?” “Ha… tengok tu. Bukan main hebat lagi persediaan menyambut kedatangan pemimpin utama…” “Yalah, kan pemimpin kita.” “Ya, aku akui pemimpin kita, tapi mengapa harus bersusah sehingga macam tu?” “Nak meraikan Pak Moin.” “Aku tak setuju, sebab pemimpin, datang buat persediaan hebat tak terhingga… tak bolehkah kalau tunggu pemimpin tu dalam keadaan biasa, dalam keadaan normal macam hari-hari. Ini apabila orang besar datang, kita hias cantik-cantik, jalan berlubang kita turap lain, lampu jalan yang tak nyala ditukar baru, rumput yang selama ini panjang pun dipotong pendek. Betul tak Usin?” Pak Usin diam.
“Pak Moin ni sebelah mana?” “Usin, ini bukan kira sebelah mana, ini kira realiti hidup. Keadaan sebenarnya.” “Lupa pula Moin, nak minum apa?” “Biasa la…” “Apanya?” “Ginseng tongkat ali.” “Boleh lagi ke?” “Kau buat sudahlah Usin.” Beberapa ketika Usin meletak kopi yang dipesan di hadapan Pak Moin.
“Kau tengok hujung sana tu…” “Mana?” Usin meninjau-ninjau melihat arah yang ditunjukkan Pak Moin. “Pokok-pokok jati kawasan tu semua terkejut malam ni, terkejut besar.” “Mengapa Moin?” “Mengapa apa, sebab selama ni tak pernah orang mesin rumput sebelah malam. Tiba-tiba, mesin rumput sebelah malam, hai dunia-dunia…” “Bukan dunia Moin oi… manusia. Itulah manusia.” Kemudian Usin diam tidak berkata.
“Satu lagi, rakyat dijemput menghadiri perjumpaan itu tanda sokongan. Itu betul, tapi yang ada arahan supaya wajib hadir itu aku tak setuju. Kalau betul-betul nak tengok sokongan rakyat, tak perlu wajib, jemput dan biar sukarela hadir, itu gambaran sebenar sokongan terhadap pemimpin. Di sini pun dah tak berapa betul…” “Moin, yang kau cakap tu memang betul. Jemput hadir lepas tu tunggu tengok sokongan yang sebenarnya, baru tak hipokrit.” “Kau pun pandai guna hipokrit juga Usin?” “Kau juga yang selalu sebut…” Kedua-dua ketawa serentak. “Kau nak pergi ke Moin?” “Tunggulah, aku pertimbangkan dulu…”

Tuesday, January 10, 2012

Dah Bayar - Sebuah Catatan

Hari ini aku ke pejabat polis trafik dan melangsaikan saman tempoh hari. Sewaktu menguak pintu pejabat polis trafik itu, ada seorang pelanggan lain sedang duduk di bangku bertentangan dengan kaunter pembayaran saman. Aku memberi salam kepada pegawai yang bertugas, seorang wanita yang sedang bercakap telefon (patut ke aku bagi salam, sedangkan dia sedang bercakap menggunakan telefon bimbit. Di atas mejanya terdapat banyak kertas saman, yang aku kira sedang dimasukkan maklumat tersebut ke dalam talian komputer. Nanti, apabila ada yang datang membayar mudah saja dicari maklumat tersebut.

Aku menghulurkan kertas salinan saman kepada pegawai wanita tersebut. Dia menekan komputernya, dan berkata, "RM150 encik." "Tak dak diskaun ke," aku membalas. "Maaf encik, itu yang perlu dibayar." Aku senyum. Seluk poket, keluarkan RM200 tapi bagi RM150 sahaja. Seketika, pegawai itu menghulurkan resit kecil dan berkata, "Selesai encik." "Terima kasih." Aku meninggalkan kaunter itu sambil berkira-kira, kalau satu saman RM150, kalau 10 saman, RM1500, kalau 100 saman, RM15000, kalau 1000 saman, kiralah sendiri... Banyak tu yang kerajaan boleh kutip. Lepas le untuk bonus akan datang, he...he...he...
Di dalam kereta aku telefon kawan baik aku, bagitau RM150 bukan RM70 atau RM80. Katanya, "Bukan rezeki awak, nanti rezeki ada di tempat lain pula..." Aku mengiyakan, dan memang itu bukan rezeki aku, rezeki saman rupanya.

Sunday, January 8, 2012

Mini Cerpen - Jumpa Tak?

Sewaktu Meera hendak membelok kiri masuk ke lorong rumahnya, telefon bimbitnya mendendangkan irama “Dari Kekasih Untuk Kekasih.” Dia membiarkan seketika irama itu beberapa saat. Kata kawan baiknya, lagu itu menangkap kalbu. Dicapainya telefon Nokia C2, dan dijawab panggilan itu.
“Bukan dah telefon tadi?” Sayup-sayup terdengar suara pemanggil. Meera menukarkan kepada loudspeaker, sekurang-kurang memudahkan dia mengawal kereta. “Maaf, kalau mengganggu awak.” “Okay saja. Ada apa awak?” “Bagus, soalan yang baik. Tadi masa awak mengangkat barang, ada tak terambil sesuatu?” Meera diam memikirkan. Seingat Meera, dia hanya mengangkat kotak barangannya sahaja. Macam mana boleh terambil barangan Wai.
“Maaf, seingat saya tak adalah awak. Jangan-jangan salah letak tak?” Meera menanti jawapan daripada Wai. Dia yakin yang dia benar-benar tidak mengambil barangan Wai. “Saya yakin yang awak telah mengambil sesuatu kepunyaan saya. Nanti awak cari dulu, kalau jumpa call saya, boleh?”
“Boleh tu memang boleh, tapi kalau tak ada apa-apa yang saya ambil macam mana?” Meera mula was-was walaupun tadi dia sangat yakin yang dia tidak mengambil apa-apa kepunyaan Wai. “Jangan kata tak ambil lagi, nanti balik, maksud saya bila sampai rumah, check sekali lagi. Mana tahu kalau-kalau memang ada pada awak.” “Okay, awak. Nanti saya check kotak tu kalau ada saya call awak. Kalau tak ada saya tak call, boleh?” Wai tidak memberi apa-apa respon. Diam. Meera hampir benar dengan pintu pagar rumahnya. “Awak?” “Ya!” “Dengar tak, kalau ada saya call, kalau tak ada, saya tak call!” “Okay, saya tunggu,” balas Wai.
Setelah puas mencari, Meera tidak menjumpai apa-apa pun barangan Wai, ataupun barangan orang lain. Semuanya milik dia. Dia menjadi hairan, mengapa Wai boleh begitu yakin mengatakan dia yang mengambilnya. Tadi sudah janji kalau tidak ada apa-apa dia tidak akan telefon. Harap-harap Wai faham. Faham yang tidak ada apa-apa barang yang Meera ambil.
Pagi-pagi lagi Wai sudah tercegat di pintu biliknya. Senyum manis seperti biasa. Meera senang sebenarnya dengan keadaan itu. Senyuman itu dibalas dengan senyuman juga. “Terima kasih kerana senyuman manis tu,” Wai mengusik. “Sama, awak pun dah tersenyum pagi-pagi begini, ada apa-apa ke?” “Memang ada, jumpa tak?” “Jumpa apa,” Meera membalas soalan itu. Wai memerhati tanpa jawapan. “Ooo… saya ingat, tak ada apa-apa pun. Awak salah letak ni.” “Okay, tapi kalau tak ada pada awak, tak mungkin ada pada orang lain.” Diam. Meera diam. Wai pun diam.
“Jumpa nanti,” Wai bergerak untuk meninggalkan bilik itu. Setelah dua langkah, Meera memanggil, “Awak, apa sebenarnya?” Wai berhenti dan kembali menghadap ke arah Meera. “Awak benar-benar dah cari?” “Ya, tak ada apa-apa di dalam kotak itu.” Wai tersenyum lagi. “Kalau macam tu, memang tak ada dalam kotaklah, tapi saya yakin ada dalam hati awak, barangkali ada?” Wai senyum lagi. “Awak, apanya?” Sedikit ditinggikan suara bersama dengan geram. “Hati saya, awak telah mengambil hati saya.” Wai berpusing dan meninggalkan Meera sendirian.

Saturday, January 7, 2012

Thursday, January 5, 2012

Harapan Baru

Setelah lama terperam, akhirnya Alhamdulillah dapat aku siap manuskrip baru karya remaja. Harapan agar dapat diterbitkan dalam tahun ini dan harapan menggunung agar dapat dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 yang akan berlangsung pada penghujung April dan awal Mei nanti, Insya-Allah.

*Sedang menggarap cerita baru... kisah???

Tuesday, January 3, 2012

Saman - Sebuah Catatan

“Ke tepi encik, minta lesen,” pegawai polis itu bersuara. Aku tidak membantah, memandu ke tepi dan mengeluarkan lesen. “Kesalahan plat nombor.” Aku diam saja. Seorang daripada polis trafik mengambil kamera daripada pajero dan mengambil gambar nombor depan kereta aku. “Besar kamera aku lagi,(unsur riak) he..he..” Aku memang akur memang nombor depan kereta aku kabur, tapi tak sampai tidak boleh dibaca. Sebenarnya, cat pada plat nombor ada yang lekang. Warna hitam masih ada di sekeliling nombor kereta itu. Okay saja, saman menyaman memang kerja polis trafik. Terima sajalah. Cuma sikit hairan, waktu lalu kali pertama tidak kena tahan pula, kali kedua kena tahan, he… he..
“Aku kena saman le…” Aku bersuara kepada Ooi. “Ya ke?” Ooi bereaksi dengan sikit terkejut dan meneruskan ungkapan,“Ada bajet nak bayar?” “Ada.”Pintas aku. Ooi kembali mengemukakan soalan, “Ambil mana?” “Mana lagi, guna duit bonus la… itulah caranya.” Aku jawab sambil tersenyum. Bukankah itu juga merupakan salah satu daripada pendapatan negara, selain daripada cukai yang dikenakan, baik cukai langsung dan cukai tidak langsung.
Dalam sejarah pemanduan, inilah kali pertama aku disaman kerana plat nombor. Yang lain kena saman juga, tapi kesalahan-kesalahan lain. Aku memang tidak mahu susah hati pasal saman. Caranya mudah saja. Akur itu satu kesalahan, nanti ada masa pergi ke balai polis trafik, bayar. Ambil resit simpan baik-baik. Walaupun penilaian kabur itu subjektif, terima sajalah. Sebelum ini, pernah juga ada sekatan jalan raya, tapi tak sangkut. Nombor sama juga. Itulah yang dikatakan subjektif. A kata tidak kabur, B kata kabur, C kata sangat kabur, D kata tak nampak langsung, sebab D rabun teruk. Keputusannya, “Bayarlah wahai aku.”
Cuma satu lagi masalah saman aku yang belum selesai. Saman kereta yang dikeluarkan atas nombor motosikal aku. Lama sudah, namun Alhamdulillah sebab urusan membayar insuran dan cukai jalan masih boleh berjalan lancar.

Monday, January 2, 2012

Terima kasih

Terima kasih hati
kerana bersabar menanti hari ini
Terima kasih hati
kerana berpegang pada janji,
Insya-Allah akan tetap begini
dan terus mengerti.

Sunday, January 1, 2012

Mini Cerpen - Bicara Buat Zia

Akhirnya tirai 2011 berlabuh dan lembaran 2012 mula menjengah. Apa khabar Zia? Moga kau bahagia dan akan terus bahagia. Aku kira sudah terlalu lama aku tidak berbicara dengan mu baik secara bersemuka mahupun secara maya. Apatah lagi bersua muka, terasa sangat lama. Kau setuju? Aku terima apa-apa saja jawapan kerana aku tidak mendengarnya.
Lewat pertemuan pada suatu petang menjadikan aku mampu melihat dirimu tersenyum panjang. Aku boleh bayangkan, kerana sejak mengenalimu, itulah sikapmu. Tersenyum ceria. Dalam pertemuan dan perbualan dahulu, banyak perkara yang kita bincangkan dari isu kerja, cabaran kerja, isu semasa, dan sekali sekala menjengah ke dalam isu hati dan rasa. Ada ketika-ketikanya kita sama-sama terdiam untuk berbicara. Entah mengapa? Barangkali sewaktu itu ada sesuatu yang tidak terungkap. Sesungguhnya, aku senang apabila kau berbicara dengan ku. Dialog yang sinonim denganmu, “AD.” Dan aku akan menyahut, “Ya.” Katamu, “Tidak ada apa-apa.” Sebenarnya Zia, aku mengerti ada sesuatu yang tidak terucap dan aku menanti ungkapan itu. Sampai bila Zia?
Tentu kau pernah ingat pertemuan di dalam gerabak Komuter sewaktu kita sama-sama menghala ke selatan. Kau mahu terus ke Seremban dan aku hanya mahu ke Serdang sahaja. Akhirnya kita sama-sama sampai di Serdang dan mengembalikan nostalgia zaman bernama remaja. Kau juga pernah mengungkapkan, “Nanti, jarak dan waktu akan memisahkan.” Aku tidak bersetuju dan engkau kukuhkan lagi dengan memberi contoh pengalamanmu. Barangkali itu yang kau pernah alami, Zia. Sesungguhnya aku tidak berapa suka dengan ungkapan itu. Kau meneruskan hujah, “Sungguh, kita akan saling mengingati untuk tiga bulan pertama, bulan keempat sudah lupa.” Aku diam. “Maaf aku tidak ada pengalaman.” “Sungguh AD, nanti masing-masing akan sibuk dan tidak menghubungi antara satu sama lain. Dan waktu-waktu begini boleh mewujudkan prasangka, mungkin dah lupa, atau jumpa kawan baru.” Aku menjawab, “Kita akuilah yang kita masing-masing sibuk tapi jangan ada prasangka, prasangka tidak membahagiakan. Yang penting apabila ada masa kita boleh berbicara.”Kau tahu Zia, aku juga senang dengan guraumu apabila berbicara soal hati. Aku bertanya, “Boleh tak?” Kau kembali menyoal, “Apa?” Jawabku, “Sebahagian hati!” Balasmu, “Hati ayam, hati lembu? Beres AD, sebut saja.” Aku diam. Di sini aku masih meneka walaupun jawapan-jawapan lalu sudah menunjukkan kepastian. Seketika, kita lewati Seri Serdang hinggalah ke Seri Andalas termasuk Taman Universiti. Nostalgia silam seakan berada di depan mata. Selepas itu, perpisahan kita bermula lagi. Kau menghala ke Seremban dan aku kembali ke Kuala Lumpur. Pada akhir pertemuan itu, kau zahirkan “Hatiku Milikmu.” Soalku, “Benarkah Zia?” Kau mengembalikan soalan, "AD bagaimana?" "Zia, AD tetap sama."

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan