Monday, October 26, 2009

Setelah 14 Tahun


Sabtu, 24 Oktober 2009- Aku menjejakkan kaki ke Kampus Hijau UPM selepas 14 tahun tidak bertandang ke daerah ilmu itu. Banyak yang berubah dan banyak juga yang masih kekal. Aku bertolak dengan bas lebih kurang 10 malam dari Kangar dan sampai di Puduraya dalam pukul 6 pagi. Bas berhenti di hadapan bangunan Maybank dan aku menapak ke Puduraya. Pemandu-pemandu teksi seperti dulu juga bertanya akan tuju dan hala kita. Aku menolak dengan baik dan aku percaya mereka faham yang aku atau sesiapa pun ada ketikanya tidak memerlukan perkhidmatan teksi.
Puduraya tidak banyak berubah dengan platform yang sama, papan tanda syarikat bas sudah berubah. Namun, alhamdulillah surau di tingkat satu sudah besar daripada dahulu. Jemaah sembahyang subuh juga ramai. Kaunter menyimpan beg dan kasut berkhidmat seperti biasa dengan sedikit bayaran yang sangat berpatutan. Selesai solat, aku melahu di kerusi Hentian Puduraya dengan menyaksikan tayangan di kaca televisyen. Banyak perkara yang dipaparkan sepintas lalu. Daripada jaringan gol, ombak-ombak yang memukul pantai, kisah-kisah lucu, promo filem Papadom, dan selamat menyambut Deepavali. Sehingga hampir pukul tujuh aku menanti sahabat, kuhubungi tidak berjawab. Aku terus menanti dan sahabat lama itu menghubungi kembali dengan meminta aku menaiki komuter ke Serdang.
Dari Puduraya nak ke stesen Komuter, macam mana ya? Sejenak aku terfikir. Aku bergerak dan bertanya kepada pengawal yang segak beruniform putih. Jawabnya,"Encik keluar ikut situ, dan terus saja ke sebelah kiri," sambil menunjukkan dengan tangannya yang berlukis tatu. Setelah berterima kasih aku berlalu. Rupa-rupanya buka stesen komuter tetapi LRT tadi sahabat aku pesan naik Komuter. Memang silap. Aku kembali menghala semula ke Puduraya dan bertanya lagi dengan tiga orang pengawal yang berpakaian sama seperti tadi. Mereka membantu tapi sedikit terkejut kerana loghat mereka dalam bahasa Indonesia. Malahan sewaktu menerangkan kepada ku mereka bertelagah sesama mereka untuk memberitahu aku stesen komuter. Ya Allah, mana satu nak ikut? Akhirnya aku berjalan ke arah Central Market dan dengan harapan bertanya lagi di kawasan itu. Tempat pertama ialah penjual kueh antara Hentian Bas Kelang dengan Central Market. "Maaf encik, saya pun tak tahu," berbahasa Indonesia juga. "Baik, terima kasih," jawabku dan berlalu. Ada penjual surat khabar yang kulitnya sedikit gelap daripadaku (aku bukannya putih), apabila bertanya, langsung tak boleh berbahasa Melayu. Bayangkan menjual surat khabar di Malaysia tidak mampu berbahasa Melayu. Dalam hatiku "Gila betul!" Aku bertanya lagi dengan pengawal CM yang aku kira dia rakyat tempatan,"Encik ikut jalan itu, terus sampai tangga-tangga sana."
Aku kepada penjual nasi lemak tidak jauh daripada CM itu,"Akak pun tak tau dik. Nanti tanya dia jap." Sambil menunjuk ke arah seorang lelaki berhampiran van yang juga sama-sama berniaga nasi lemak itu. "Adik ikut jalan ni terus sampai tangga itu, adik naik tangga." "Terima kasih. "
Aku berlalu dan sampai di situ aku ketemu seorang anggota polis dan dia menjelaskan," Cik, komuter di sebelah sana. Ikut jejambat tu, seberang jalan dan atas sana," jelas daripadanya. Dan dengan menggalas beg merah aku pun terus ke tempat itu dan sesampai di situ memang jelas KTM Komuter. "Encik nak ke Serdang?" "Boleh, encik tunggu di bawah menghala ke Seremban."

Aku mengambil tiket dengan RM1.70 dan turun ke bawah menunggu komuter. Lebih kurang 5 minit menunggu komuter sampai dan bertolak ke Serdang. Beberapa stesen komuter itu berhenti dan terlupa nak hitung berapa minit perjalanan dari KL ke stesen Serdang. Di Serdang Bukriman, junior di KTP menanti dan terus membawa ke padang sofbol kerana ada perlawanan persahabatan dengan pasukan UPM. Boleh main lagi kah?" Aku bertanya di dalam hati. Antara ya dengan tidak aku tukar pakaian dan main juga. Bayangkan selepas berbelas tahun tak main sofbol. Tentu saja banyak yang tak bagus daripada yang bagus. Hanya seorang dua sahaja yang aku benar-benar kenal. Bukriman, Bonang, Puyut, Rahim dan Zanuar. Yang lain aku ingat-ingat lupa. Pesot barangkali ada dalam ingatan aku. Apa-apa pun aku berkongsi separuh perlawanan dengan Bonang bermain picther. Ada sedikit sahaja yang straight berbanding ball. Tapi kira ok juga. Selesai perlawanan, ada majlis makan-makan dan bersembang bercerita tentang zaman kampus sehinggalah isu semasa. Selesai semua aku balik ke rumah Bukriman di Bangi, berehat dan ke jamuan di rumah bapa Bukriman sempena hari lahir salah seorang ahli keluarganya. Selepas Maghrib, Bukriman menghantar ke stesen LRT Sungai Besi dan aku ke Puduraya untuk pulang.
Sewaktu itu nama-nama yang berada di sekeliling ketika di kampus amat jelas di ingatan. Rakan sekolej- Mate Zainal, Haimi, Suzaimi, Mat Le, Mat Iesak, Mega, Ibrahim @Vellu. Rakan-rakan sekuliah- Azam, Izzuddin, Zuraidi, Jiplus, Salleh dan seterusnya ....
UPM selepas 14 tahun, banyak yang berubah terutama pertambahan kolej, depan masjid bukan lagi selekoh tajam tapi dah ada round about boleh terus ke Fakulti Kejuruteraan baru. Cuma sebelah dalam kampus sahaja aku tidak sempat meneroka. Insya-Allah kesempatan yang akan datang. Apa-apa pun terima kasih kepada Buke, yang memberi layanan yang begitu baik, terima kasih kepada kawan-kawan yang sama-sama hadir. Mudah-mudahan akan ada lagi pertemuan pada masa akan datang.

Saturday, October 17, 2009

Seketika di Klinik

Malam semalam aku membawa anak sulung untuk berjumpa doktor sebab sakit mata dan selesema. Kiranya aku sampai awal, doktor belum sampai tetapi sudah giliran yang ketujuh. Alhamdulillah, aku terima saja. Kebetulan, staf yang mengambil pendaftaran pesakit itu rakan sekolah ku dulu. Sambil mendaftar sambil bertanya itu dan ini.

"Doktor akan sampai pukul 8.30," katanya. Aku lihat jam di tangan, 8.10 malam. "Ayah, kita pi beli susu." "Ok," ringkas daripada aku. Kami keluar menuju ke pasar raya berhampiran. Selesai semuanya, aku kembali ke klinik dengan harapan dapat berjumpa doktor cepat. Duduk menunggu memang membosankan. Benarlah kata-kata penantian itu satu penyeksaan.

Selepas pesakit keempat dan kelima, seorang lelaki yang aku kira lebih separuh umur keluar dari bilik air sambil memegang pinggang sebelah kanan. Boleh berjalan perlahan-lahan dan bercakap dengan nada yang cukup jelas. Dia sudah mendapat rawatan daripada doktor. Katanya dia datang dengan memandu sendiri dalam jarak 15 km (dalam kesakitan).

Sewaktu dia duduk menunggu staf klinik menghubungi anak-anaknya, dia mula sakit dan memegang bahagian pinggangnya. Dua nama anak diberikan kepada staf itu, tetapi tidak seorang pun yang berjaya dihubungi.

"Anak pakcik dua sahaja?" "Ada banyak." Staf itu terdiam. Pakcik itu mula mengerang dan aku dengan pelanggan klinik itu tidak mampu berbuat apa-apa selain menyabarnya. Semakin lama semakin kuat sakitnya. "Allahuakbar, Lailahaillah." Itu sahaja dialog yang jelas kedengaran sewaktu pakcik itu menahan. Akhirnya staf klinik itu mengambil keputusan untuk menghubungi ambulans hospital. Dalam keadaan itu, pakcik itu semakin sakit dan sudah tidak mampu berdiri lagi. Sewaktu hendak meletakkannya diatas kerusi roda, dia terlalu sukar untuk berdiri. Pakcik itu seakan-akan mengeliat menahan sakit, macam hendak pitam rupanya. Ambulan masih juga belum tiba. Pakcik itu meminta dia ditolak ke bilik air. seketika keluar dengan keadaan yang sama. Aku yakin pelanggan lain tertanya-tanya,"Mana ambulan, mana ambulan?"(termasuk aku). Seketika ambulans sampai dan pintu klinik dikuak, pakcik itu ditolak ke ambulans. Aku juga yakin semua berasa lega, juga termasuk aku.

Setelah aku merenung sejenak, banyak pengajaran di sebalik kisah ini. Di sebelah aku, seorang ayah membawa anaknya yang dalam lingkungan remaja untuk mengambil ubat kerana demam, muntah dan cirit-birit, di hujung dekat kaunter, seorang ibu membawa dalam lingkungan 6 tahun kerana asma, di sebelah seorang ayah itu, ada pelajar IPT yang meneman rakan untuk berjumpa doktor, di deretan kerusi seterusnya, emak ayah yang membawa anak-anaknya, juga untuk berjumpa doktor. Antara sedar dengan tidak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja untukmelihat anaknya sihat dan sejahtera. Mereka tidak mahu anak-anak dibelenggu masalah kesihatan. Namun begitu, apabila seorang ayah sakit, emak sakit, berapa orang anak yang boleh membawa mereka ke klinik atau ke hospital. Kasih sayang yang ditunjuk oleh ibu dan ayah tidak ada galang gantinya. Sekiranya kita masih mempunyai emak (termasuk aku), masih mempunyai ayah, maka ambil peluang sewaktu mereka masih ada. Jangan hanya menghargai atau mengetahui nilai sesudah mereka tiada.

Bagi anak-anak remaja yang berjauhan kerana melanjutkan pelajaran, rakan-rakan menjadi tempat bergantung. Ketika begini kita perlu mencari rakan dan kenalan yang seramai mungkin untuk manfaat pada masa hadapan. Rakan-rakan boleh membantu ketika kita dalam kesusahan.

Sebagai seorang pekerja, kita hendaklah cuba membantu pelanggan dengan sabaik mungkin. Pertolongan yang kita beri tidak diharapkan balasan, tetapi siapa tahu suatu masa nanti kita memerlukan pertolongan orang lain. Hidup seperti roda yang berputar, ada ketika berda di bawah.

Thursday, October 1, 2009

Pidato Pencegahan Rasuah Pra-U 2009





1 Oktober- Bertempat di Dewan Syarahan Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Perlis dengan Jabatan Pelajaran Perlis melangsungkan Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Pra Universiti Peringkat negeri Perlis bagi tahun 2009. Pertandingan terdiri daripada 2 kategori, iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Kategori Bahasa Malaysia dilangsungkan di Dewan Syarahan Perpustakaan Awam Negeri, manakala kategori Bahasa Inggeris dilangsungkan di Bahagian Teknologi Pendidikan, Behor Pulai. Seramai 14 orang peserta dalam kategori Bahasa Malaysia dan 7 peserta dalam Bahasa Inggeris.
Pertandingan dimulakan pada pukul 8.30 pagi dan berakhir 1.00 petang. Majlis Penutupan disempurnakan oleh Yang Berbahagia Penolong Pesuruhjaya Yusuf bin Shamsuddin, Pengarah SPRM Perlis. Sebelum perasmian penutup, Timbalan Pengarah Pelajaran Perlis, Tuan Haji Abdul Hadi Haron menyampaikan ucapan alu-aluan. Beliau menyentuh aspek kerohanian yang menjadi teras untuk menghalang masalah rasuah yang bertambah kronik. Antaranya ialah balik kepada asas agama.
Ucapan Penolong Pesuruhjaya Yusuf Shamsuddin pula menyentuh unsur integriti yang perlu ada dalam diri setiap orang. Tidak ada yang perlu dirisaukan sekiranya seseorang itu menjalankan tugas dengan betul dan amanah. SPRM memikul tanggungjawab yang besar dalam menjalankan tugas. Beliau turut menyeru agar masyarakat bekerjasama dalam usaha membanteras rasuah. Turut hadir dalam majlis perasmian penutup ialah Puan Norma Mohd Darus, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis dan Timbalan Pengarah SPRM Perlis, Penguasa Ahmad Shukri Mohamad Taib.
Peserta-peserta kategori Bahasa Malaysia:
1.NURSHAZA AINI SHARIFF - SMK TENGKU SULEIMAN (Johan)
2.FATIN AFIFAH MOHD ANUAR - SMK DERMA (Naib Johan)
3.NURHAFIDZAH AZLI - SMK SYED SIRAJUDDIN (Ketiga)
4.ZAFIRAH ZAKARIA - SMK SYED ALWI
5.NURUL ASHIKIN HAMID - SMK DATO' JAAFAR HASSAN
6.NURUL ATIQAH MD AKHIR - SMK (A) PEREMPUAN KANGAR
7.WAN ILHAM WAN NORDIN - SMK (A) ARAU
8.NORAZUWA MOHD NOOR - SMK KUALA PERLIS
9.NURUL NABILAH MD YUSOF - SMK PUTRA
10.NOR AZRUL JAMADIN - SMK RAJA PUAN MUDA TENGKU FAUZIAH
11.NUR AIN ABDULLAH - SMK ARAU
12.SITI RAUDZAH ROSLI - SMK SYED AHMAD
13. MOHD NOOR AL AMIN HJ ALMAZENI - SMK PERLIS
14. YUSRIZAMZURI YAHAYA - SMK PADANG BESAR UTARA

Peserta-peserta kategori Bahasa Inggeris:
1.NAS AIDIL MOHAMAD NASEER - SMK TENGKU SULEIMAN (Johan)2.NORJANNAH RAHAMATHULLAH - SMK PERLIS (Naib Johan)
3.MUHAMAD ANUAR SOBRI - SMK PADANG BESAR UTARA (Ketiga)
4.YAP YEN PENG - SMK KUALA PERLIS
5. MOHD IRFAN SUFI MUSLIM - SMK SYED ALWI
6.NURIYLIA MOHD NOOR - SMK DERMA
7.NOOR AZWA SHAFIE - SMK SYED SAFFI

Pemenang-pemenang membawa pulang hadiah lumayan, malahan hadiah saguhati membawa pulang piala iringan, sijil penyertaan, dan cenderamata.
Pemenang tempat ke-3, wang tunai RM400.00, piala iringan, sijil penyertaan dan cenderamata. Naib Johan membawa pulang wang tunai RM450.00, piala iringan, sijil penyertaan dan cenderamata. Johan membolot wang tunai RM500.00, piala iringan, sijil penyertaan dan cenderamata.
Tahniah kepada pemenang, sesungguhnya yang mampu berada di pentas untuk berpidato itu adalah pemenang. Sesungguhnya untuk berpidato di atas pentas bukan sesuatu yang mudah, oleh itu yang berpidato itu adalah pemenang, cuma hakim memilih peserta yang lebih baik untuk mewakili negeri ke peringkat kebangsaan di Putrajaya pada 29 Oktober nanti.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan