Friday, October 28, 2011

Coretan Silam

Sebuah coretan silam
Yang sekian lama terpahat di batu hati
Tersimpan kukuh buat diri
Sekadar mengintai di jendela sanubari

Tersingkap sebuah coretan silam
Yang berdekad terkunci seakan mati
Tersemat rapi tanpa disedari
Hanya memeluk rasa tanpa bicara

Akhirnya
Tersingkap sebuah coretan silam
Yang bersemi mekar menjadi ikatan
Tersimpul erat mengajar erti matang
Dalam dunia kehidupan.

Friday, October 21, 2011

Buat Kawan

Kawan, hidup silih berganti antara tenang dan gelora, umpama lautan luas terbentang. Ada ketika damai yang amat membahagiakan tetapi ada ketika gelora yang membadai menggugah ketenangan.
Apa lagi yang aku mampu katakan, selain kau perlu mendepani dugaan yang mendatang dengan rasional dan keimanan.
Apa lagi yang aku mampu katakan, selain kau perlu menjadi tabah mengharungi ujian yang melanda.
Apa lagi yang aku mampu katakan, selain kau perlu kuatkan tekad kerana sesungguhnya kau seorang yang utuh jiwanya.
Kawan, berbicara soal hati sememangnya mudah tetapi merungkai kekusutan hati mencabar kesabaran jiwa.
Apa lagi yang aku mampu katakan, selain kau perlu mempunyai jiwa sabar yang tinggi dan aku sentiasa di sisimu, kawan.

Thursday, October 20, 2011

Esok

Menanti esok,
Tidak sama seperti hari ini,
Terasa lambat walaupun sama detiknya,
Esok barangkali ada, atau
Esok barangkali kita yang tiada,
Jika tiada esok, dunia ini tiada,
Jika ada esok dan kita yang tiada,
Doakan saja,
Moga roh dicucuri rahmat Yang Maha Esa.

Tuesday, October 18, 2011

Mini Cerpen - Raksasa

Pukul 1.45 pagi
“Fire! Fire! Cepat tembak, raksasa dah makin dekat.”
“Sembunyi belakang sini, lekas adik.”
“Baik.”
Adik dan abang pun berlari bersembunyi di belakang meja. Menjengukkan kepala melihat raksasa yang dicipta sendiri dalam minda mereka.
“Adik, raksasa dah hilang.”
“Baik-baik, nanti dia datang lagi. Jaga-jaga, api dari mulutnya bahaya.”
“Mana pergi Ultraman ni.”
“Sungguh, Ultraman Cosmos pun tak sampai-sampai lagi.”
“Jom, kita lari ke ruang tamu, mari.”
“Baik, ambik senapang abang tu. Nanti raksasa pijak.”
Berlarilah dua beradik itu ke ruang tamu sambil membawa senapang getah yang sudah tidak sempurna sifatnya (muncung senapang sudah patah).
“Mari sini, kita tunggu di sini,” panggil abang.
“Nanti, lampu tak pasang, kelam.”
“Ok adik, pasang lampu dulu. Boleh nampak raksasa yang datang.”
Adik menarik kerusi getah berwarna putih, diletakkan dekat dengan kawasan suis, memanjat kerusi dan memasang lampu.
“Yah, dah cerah. Kita tunggu raksasa tu di sini,” sahut abang.
“Adik, sembunyi sini.”
“Mana Power Rangers ni?”
“Power Rangers tak datang kalau ada Ultraman.”
“Ultraman pun tak ada, siapa yang nak lawan raksasa ni.”
“Mari kita lawan.”
“Yeah, dus, tom, tom, dus, ambik kau,” abang menggayakan orang berlawan dengan menggawangkan senapang yang tidak cukup sifat itu. Adik menggayakan perkara yang sama…
“Yeah, huh, jeng, jeng, dus, boom, boom.”
“Jaga, raksasa dah bangun. Jaga raksasa datang sini.”
Ada makhluk melangkah masuk.
“Abang, itu bukan raksasa. Itu ayah kita, apalah abang ni, ayah pun kata raksasa.”
“Siapa nak tidur ni…”
“Nantilah ayah…”
“Esok kan nak pi rumah mak (pengasuh), nanti tak bangun pagi.”
“Adik bangun.”
“Abang pun bangun.”
Bermainlah dua beradik itu dengan hero-hero dongengan mereka. Power Rangers, Ben10, Ultraman Taro, Ultraman Cosmos, yeah sampai tak tau pukul berapa nak tidur…
“Mainlah anak-anak, ayah tunggu. Esok-esok bila sudah besar, sudah tidak ada lagi pengalaman ini,” Dee bermonolog sendirian.
2.15 pagi

Mini Cerpen - Menanti

Ika sibuk melayan tetamu yang bertandang. Hari itu Ika gembira. Majlis perkahwinan kakaknya nampak meriah. Itulah kenduri pertama Haji Nan dan Hajah Som untuk anak sulungnya. Ika berbaju pink dengan sedikit mekap nipis dan tanpa kaca mata pada hari itu. Nampak menarik. Hatinya gembira,rakan-rakan bertandang memenuhi jemputan. Di luar khemah kelihatan mendung di arah utara. Bimbang juga kalau-kalau hujan turun pada hari itu.
“Assalamualaikum, sibuk nampak,” sapa Ina yang datang bersama suaminya.
“Ya, terima kasih kerana sampai juga.”
“Mesti datang, kawan punya pasal. Aku bawa suami ni.”
“Tahu, jemput makan Zizul. Pergi makan dulu, nanti kita sembang.”
“Tak payah, kau sibuk, buat kerja kau tu,” sambil Ina bergerak ke arah tempat nasi dan lauk.
Ika hanya tersenyum. Pelanggan silih berganti, kebanyakan rakan yang dijemput sudah datang, tapi hatinya masih menanti seseorang yang tidak kunjung tiba. Geram pun ada. Janji hendak datang tapi tidak sampai-sampai. Kakaknya, yang menjadi raja sehari sudah selesai majlis makan beradab. Para tetamu yang datang bersama-sama pengantin pun hendak bergerak pulang. Ika menghulur bunga telur dan cenderahati yang disediakan sejak berminggu-minggu yang lalu.
Hatinya kembali resah. Ada juga tercuit rasa geram dan marah. Telefon bimbit yang dipegang sejak pulangnya rombongan pengantin diakses. Sekadar menghantar mesej dan sengaja tidak mahu membuat panggilan.
“Mana?”
Ika menunggu kalau-kalau ada jawapan. Hujan mula gerimis. Tetamu yang berada di sekitar khemah bergerak mencari tempat yang lebih selesa untuk berteduh. Akhirnya, gerimis bertukar rintik dan mencurah membasahi bumi serta sekitar kawasan. Tetamu berkumpul di dalam khemah dan ada juga bergerak ke ruang hadapan rumah yang berbumbung. Tempias angin tetap membawa habuk-habuk hujan melembapkan pakaian tetamu.
Telefon bimbitnya bergetar, “Dalam perjalanan. Hujan?”
Ika membalas, “Di sini hujan lebat.”
“Kalau lebat, nak patah balik!”
Geram Ika bertambah tebal. Hendak datang tapi kerana hujan lebat hendak patah balik pula. Dengan perasaan geram, Ika membalas pesanan ringkas, “Ok!”
“Ika, aku balik dulu.”
“Hujan ni.”
“Kereta dekat saja, lagi pun bagi tetamu lain ambil tempat pula.”
Ika hanya mencebikkan mulutnya. Memandang Ina dengan penuh rasa geram, tetapi geram itu untuk orang lain. Tangannya mencapai cenderahati, menghulurkan kepada Ina dan suaminya.
“Kau masih menunggu?”
“Siapa?”
“A.D.”
“Entahlah Ina, tak sampai-sampai. Sejak tadi dalam perjalanan. Dari mana entah, Marikh agaknya.”
“Menanti yang istimewa memang begitu, sabar saja Ika. Aku nak balik dulu, lain kali kita cerita. Haa… kau tunggulah si A.D. kau tu… entah-entah esok pagi baru sampai, sangkut kat bulan agaknya.”
Sakat Ina sambil berlalu. Begitulah sikap kawan baiknya itu. Zaman sekolah dulu, Inalah yang sering menarik rambutnya yang sepanjang paras belakang. Sehingga kini, mereka masih berkawan baik.
“Awak nii… datang la…. Saya tunggu ni,” pesanan ringkas dihantar lagi.
Terasa sunyi walau dalam keriuhan tetamu yang ada. Hujan kian reda. Ada juga yang basah terutama yang bertugas bagi memastikan lauk pauk cukup untuk tetamu. Mesej diterima.
“Tiba-tiba saya dekat dengan awak.”
“Mana?”
“Dekat hati awak!”
Hati Ika bertambah sebal, menyampah dan geram. Dengan langkah bersahaja, A.D. sampai di hadapan Ika. A.D. memandang sekeliling mencari sesuatu yang tidak pasti. Geram dan menyampah tadi hilang begitu sahaja. Reaksinya menunjukkan gembira, sangat gembira. Tanpa bicara, Ika mengarah A.D. untuk makan. A.D. mengikut sahaja. Ika memerhati dari jauh. Tidak manis rasanya menunjukkan perhatian yang berlebihan kepada A.D.
“Lama kita tak jumpa kan?
“Ya. Dan akhirnya awak datang juga.”
“Ya, demi awak.”
“Kata nak patah balik, mengapa tak jadi?”
“Awak ingat apa yang awak kata dulu bila lama tak jumpa?
“Apa?” soal Ika.
“Awak kata, saya rindu awak la sekarang ni, faham Encik Azrul Daniel. Kerana itu, saya tetap datang.”
“Terima kasih, pergi jumpa ayah saya bawah khemah sana. Cakap bakal menantu datang ni,” usik Ika.
A.D. tersenyum. Ika ketawa kecil. Majlis terus berjalan sehingga ke lewat petang.

Saturday, October 8, 2011

Mini Cerpen - Katil itu

Hidup tidak pernah dapat dijangka. Berubah dalam sekelip mata. Perkara yang tidak pernah ada di dalam minda boleh datang melanda. Sedar-sedar itulah keadaan yang perlu dihadapi. Has pasrah. Dia tidak mampu melawan takdir. Apabila dihitung kembali, ada juga kesalahan yang sukar ditebus kembali. Benar. Perencanaan hidup tidak boleh dicuba-cuba. Tersilap langkah hidup akan punah. Has merenung ke arah hadapan, kemudian beralih ke arah kanan, semuanya terbaring. Berpaling ke arah kiri, ada dinding dan tingkap yang menampakkan awan.
Episod melankolik bermula. Zizi sering marah-marah. Ada ketika menyumpah-nyumpah dan mengatakan Has menyusahkannya. Ada ketika Has terbiar tidak terjaga.
“Kau ni banyak menyusahkan, aku nak buat kerja pun payah. Sikit-sikit ke hospital, sikit-sikit ke hospital.”
“Saya sakit bang, bukannya main-main.”
“Itulah, menyusahkan saja.”
“Menyusahkan apa, saya kan isteri abang.” Lembut dan perlahan.
“Isteri apa? Hah… cakap? Cakap?” keras menengking sambil menonyoh kepala Has dengan kuat.
Has tersengguk kuat. Kepala terhantuk ke lantai yang dilapik tilam nipis. Terasa berdengung di kedua-dua belah telinga. Matanya berpinar-pinar. Ungkapan dan jerkahan suaminya didengar antara jelas dengan tidak.
“Apa yang awak boleh buat. Terlantar saja… cakap? Apa yang awak boleh buat untuk aku? Ada kau sedia pakaian untuk aku. Ada kau siapkan makanan, basuh baju dan layan aku. Ada? Sampai bila aku harus begini…” keras nada Zizi.
Air mata Has tumpah lagi. Sejak dia tidak mampu mengurus diri, Zizi sememang membuangnya. Anak-anak tidak tinggal bersama lagi. Buat hal masing-masing. Di sini silap Has. Dia gagal mendidik dengan baik. Hatinya mengakui yang dia tersilap langkah kerana terlalu mengikut kehendak anak-anak. Sudahnya, anak anak pijak kepala dan langsung tidak mempedulikannya. Semuanya sudah ke kota. Sejak sakit membarah, mereka tidak mahu pulang.
Di atas katil 614 itu dia terbaring tanpa dipeduli. Jururawat sahaja yang mengubati. Doktor yang sering menyuntik ubat. Malahan hujung kaki berdekatan urat ketingnya ditanam jarum untuk ditambah darah. Tidak dialih jururawat, Has tidak beralih. Tidak ditukar lampin pakai buang, maka terbaringlah Has di dalam air kencing dan ada ketikanya bersama najis yang melekat pada kulit-kulit punggungnya. Gatal yang tidak terhingga, tapi siapa yang peduli.
Di hujung katilnya, di katil 615, juga terbaring seperti Has. Tapi pesakit itu beruntung, anak-anak bergilir menjaganya. Ada saja yang datang menziarah. Ada anak-anak yang menggosok di tempat-tempat yang gatal. Ada yang membantu mengelap badan walaupun terbaring kaku. Has sayu. Episod itu menjadi lebih sayu.
“Nombor telefon suaminya tak ada?” tanya jururawat muda bersembang sesama mereka.
“Tak ada.”
“Telefon rumah?” Tanya lagi jururawat muda itu.
“Kan suaminya tinggalkan nombor masa pendaftaran masuk hari tu,” sampuk jururawat ketiga.
“Nombor palsu, tidak ada dalam perkhidmatan. Dan dah pindah ke tempat lain!”
Has memejamkan matanya dalam-dalam. Cuba ditahan air mata itu agar tidak tumpah. Akhirnya tumpah juga. Has sedar hidupnya makin ke penghujung, tapi Has tidak menjangka yang penghujung itu penuh kesedihan. Sepatutnya Has di kelilingi anak-anak, dibantu suami dengan penuh kasih sayang. Bukan ditinggalkan setelah dicemuh dan akhirnya terbuang. Katil itulah saksinya. Tilam itu temannya. Jarum di kaki itulah kawan rapitnya sehingga menunggu untuk dijemput pergi…

Langkawi lagi

Di Langkawi lagi. Sudut berbeza dengan kawasan yang baru dan tidak seperti selalu. Pekannya hidup. Banyak lagi kedai yang buka. Kawasan Pantai Cenang, pelancong juga ramai di kawasan ini. Yang paling penting ialah rasa selamat. Berjalan sepanjang jalan dari tempat penginapan menelusuri jalan utama yang agak panjang tidak terasa letih dan jauh. Sesuai untuk penginapan berkeluarga. Pilihan chalet juga banyak.

Wednesday, October 5, 2011

Mini Cerpen - Monolog Buat Ija

Untuk sekian waktunya, kita bertemu kembali. Bermula dengan kemaafan, diharapkan monolog ini tidak mengganggu ketenangan Ija. Barangkali dan aku sangat yakin hanya kita berdua sahaja yang mengetahui akan perkara itu dan biar kukuh tersimpan antara kita berdua sebagai insan. Bukan prinsip aku untuk membohongi dan mengeruhkan keadaan. Aku lebih suka menyatakan sesuatu yang betul semoga kita tidak terus berada dalam keresahan. Maaf seandainya Ija berkecil hati atau terkilan. Tidak ada sekelumit niat pun.
Dulu, Ija tidak pernah ada di mana-mana di dalam ingatan. Sedikit demi sedikit, mula bertapak dan tersimpan sehinggakan, ada waktunya ada di mana-mana dan setiap masa. Malahan, aku percaya yang Ija juga berasakan begitu. Sangat yakin. Aku sangat yakin. Dan sekiranya Ija juga merasakan begitu, maknanya kita sama-sama merasai perkara yang serupa. Mengapa? Jawapan juga ada pada Ija. Bagi aku, kita sama-sama menyenangi antara satu sama lain (barangkali atau sememangnya).Walaupun sukar atau tidak menyatakan ya atau tidak. Aku katakan dan sememangnya Ija terlalu baik buat aku. Ada ketika terkurung dalam hujan rindu yang lebat. (Ya ke?) Tidak basah tetapi mengundang resah.
Aku titipkan tentang andainya…, sebenarnya tidak patut kerana semua sudah tersurat. Benar, sudah tersurat. Akhirnya lamunan itu terhenti ketika kembali ke pangkal akal yang waras, berteman dan menyelami dasar keimanan. Mesejnya, Ija sudah dimiliki dan aku sudah memiliki. Aku redha seadanya. Tapi tidak bermakna kita tidak boleh berkawan, bersahabat dan menjadi teman yang baik. Aku mula memahami dan Insya-Allah akan terus memahami sesuatu tentang Ija. Baik dan ikhlas serta sangat berterus terang. Aku senang, sangat senang. Aku harap Ija juga senang. Biar saja kita yang tahu, aku, Ija, dan Allah Taala. Terima kasih.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan