Sunday, November 27, 2011

Cameron Highlands

Bercuti seketika di daerah dingin dengan gerimis pada hari pertama, dan cerah pada hari kedua. Alhamdulillah sempat merasai nikmat bercuti. Nanti, ada peluang boleh berkunjung lagi, Insya-Allah dan ada masa boleh bercuti bersama-sama, ya!

Monday, November 21, 2011

Ada kala

Ada kala baik seketika daripada lama
kerana seketika itu lebih baik daripada tidak langsung.
Ada kala baik sejenak daripada lama
kerana sejenak itu lebih baik daripada tidak langsung.
Ada kala kita ulangi persoalan yang sama
kerana persoalan itu menuntut kepastian
biarpun jawapannya dalam ingatan...

Wednesday, November 9, 2011

Cuti

Tanyakan kepada mereka tentang cuti
Membahagiakan atau sebaliknya
Tanyakan lagi tentang panjangnya cuti
Membahagiakan atau sebaliknya
Yang penat bekerja, sangat bahagia
Yang malas bekerja, lebih bahagia
Yang hidupnya kerja, terasa sengsara
Yang menganggur, cuti setiap masa
Jadi, cuti tidak bermakna apa-apa
Jika ditanyakan kepada aku,
Membahagiakan atau sebaliknya,
Emm….
Akan dipertimbangkan…

Bulan Yang Satu

Dongaklah ke langit
perhati cakerawala di angkasa
ciptaan Yang Maha Esa
bukakan hati untuk terus berbicara
dan detikkan rindu
pada angin yang menderu
sejarak mana jauh
memungkinkan tidak tersua
moga masih seperti dulu
kita tetap melihat bulan yang satu.

Saturday, November 5, 2011

Gerek Raya - Sebuah Catatan


Zaman sekolah, sekiranya ayah atau emak membelikan kita sebuah gerek (basikal) sudah tentu gembira tidak terhingga boleh jadi melompat sampat ke langit (gaya bahasa hiperbola). Namun, pada usia yang hampir separuh abad ini, mendapat gerek tua sudah juga menggembirakan. Bila hendak kayuh tak tahu lagi. Setelah beberapa lama gerek itu dihantar ke kedai untuk diperbaik, maka hari ini (dua hari sebelum Aidil Adha), kembali semula dengan keadaan yang lebih baik.
Alkisah, gerek ini aku kutip di perdu nangka di rumah Chaq (Datuk) aku. Sesudah beberapa tahu arwah kembali ke Rahmatullah, terasa sayang pula kepada gerek tua ini. Aku bawa balik dan baiki sekali. Baiki tapi tak naik pun. Beberapa ketika, aku tinggalkan gerek tua itu di tepi dinding rumah. Sebabnya, tidak sempat hendak mengayuh, dan akhirnya tayar pecah, tongkatnya reput, kong juga sudah uzur, breknya tidak berfungsi, bahagian lampu depan sudah reput, dan gerek itu pun tersadai di dinding bilik air dengan ditemani satu lagi gerek buruk (masih boleh dibaiki).
Satu petang teringat hendak menghantar gerek ini kedai. Setelah lebih sebulan bermalam di kedai gerek, maka kembalilah gerek tua itu dengan keadaan seperti dalam gambar yang dipaparkan. Agak-agaknya boleh tak aku join kawan-kawan yang ada dalam kelab kayuh. Boleh kot, kalau setakat nak naik Wan Nordin, Wang Kelian atau pergi Changlung tak jadi masalah punya. Aku boleh suruh mereka kayuh dulu dua tiga tiang, nanti aku kejar. Tidak menjadi masalah untuk aku hambat dari belakang(nada berlagak), sudahnya aku balik ke rumah… Apa-apa pun aku ada Gerek Raya. Nanti kalau ada peluang boleh kayuh ke tempat kerja, agak-agak ada tak kawan-kawan yang nak naik dengan aku?Awak? SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA.

Friday, November 4, 2011

Mini Cerpen - Hati Lia

Lia merasakan ada yang tidak kena. Keadaan ini bukan lagi seperti rutin yang dialami sejak awal tahun. Memang ada yang tidak kena. Situasi itu perlu diperbetul. Sebelum keadaan menjadi lebih parah, baik diperbetul. Lia mesti berterus terang dengan Zaid. Sememangnya tidak patut berlaku.
“Lia, masuk bilik kejap,” satu pagi disapa Zaid.
“Tutup pintu.”
Hati Lia menggerutu. Tidak pernah Zaid hendak bercakap dengannya minta supaya pintu ditutup.
“Lia ok hari ni?”
“Ya, macam biasa, sihat dan ok.” Ringkas daripada Lia.
“Saya ada permintaan untuk Lia.”
“Apanya?” Penuh persoalan dan dikurung rasa gelisah.
“Saya nak setiap pagi, sebelum mula bertugas mesti masuk jumpa saya dulu.”
“Mengapa Zaid? Ada yang tidak betul ke selama ini?”
“Saya nak awak jumpa saya, bukan soal betul atau tidak!”
“Tapi Zaid…”
“Tidak ada tapi-tapi lagi. Susah sangatkah Lia nak masuk jumpa saya, sekejap pun jadilah. Bolehkan?”
“Sudahlah Zaid, banyak kerja yang perlu diselesaikan.”
Lia bingkas bangun dan menguak daun pintu untuk terus keluar. Zaid memerhati. Lia sedar yang Zaid memerhatinya. Langkahnya dicepatkan. Hatinya bertanya sendirian. Apa perkara yang menjadikan Zaid sedemikian? Setahu Lia tidak ada apa-apa yang berlaku antara Lia dengan Zaid.
“Hai Lia, awak nampak cantik hari ni,” puji Farid seperti biasa.
“Awak ni masih tak sedar-sedar, bukan hari ni saja cantik, kan hari-hari saya nampak cantik.”
“Saya setuju dengan Lia,” sokong Farid sambil mengenyitkan matanya.
Lia tersenyum dengan gelagat Farid. Hari-hari nampak ceria dan gembira. Kerja bertimbun atau sedikit, begitulah Farid. Kurus dan sentiasa berambut pendek. Lia sangat menyenangi Farid tapi disimpan diam-diam. Tidak pernah terluah dan tidak mungkin diluahkan.
Petang itu sebelum balik, Farid datang ke mejanya dan berborak seperti biasa. Farid telah melengkapkan tugasnya, hanya menanti masa untuk pulang. Lia pun seperti biasa, tugasan hari itu telah diselesai dengan baik. Zaid masih di dalam biliknya memerhati sahaja pergerakan Lia dan Farid. Farid bergerak untuk pulang, Lia turut bergerak sama. Zaid memanggil Lia. Lia terhenti, Farid juga terhenti. Lia mengisyaratkan agar Farid terus bergerak, tinggal hanya Lia.
“Saya tidak suka awak berbaik dengan Farid.”
“Apa salahnya Farid tu? Ada dia buat salahkah?”
“Tidak ada salah, tapi saya tak suka awak berbaik dengan dia, faham?”
“Zaid, mengapa dengan awak ni? Dan sejak bila pula saya harus mengikut kehendak awak? Saya bukan budak-budak sekolah.”
“Jadi awak nak tahu mengapa? Sungguh awak nak tahu? Baik. Sebenarnya saya suka awak dan saya tak nak orang lain rapat dengan awak, faham!” terang Zaid dengan muka yang merah.
“Zaid, saya melayan awak, menemani awak dan menghormati awak sebagai rakan sekerja. Tak lebih daripada itu. Tidak ada pun yang melibatkan soal hati.” jelas Lia.
“Lia, awak nak menafikan perasaan awak terhadap saya? Tak nak mengaku?”
“Mengaku apanya. Saya menerima awak tidak lebih daripada rakan sekerja, bertugas di satu pejabat, itu saja. Saya harap awak jelas, Zaid.”
“Habis, selama ini kitakan selalu berhubung, bersembang, bergurau dan minum bersama bukan lagi bermakna suka kepada saya? Bukan lagi?”
Lia menghelakan nafas panjang. Memandang ke siling bilik, ke dinding, dan balik ke muka Zaid yang sudah kemerah-merahan seakan marah. Seingat Lia, dia tidak pernah berbicara tentang perasaan dan hati. Memang ada ketikanya Lia melayan Zaid bersembang di telefon, ada menemannya sewaktu ada kerja out station, tapi masih sebagai rakan sekerja. Bagi Lia sangat jelas sebagai rakan sekerja. Lia tidak menyangka yang Zaid akan menyalah tafsir persahabatan itu. Zaid sudah memulai episod yang melibatkan hati dan perasaan. Tidakkah ini boleh mengundang kekusutan.
“Zaid, saya dah kata, antara kita hanya rakan sekerja. Soal suka tidak salah tetapi setakat rakan sekerja, saya harap awak faham.”
“Lia, saya beranggapan yang awak berperasaan seperti saya…”
“Awak silap, kita rakan sekerja dan tidak lebih daripada itu. Memang saya pernah menemani awak sewaktu out station, memang saya melayan awak untuk bersembang tanpa mengira waktu, memang saya boleh bergurau dan menerima gurau awak, tapi semua itu tidak bermakna yang saya menganggap awak lebih daripada itu.”
“Farid?”
“Hal ini tidak kena mengena dengan Farid pun. Tolonglah faham Zaid.”
“Atau awak memang suka Farid,” Zaid terus menekan.
Lia diam. Nafasnya terasa kencang, hatinya berdebar-debar. Mengapalah Zaid ini tidak mahu mengerti segala yang diluahkan. Dia bimbang sekiranya sabar itu menjadi benci yang mendalam. Penyataan Zaid itu seakan memancingnya untuk menyatakan yang dia menyukai dan menyenangi Farid. Perlukah Lia berterus terang menyatakan memang dia suka kepada Farid, pekerja bawahan yang bekerja sepejabat dan satu syarikat dengan Lia dan Zaid. Perlukah Lia mengungkap dialog tanpa selindung agar Zaid benar-benar faham.
“Zaid, sebenarnya hati saya terlebih dahulu menyukai Farid. Sejak dulu lagi, sejak saya tidak mengenali awak lagi. Jadi dalam apa-apa keadaan sekali pun saya tetap suka pada Farid. Awak hanya sebagai rakan sekerja dan tidak lebih daripada itu. Awak faham? Hati saya dengan Farid!” itulah ayat yang berbungkam di hati Lia antara mahu diluahkan atau menyimpan lagi untuk sekian lama. Lia yakin, sekiranya dia terus-terusan ditekan, Lia nekad untuk menyatakan sesuatu yang sepatutnya. Biarpun sukar untuk diterima Zaid. Setakat ini Lia masih boleh bertahan, dan seandainya keadaan terus mendesak, Lia tidak ada pilihan lain.

Thursday, November 3, 2011

Mini Cerpen - Dialog Dinihari

Setelah menelaah beberapa catatan, Dee menelentangkan badan untuk menghilangkan lenguh. Lampu kalimantang menyuluh mata. Dia memejamkan mata. Dua anak kembarnya masih cergas di ruang keluarga dan sekali sekala berlari ke ruang tamu.
“Aduh! Pasal apa buat macam ni?” spontan daripada Dee.
Tidak ada jawapan. Dee membukakan mata. Ternampak senyuman manis anak bongsunya. Manis dan comel. Adik di atas perut Dee. Abang duduk di sebelah kanan. Nafas adik tercungap, abang juga, selepas bermain dan berlari sesama mereka.
“Ayah sakit?” Tanya abang.
“Ya.”
“Kalau ayah sakit kena makan ubat,” sambung adik.
“Kalau tak makan ubat?” Dee memancing cakap.
“Ayah, ayah, ayah,” itulah cara adik atau abang sekiranya memanggil.
“Kalau ayah tak makan ubat, sakit tak lega(sembuh),” tambah abang.
Adik masih di atas perut Dee. Abang memegang plastik panjang yang dianggap pedang. Sesekali menggerak-gerakkan plastik tersebut.
“Ayah, ayah, ayah, kalau ayah sakit lama-lama, nanti mati,” kata adik sambil memegang dada Dee.
Dee tersenyum sambil memandang anaknya yang bongsu itu. Abangpun sama juga senyum-senyum menampakkan gigi depan.
“Kalau ayah mati, nak buat macam mana?”
“Adik bawa ayah pi masjid, macam Tok Wan bawa Tok Nek. Ayah dok kat masjid.” Selamba adik menjawab.
“Tak kesian kat ayah,” Dee bertanya.
“Adik, kesian kat ayahkan,” sampuk abang.
“Siapa nak buat neneng (susu) adik?” Dee tanya lagi.
“Ibu ada.”
“Ibu buat neneng abang la!” tambah abang.
“Adik pun ibu buat!”
“Tak, ibu buat untuk abang saja.”
“Dah jangan gaduh.”
“Nanti bila nak buat neneng, adik pi masjid cari ayah. Ayah boleh bangkit buat.”
“Kalau ayah tak bangkit?”
“Adik panggil, ayah, ayah, ayah, bangkit la buat neneng adik. Adik nak neneng, lepas tu adik teriak (nangis) kalau ayah tak bangkit.”
“Abang tolong buat neneng adik.”
“Abang kecil lagi.”
“Ya lah, bagusnya anak-anak ayah ni.”
Adik senyum, abang memegang pipi Dee.
“Ayah, ayah, ayah, nak sayang pipi ayah,” kata adik, dan terus membongkokkan badan meletakkan hidungnya pada pipi Dee.
“Emm…”
“Ayah, ayah, nak sayang mata ayah, boleh?” Abang hendak turut serta.
“Ya, boleh.” Secepat itu juga abang meletakkan hidungnya pada mata Dee.
“Adik, jom kita pi main fire,fire.”
“Kat mana?”
“Sana.”
Adik pun bangun dari perut Dee dan bergerak ke arah ruang keluarga yang lampu masih lagi terpasang. Seketika dua beradik itu bermain dengan kuasa air, kuasa lampu, fire dan agumon bertukar. Abang berlari ke arah Dee sambil menangis.
“Ayah, ayah, adik ketuk kepala dengan pedang.”
Adik menuruti dari belakang.
“Adik ketuk pelan saja, mana sakit.”
“Sakit la adik.”
“Ok dah, nak main, main elok-elok. Tak pun boleh tidur.”
“Jom abang, kita main lagi…”
Berlarilah semula ke ruang keluarga dan balik ke ruang tamu dengan aksi-aksi yang pelbagai. Dee menyaksi aksi-aksi mereka berdua sambil menelaah catatan tentang zuriat yang dikurnia Yang Maha Esa. Seketika masa berlalu. Di luar semakin sunyi. Bunyi cengkerik dan angin bertiup sahaja yang berirama.
“Ayah, ayah, abang nak neneng.”
Bingkas bangun dan ke ruang dapur. Sewaktu menggoncang susu abang, adik berdiri di tepi Dee. Memegang kain pelekat Dee.
“Adik nak juga?”
“Tak. Adik berak!”
Dee menghela nafas panjang.
“Terima kasih anak-anak, kalian banyak mengajar aku erti sabar.”

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan