Sunday, August 28, 2011

Kad Raya

Perkembangan teknologi membunuh budaya kad raya. Setuju atau tidak? Anak-anak remaja hari ini barangkali tidak pernah merasai betapa terujanya untuk memilih kad-kad raya untuk dihantar kepada orang-orang yang diingati. Tidak kira sesiapa pun, kita boleh menghantarnya dengan syarat tahu alamat, ataupun menggunakan posmen tidak rasmi yang tidak perlu setem.
Bermula dengan memilih kad, menulis, mengepos dengan harapan mendapat balasan terutama daripada orang-orang teristimewa (anda ada pengalaman?). Sekiranya berada jauh di perantauan, untuk bonda dan ayahanda pasti dilayangkan kad yang istimewa. Memohon maaf dan mengharapkan agar dapat beraya bersama-sama (waktu itu tidak ada keluarga). Saat yang dinanti-nanti ialah pulang dan beraya bersama-sama….
Menariknya berada di perantauan, perjalanan pulang itu satu kenikmatan. Membuak-buak rasa gembira untuk sampai ke rumah. Perjalanan itu sangat indah. Apatah lagi dalam perjalanan ditemani lagu-lagu hari raya yang menusuk kalbu. Yang tidak dapat pulang pasti syahdu bertandang dan ditemani air mata pilu.
Itu dulu, 10 hingga 15 tahun dulu, kini lain keadaannya. Berkeluarga dengan cara berkeluarga. Masa berubah, kehidupan juga berubah, suasana berubah. Kad raya diganti dengan sistem pesanan ringkas, panggilan boleh dibuat pada bila-bila masa sahaja. Nikmat menerima SMS tidak seperti nikmat menerima kad raya. Nikmat menghantar kad raya tidak setara nikmat menghantar SMS, dan nikmat itu hanya dirasai oleh mereka yang mengalaminya sahaja …

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.


*Hebat dilanda ….. ……

Pinjaman

Hakikat pinjaman, sampai masa perlu dikembalikan kepada tuannya. Yang meminjam perlu mengembalikan kepada tuannya, yang memberi pinjaman akan mengambil kembali haknya. Hakikat ini jugalah yang ada dalam hubungan kita selaku insan, makhluk yang sangat kerdil kepada Yang Maha Esa, Maha Berkuasa. Allah meminjamkan kepada kita selaku insan, banyak perkara. Sedar atau tidak, kita dipinjamkan insan-insan tersayang. Ayah, emak, adik-beradik, anak-anak, rakan taulan, harta benda, dan yang ada di sekitar kita. Namun, semua itu tidak pernah kekal. Semuanya pinjaman dan sampai masa akan dikembalikan. Hakikat pinjaman, dalam kesedihan kita mengembalikan ayah, emak, anak-anak atau sesiapa sahaja kepada Yang Maha Esa. Sedih tetap bertandang, namun perlu dengan keredhaan sebab itulah janji yang telah ditetapkan.
Semua kita akan dikembalikan kepada alam yang kekal selama-lamanya. Yang hidup pasti merasai mati dan tidak akan dicepat atau ditangguh sesaat pun seperti firman Allah dalam surah Yunus ayat 49 yang bermaksud, “Apabila telah datang ajal mereka, maka mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaatpun dan tidak (pula) mendahulukan(nya).”
Mudah-mudahan kita menjadi hamba yang sentiasa berusaha mencari keredhaan dan bersedia untuk dikembalikan.

Monday, August 22, 2011

AL-FATIHAH- Azizi Haji Abdullah Kembali ke Rahmatullah

KULIM 21 Ogos - Novelis terkenal, Azizi Haji Abdullah meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP), dekat sini pagi ini akibat komplikasi buah pinggang.
Anak bongsu Allahyarham, Azimah, 21, berada di sisinya sewaktu arwah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.50 pagi.
Azizi, 69, yang pernah memenangi anugerah SEA Write Award pada 1988 terkenal dengan novel Seorang Tua di Kaki Gunung yang pernah dijadikan teks wajib sastera tingkatan lima.
Isteri Allahyarham, Zubaidah Yusoff, 64, berkata, suaminya dimasukkan ke HPP sejak 26 Mac lalu dan menjalani pembedahan jantung tidak lama selepas itu.
Bagaimanapun, disebabkan keadaan badannya yang lemah, doktor menasihatkan untuk menjalani rawatan susulan di wad HPP.
"Dia terlantar lebih enam bulan dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir pagi ini selepas menghadapi masalah komplikasi buah pinggang," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bersatu di sini, hari ini.
Selain Azimah, Allahyarham turut meninggalkan seorang lagi anak iaitu, Anita, 40.
Sementara itu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamiul Makmur, di sini selepas solat zuhur.
Lebih 1,000 saudara-mara, sahabat handai dan kenalan menziarahi jenazah Allahyarham.
Azizi yang juga seorang pesara guru agama dilahirkan di Kampung Bukit Meriam, Kota Kuala Muda pada 4 April 1942.
Allahyarham mula menulis ketika berada di Sekolah Agama Dairatul Maarif Al-Wataniah, Kepala Batas pada tahun 1960-an.
Artikelnya yang pertama tersiar dalam Warta Negara tentang buruk baik wanita bermain bola sepak dan kemudian diikuti dengan cerpen Sisa manakala cerpen Haji Salikun Cuba Berkhalwat telah menjadi kontroversi sehingga menyebabkan beliau hampir didakwa di mahkamah.
Semasa bertugas sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Serdang, banyak hasil cerpen mendapat tempat di akhbar tempatan terutamanya Utusan Melayu dan Mingguan Malaysia.
Antara hasil karya yang terkenal ialah Wi & William (Hadiah Sako), Jati Diri (Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1995); Di Qalaah Salehuddin (Hadiah Sastera Utusan Public Bank 1998).
Dalam bidang politik, beliau pernah bertanding atas tiket Pas untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kulim pada Pilihan Raya Umum ke-12, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Boey Chin Gan.


Sumber - Utusan Malaysia Online

*Kita kehilangan seorang penulis yang hebat dan tidak lokek berkongsi pengalaman.

Friday, August 19, 2011

Rezeki

Rezeki tidak dapat dijangka. Allah memberi pada bila-bila masa, dan boleh ditarik pada bila-bila masa. Yang bukan rezeki kita pun kita tidak boleh menjangkakan. Dijadikan cerita, petang kelmarin dedak ikan hampir habis. Mahu atau tidak mesti keluar membeli. Esok tidak ada lagi untuk dibagi makan. Gegas-gegas tukar baju terus ke kedai dedak ikan. Sesampai di kedai, tuan punya kedai, isteri, dan pekerja membelek ikan jelawat yang baru dibawa balik. Hasil daripada pancing di kolam. Kalau tak silap ada lima ekor, besar-besar.


"Bos, mau jual ?"


"Encik mau ka?"


"Berapa bos nak jual?"


"Encik angkat la, bagi lima ringgit cukup la..."


"Bayar duit pi kolam saja," sampuk isteri tuan punya kedai.


Aku pun tidak berfikir panjang.


"Boleh la bos," (wal hal aku sendiri tak tau harga jualan ikan jelawat, beratnya sekilo).


Benarlah, rezeki yang mendatang kita tidak tahu. Wang di dalam poket itu belum tentu lagi rezeki kita. Boleh jadi hak orang lain, hanya singgah sebentar sahaja ke poket kita, atau pun tumpang di dalam akaun sahaja. Kemudian pindah ke akaun orang lain. Boleh jadi dapat duit raya setengah bulan gaji, komputer rosak, kipas angin perlu diganti, mesin basuh rosak pengering, kereta pun minta duit dan macam-macam lagi. Kesimpulannya, kita perlu bersyukur dengan apa-apa yang dimiliki apatah lagi dengan nikmat kesihatan yang tidak ternilai, dan kesejahteraan hidup yang ada berbanding dengan orang lain. Insafi keadaan yang ada, beringat semasa ada.

Tuesday, August 16, 2011

Mendepani Masa

Masa yang dilalui cepat atau lambat? Jawapannya ada pada kita sendiri. Sekiranya kita sedang menanti sesuatu yang membahagiakan, menggembirakan, dan menyenangkan sudah tentu masa itu bergerak dengan amat perlahan. Begituah jika sebaliknya, kita sedang menghadapi kesukaran, kesulitan, dan kesengsaraan, kita akan berasa masa itu bergerak dengan amat perlahan juga.
Jadi, bila masanya bergerak dengan begitu cepat? Sewaktu kita mendepani kebahagiaan, kegembiraan, dan keselesaan, tentulah cepat. Begitu juga saat-saat untuk berpisah dengan seseorang, kita akan berasa masa itu berlalu terlalu cepat. Bagi insan yang dunianya penuh dengan kesibukan juga akan berasa yang masa itu tidak pernah cukup. Ada-ada sahaja aktiviti yang perlu dilakukan.
Kita, bagaimana? Mengejar masa atau menanti masa? Sekiranya mengejar, maknanya cepat berlalu. Sekiranya menanti, maknanya lambat bergerak. Kita sendiri yang merasakan letakduduk pergerakan masa itu, walhal Yang Maha Esa menentukan bahawa masa tetap bergerak pada waktu yang sama putarannya.

Renung-renung

Ungkapan ulama tasauf, untuk merasai kemanisan iman, seseorang perlu mengingati dua perkara dan melupakan dua perkara
Ingatlah :
1. Kebaikan orang kepada kita
2. Kasalahan kita kepada orang
Lupakan:
1. Kebaikan kita kepada orang
2. Kejahatan orang terhadap kita
Persoalannya, adakah mampu kita lakukan? Berusahalah ke arah itu, Insya-Allah.

Thursday, August 4, 2011

Kereta Kabel Langkawi

















Jun yang lalu berkunjung ke Kereta Kabel Langkawi untuk kali ketiga. Masih menarik tetapi menaiki untuk kali ketiga ini, perasaan tidak terlalu diruntun perasaan gayat. Kali pertama dulu, pada tahun 2004 terasa sangat gayat. Sekarang dah ok, alah bisa tegal biasa. Gambar-gambar yang sempat dirakam ketika di atas puncak Mat Chinchang dan sewaktu di dalam gondola. Indahnya pemandangan alam ciptaan Yang Maha Esa.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan