Hari ini merupakan kali kedua aku
ronda-ronda dengan gerek tua aku. Perjalanan tidak sejauh mana, cukup untuk
mengeluarkan sedikit anak peluh sahaja. Dari rumah, aku menghala ke kiri,
membelok ke dalam kebun getah dan bertemu dengan jalan baru menghala ke
Semadong. Jalan ini belum dibuka kepada kenderaan, cuma yang melalui jalan ini
secara tidak rasmi sahaja.
Gerek tua ini aku kayuh
perlahan-lahan dan sewaktu itu melintas beberapa orang yang mengayuh basikal
yang lebih hebat, laju dan berdesup meninggalkan aku. Aku melepasi seseorang
yang berjoging dan aku menyapa, “Pi dulu na.” “Ya,” balasnya ringkas sambil
tersenyum. Aku tidak mengenalinya dan aku yakin, dia juga tidak kenal aku.
Barangkali dalam hatinya, “ Pakcik mana ni yang menegurnya sedang berjoging?”
Indah panorama di situ. Setelah
melepasi kebun getah di kiri dan kanan, ada pula sawah bendang yang sedang
dibajak dan dikabotakan (betul ke istilah ni?). Ketika menuruni jalan itu, di
hadapan kelihatan bukit yang nampak berbalam-balam. Beberapa minit kemudian,
aku sampai di kawasan sawah di kiri dan kanan. Di tengah sawah sebelah kanan, kelihatan
sebuah traktor berwarna biru sedang menarik traktor biru juga. Tayar belakangnya yang besar itu
berputar-putar tapi pergerakannya sangat perlahan. Aku membayangkan betapa
beratnya menarik traktor di dalam sawah yang berair, dan berlumpur. Enjin terus
mengaum tetapi pergerakan sangat perlahan. Tentu saja yang di belakang itu
mengalami kerosakan.
Seketika aku melepasi beberapa
orang dan mereka mengenali aku. “Tak beli fit-C?” “Saja guna yang ada dulu,” ringkas daripada aku. “Oh… ingatkan
Pakcik Nor tadi.” Seorang yang agak berumur menambah dialog itu. Aku senyum dan
berlalu dengan kayuhan yang tidak selaju mana.
Pakcik Nor? Siapa ya? Sebenarnya itulah arwah datuk aku, atau tok wan
aku sebelah mak. Memang orang itu mengenali arwah datuk aku.
Aku terus berkayuh dan berselisih
pula dengan Ustaz Yazid, “Assalamualaikum,” dan ustaz menyahut bersama senyum di
seberang jalan. Ustaz Yazid juga berkayuh seorang diri. Sebaik sampai ke
persimpangan menghala ke Semadong dan Beseri aku membuat pusingan U dan
berhenti sekejap. Merenung ke arah sekolah baru yang masih belum menerima
pelajar. Katanya 5 November ini. Seketika, aku mengayuh balik ke rumah…
No comments:
Post a Comment