Thursday, December 29, 2011

Mudahnya Menghitung

Andainya,
Sehari satu ringgit
Seminggu tujuh ringgit
Sebulan tiga puluh ringgit
Setahun, tiga ratus enam puluh lima ringgit
Dua tahun, tujuh ratus tiga puluh ringgit
Tiga tahun, satu ribu sembilan puluh lima ringgit
Empat tahun, satu ribu empat ratus enam puluh ringgit
Lima tahun, satu ribu lapan ratus dua puluh lima ringgit
Mudahnya menghitung
Itu kalau satu ringgit,
Andainya ,
Dua ringgit, lagi banyak bukan?
Nanti,
Akan diberitahu apabila perlu
Ish… ish… ish… mata duitan.

Saturday, December 24, 2011

Mini Cerpen - Putus Cinta

Sebuah kereta Nissan Sentra berhenti di hadapan rumah. Adik aku keluar dan berdiri dekat dengan tiang garaj. Kereta itu diundur. Tangan pemandu dilambai-lambai, Adik aku membalas. Kereta tersebut berlalu dan Adik aku masuk ke dalam rumah terus ke bilik. Seketika keluar dengan tuala dan terus ke bilik air dan mandi. Petang itu Adik aku mandi sambil menyanyi. Satu perkara yang jarang benar berlaku.
Selepas Isyak, sebaik aku melangkah masuk isteri sedang membasuh pinggan dan cawan. Senyum manis terukir untuk menambat suami (itu yang sepatutnya setiap kali suami balik). “Dah balik?” “Ye le.” Aku membalas dialog isteriku. “Aikk, malam ni adik abang tak keluar ke? Biasanya lepas Isyak begini ke rumah Zul, nak main badminton, nak check motor, adjust brek, adjust clac….”
“Adik abang tu…” “Apanya?” Aku melabuhkan punggung di kerusi plastik selepas menukar baju. “Adik, akak bagitau abang ya?” “Ikut kak lah!” Matanya masih tertumpu pada televisyen yang memaparkan perlawanan bola sepak. “Abang, adik tu putus cinta!” “Ooo ya… ke? Tapi tak Nampak sedih pun. Biasanya orang putus cinta, nangis-nangis, kurung dalam bilik, ish…ish…” Isteriku senyum meleret. Adik aku selamba melayan perlawanan bola sepak seperti tidak mendengar apa-apa.
“Yang nyanyi dalam bilik air tu, frust la tu.” “Patut la, tak pernah abang dengar adik nyanyi dalam bilik air. Rupanya, tanda-tanda orang frust nyanyi dalam bilik air.” Malam itu bagi aku berlalu seperti biasa. Isteri aku juga seperti biasa, adik aku juga aku tengok seperti biasa, layan bola sepak. Selesai semua aku berbicara dengan adik aku.
“Adik, sedih tak?” Sebaik dia duduk di ruang tamu bersama-sama aku. Aku masih memegang majalah yang baru dibeli. “Entah, bang. Rasa bercampur-baur. Rasa ok dan tak ok.” “Pasal apa putus?” “Ika dah nak kahwin, bulan Mac.” Cepatnya.” “Mak Ika kata dengan kawan abang Ika.” “Mak dia?” Aku memancing cerita. “Ya, adik ke rumah Ika. Jumpa dengan Mak Yam. Mak Yam kata dia tak kisah Ika kawan dengan adik, tapi jodoh Ika dah ditetapkan.” “Reaksi adik waktu itu?” Adik aku diam. “Abang ni banyak tanya la…”
“Waktu tu biasa saja bang, sebab Mak Yam cakap baik sangat. Abang nak adik ulang dialog tu ke?” “Tak usah dik, abang sebenarnya kenal Mak Yam tu. Bahasa dia lembutkan?” Adik aku senyum tawar. Barangkali terkejut yang aku kenal dengan Mak Yam. “Tak payah nak frust menonggeng, cinta tu sebahagian kecil daripada hidup. Banyak lagi hal-hal lain yang penting. Bukan abang kata tak penting langsung, penting juga cinta tu, tapi jangan ikut emosi. Control emosi adik, handle with care!” Sehabis ayat itu adik aku senyum panjang. “Bukan barang kaca, kot-kot pecah. Apa lah abang ni.” “Yalah, hati adik tu, jangan sampai pecah berderai…”
“Abang nak bagitau, apa-apa yang ditentukan Allah ada hikmah. Nanti adik akan kata, ooo …. patutlah jodoh aku bukan dengan Ika, patutlah dengan Mira.” Pantas adik aku menjawab, “Mira mana?” “Konon-konon le. Yang kita rancang tak semestinya berlaku dan yang tak dirancang pun boleh berlaku bila-bila masa. Cuma, meninggalkan tidak separah ditinggalkan.” “Yalah bang. Terima kasih banyak.” Diam seketika. “Abang!” “Ya.” “Abang pernah putus cinta?” Aku renung muka adik aku. Tidak menjawab tapi mengherotkan pipi dengan sedikit suara, “ Emm... dipertimbangkan jawapan nanti.” “Tak payah rahsia bang, nanti adik tanya akak!” Adik aku bangun bersama-sama senyum manisnya.

Friday, December 23, 2011

Sah!

Setelah beberapa hari panggilan daripada rakanku, sahlah surat itu memang wujud seperti entri "Benarkah?"

Kadang-kadang,
Ada yang suka kita dipindahkan,
Ada yang sedih kita dipindahkan,
Ada juga yang tidak berasa apa-apa,
Antara kita hadir dengan tidak,
Tidak memberi makna sekelumit pun,
Kadang-kadang,
Ada yang berubah sekelip mata,
Ada yang tidak berubah langsung,
Dan tidak mahu berubah pun,
Banyak yang mengajar
Andai semuanya atas kepentingan,
Sampai masa akan terbukti juga,
Rupa-rupanya,
Baru sekarang aku memahami.

Maaf, surat itu memang wujud tapi SAH SILAP ALAMAT, jadi sampai pencen la di tempat lama.

Monday, December 19, 2011

Bengkel Penulisan



Bengkel penulisan anjuran Persatuan Penulis Perlis (3P) pada 17 hingga 18 Disember bertempat di Hotel Brasmana, Kuala Perlis. Pagi hingga malam, menarik dan banyak membantu para peserta. Terima kasih AJK yang terlibat dan syarikat Nukilan Unggul Publication Sdn Bhd.

Aku Pernah

Aku pernah melihat ketawanya gembira
Aku pernah melihat senyumnya ceria
Aku pernah melihat merah padamnya muka
Aku pernah melihat menitisnya air mata
Aku pernah merasa rajuknya seketika
Aku pernah merasa marahnya menyala
Aku pernah merasa hadirnya di mana-mana
Aku pernah dan akan terus mendoa
Moga dia bahagia selama-lama…

Friday, December 16, 2011

Benarkah?

Panggilan pada malam itu (Selasa malam) agak mengejutkan biarpun sejak sebulan lalu aku telah memikirkannya. Lambat laun perkara ini akan berlaku juga. Tapi bila? Itu yang aku tidak tahu jawapannya.


"Macam mana nama hang ada di sini?"


"Maaf, aku tak tau!"


"Tadi aku nampak surat siap dengan nama hang dan nombor IC sekali. Dalam negeri ni mana ada orang lain yang nama macam hang."


"Tentang nama aku setuju, tentang surat minta maaf aku tak tau. Walaupun aku dalam senarai nak ditukarkan, tapi tak tau ke mana."


"Jadi hang tau dah yang hang nak kena tukar?"


"Besar kemungkinan la bro... tapi tak tau bila dan di mana."


"Nanti awal tahun hang join kami la nampaknya."


"Tak dak hitam putih lagi, mana boleh confirm lagi."


"Tak pa hang tunggu surat sampai kat hang, paling lambat pun minggu depan."


Esoknya, aku ke pejabat bertanya kalau-kalau ada surat untuk aku (surat kena tukar). Semuanya jawab tidak ada. Kebarangkalian yang bermain di benak aku, surat tu silap kot, tapi selama ini tak pernah silap pun. Semua surat aku sampai dengan selamat. Macam mana yang ini boleh terlajak ke sana (sengaja tak mau sebut ke mana). Berpindah tempat kerja atau dipaksa pindah? Aku mencari jawapan, antara itu mana satu yang sesuai untuk aku? Apa-apa saja lah. Sedih? Dipertimbangkan... he...he...he... Setakat ini hanya kawan baik aku dan aku sahaja yang tahu. Orang lain masih meneka dalam kesamaran. Biarlah, aku kena tunggu hitam putih dulu. Banyak sungguh kejutan yang berlaku pada tahun ini. Ya Allah, tabahkanlah hati ini menghadapi dugaan yang mendatang.

Wednesday, December 7, 2011

Buanglah

Buanglah,
Campaklah,
Pinggirkanlah tika marah membara,
Takdirnya akan diperlukan kembali,
Carilah,
Ambillah, dan
Pungutlah ,
Tapi ingat,
Tidak lagi sama,
Seperti sebelum dibuang, dicampak, dan dipinggirkan.

Friday, December 2, 2011

Ikan apa ya?- Sebuah Catatan

Tiba-tiba telefon berdering.

"Makcik kata nak ikan. Ni ada ikan tu... nak ke tak?"

"Boleh juga."

"Makcik nak berapa ekor?"

"Seekor cukup le... Besar ke?"

"Tak juga, dalam sekilo lebih sikit. Boleh?"

"Bolehlah."

"Nanti saya hantar."

Beberapa ketika, sampailah Am dengan ikan yang dimaksudkan.

"Ikan apa ni?"

Am menjawab, tapi adik aku tidak tahu mengulang semula jenis ikan itu. Tak apalah, ikan apa-apa pun.

"Harga?"

"Sekilo lebih sikit, bagi RM10 cukup," ringkas daripada Am.

"Dapat banyak ekor ke?"

"Tak, lima saja. 3 yang lain kecil sikit, yang seekor lagi besar daripada ni."

"Ooo... mancing dengan siapa?" adik aku masih mahu bersoal.

"Sorang-sorang, ayah masih kat Pahang.

Maka ikan itu pun berpindah milik. Hari ini adik aku yang lelaki tu pun berminat nak membakar ikan dengan diteman oleh anak-anak saudaranya yang suka menyibuk. Sesekali melarang itu dan ini, malah ada ketika terasa letih menjawab soalan berkenaan ikan yang sedang dibakar. Akhirnya, selepas berpindah milik, disiang, dibakar, dimakan, dan tinggal tulang.

Isinya halus, hampir sama isi ikan patin, tapi bertulang kecil seperti tulang ikan terubuk, cuma tulang dalam isi itu lebih besar daripada tulang ikan terubuk. Alhamdulillah, selesai. Rezeki pemberian Allah.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan