Sunday, May 31, 2009

Seminar Menangani Keganasan Terhadap Wanita












Seminar ini dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Perlis pada 21 Mei 2009 dengan tujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat tentang jenayah dan keganasan yang dialami oleh golongan wanita. Para peserta seminar terdiri daripada kaki tangan kerajaan. Sesi pertama dimulakan dengan ceramah oleh C. Insp. Hasaniyah bt Ali @ Ramli daripada IPK Kangar Cawangan D11, berkaitan dengan Jenayah Seksual, Penderaan, dan Keganasan Rumah Tangga. Ceramah ini berjaya menarik minat hadirin dan memberi peluang untuk bersoal jawab. Selepas menikmati minum pagi, sesi kedua menyusul dengan forum yang melibat 3 jabatan, iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (Pn. Aznida), Hospital Tuanku Fauziah (En Mustada), dan Pejabat Pembangunan Wanita (En. Effendi Rajini Khan) dan dipengerusikan oleh En. Nor Zaidi. Isu yang dibincangkan menyentuh permasalahan dan kes-kes yang pernah berlaku untuk dijadikan iktibar kepada semua. Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh YB Datuk Mohammad Zabidi bin Zainal, Setiausaha Kerjaan Negeri Perlis. Mudah-mudahan seminar begini mendatangkan kesedaran kepada masyarakat tentang tanggungjawab bersama untuk menangani masalah berkaitan keganasan terhadap wanita.

Bahas Ala Parlimen 2009








Pertandingan Bahas Ala Parlimen Kategori Bahasa Melayu Peringkat Akhir 2009 menemukan antara SMK Putra dengan SMK (A) Arau. Pertandingan dijalankan di Dewan Syarahan Perpustakaan Awam Negeri Perlis pada 27 April dengan kehadiran Yang Berbahagia Tuan Mansor Lat, Pengarah Pelajaran Perlis. Tajuk yang dibahaskan ialah Program Angkasawan Negara Dapat Menarik Minat Masyarakat Terhadap Bidang Sains Angkasa. SMK. Putra selaku kerajaan dengan diwakili oleh Noorisswarie Zahir Mozni, Nahsa Idrus, Amir Farhan Md Saad, Nurul Shifa' Abd Nasir, dan Nur Hafizah Hakimin. SMK (A) Arau yang bertindak selaku pembangkang diwakili oleh bd Malek Ismail, Muhd Fikri Ismail, Fatin Fatini Ismadi, KuMuhd Mukhlis Ku Mansor, dan Hairul Syazlan Abd Samat. Setelah berlaku perbahasan usul, akhirnya, usul yang dibawa oleh pihak kerajaan DITOLAK. Hal ini menjadikan SMK (A) Arau selaku juara dan akan mewakili Perlis ke peringkat kebangsaan. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pasukan yang berjaya sampai ke peringkat akhir negeri. Gambar 1 (Johan dan Naib Johan bersama-sama Tuan Pengarah, Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan), Gambar 2 ( Barisan Hakim), dan Gambar 3 (Membahaskan usul)

Monday, May 18, 2009

Guru oh Guru

SELAMAT HARI GURU

Hakikat Seorang Cikgu

Di sini, di negeri permai mempesona ini
Kita lahirkan kesyukuran tidak terperi
Tidak ada pedalaman ulu untuk dihuni
Tidak ada arus deras yang harus dilintas
Tidak ada jeram dalam yang perlu diselam
Tidak ada curam tajam yang mendatang ancam
Tidak ada selut lekat yang separas lutut

Di sini, segalanya cikgu
bukan cikgu mendabik dada
cikgu juga manusia biasa
sekali sekala terpampang cerita duka
di dada-dada media
disinis hanya kerana kesilapan minima
disaman apabila hilang kesabaran di dada
soalnya,
siapa pula yang datang membela?

Segalanya cikgu terima
cikgu tak untung apa-apa jika murid berjaya
cuma cikgu tumpang gembira
cikgu tak untung apa-apa tika murid memandu lebih daripada Wira, Waja, dan Perdana
biarpun kereta cikgu kereta lama
adakala putera-puteri berjaya
jarang sekali terima kasih dijelma
adakala putera-puteri terkandas
cikgu juga yang dibidas

Hakikat seorang cikgu
sepahit mana cabaran mendatang
tetap ditelan juga
biar memakan masa
biar mengguna tenaga
biar di hujung usia
cikgu pasti tak berputus asa
kalimah cikgu akan diungkap
di mana-mana dan sampai bila-bila
biar sesudah memejam mata
tetap cikgu penyambung bicara ilmu

Mei 2007
Perlis
*Dibaca pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2007

PROGRAM TITIAN KASIH

Program Titian Kasih telah diadakan di SMK. Dato' Jaafar Hassan, Bukit Keteri pada 13 Mei 2009 (Rabu) dengan keberangkatan tiba DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis. Program ini berobjektifkan

1. Mewujudkan hubungan mesra raja dengan rakyat (warga sekolah).

2. Menanamkan rasa kesetiaan rakyat terhadap raja

3. Memupuk semangat cinta akan negara dalam kalangan pelajar.

4. Mendedahkan para pelajar kepada isu-isu semasa.

5. Mendedahkan para pelajar kepada fungsi agensi dan jabatan kerajaan.



Dalam program pada hari itu, para pelajar telah didedahkan dengan isu semasa oleh jabatan dan agensi yang terlibat. Jabatan dan agensi yang terlibat serta menyampaikan ceramah ialah:

1. Agensi Anti Dadah Kebangsaan

2. Polis Diraja Malaysia

3. Jabatan Agama Islam Perlis

4. Jabatan Kesihatan Perlis

5. Majlis Perbandaran Kangar

6. Rejimen 504 Askar Wataniah

7. Jabatan Pembangunan Wanita Perlis

8. Universiti Malaysia Perlis

9. Jabatan Pelajaran Perlis



Program bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.30 petang. Para pelajar mendapat input dan maklumat baru serta berkaitan dengan diri mereka. Para pelajar begitu teruja dengan aktiviti yang dijalankan dan lebih bermakna dengan keberangkatan DYTM Tuanku Raja Muda Perlis ke SMK Dato' Jaafar Hassan.

Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program Titian Kasih ini, sesungguhnya kerjasama yang ditunjukkan amat berharga. Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penerangan, Bahagian Teknologi Pendidikan dan individu-individu yang tidak mampu disebutkan satu persatu.

Tahniah kepada warga SMK. Dato' Jaafar Hassan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini. Biarpun peranan kecil yang diberikan tanpa kerjasama tentu sukar untuk dijayakan.

Tuesday, May 12, 2009

Kem Penulis Muda, Perlis















Kem Penulis Muda diadakan di Pusat Kokurikulum pada 12-14 Mac 2009. Tujuan utama mencungkil bakat dalam kalangan pelajar berkaitan penulisan. Aturcara yang disusun dalam kem ini merangkumi bimbingan penulisan cerpen, puisi, dan pendedahan berkenaan cabaran dalam dunia tulisan. Perjalanan kem dianggap dapat menarik minat peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar menengah atas dan peserta terdiri daripada mereka yang cukup berminat dalam dunia penulisan.




Pada malam terakhir diadakan malam persembahan daripada peserta yang menghasilkan karya secara berkumpulan. Memang ada yang berbakat tetapi memerlukan asahan yang rapi daripada pembimbing. Dalam kem ini juga dikenalpasti peserta yang akan diterbankan ke Labuan untuk menghadiri Kem Penulisan peringkat kebangsaan. Tahniah kepada Unit Ko-Akademik yang berjaya menganjurkan kem ini. Terima kasih kepada tenaga pengajar yang menjadi fasilitator sepanjang kem ini dijalankan. Agar akan terlahir penulis yang berjiwa besar satu hari nanti, Insya-Allah.

PERKHEMAHAN ALAM SEMULAJADI










Perkhemahan Alam Semulajadi telah diadakan di Tapak Perkhemahan Gua Kelam 2, anjuran Pusat Kokurikulum dan Jabatan Pelajaran Perlis. Beberapa buah sekolah menengah dan rendah telah menghantarkan peserta pada 17-19 April. Setiap peserta mendapat pendedahan tentang pengukur kandungan air dan gerak kerja berkumpulan. Kumpulan yang dipilih diberi nama berdasarkan binatang seperti lebah, rama-rama, semut, dan (satu lagi tak ingat).




Para pelajar membuat pembentangan berdasarkan nama kumpulan dan motto kumpulan. Aktiviti yang dijalankan boleh mengasah bakat kepimpinan pelajar, terutama apabila ditolak ke depan untuk bercakap. Terdapat peserta yang melibatkan diri secara aktif dan semestinya ada yang kurang aktif. Namun, penyertaan para pelajar sekurang-kurangnya mendedahkan sedikit pengalaman berkhemah dalam suasana yang nyaman. Mudah-mudahan, alam semulajadi kita terus terpelihara.






Dari tapak perkhemahan itu dapat dilihat Gua Kelam 2 dan terpampang huruf BANJARAN NAKAWAN, yang menyajikan keindahan apabila menelusuri melalui kereta api dan tidak melupakan akan kita terhadap kekuasaan Yang Maha Esa.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan