Thursday, July 30, 2009

Pantun Orang Tua-tua

Buah langsat
Bunga senduduk
Buah senduduk

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Mengapakah apabila buah langsat menjadi kuning (maksudnya masak) pokok senduduk yang berada di bawah pokok langsat tidak berbunga lagi?
Maksudnya, apabila buah langsat mula berbuah dan sudah mula masak, kawasan di sekitar pohon langsat itu ditebas atau dicerahkan untuk memudahkan kerja-kerja memetik langsat. Mungkinkah juga nilai langsat itulebih tinggi daripada pokok senduduk itu sendiri. Langsat yang datang semusim sekali dalam setahun diletak nilai yang tinggi sehingga mengorbankan senduduk. Apakah pula nilai senduduk? Senduduk sekadar pokok renek yang batangnya boleh dibuat terebay (lastik), manakala buahnya sekadar menjadikan lidah ungu. Zaman kanak-kanak dulu sering kali lidah bertukar warna walaupun buah senduduk tidak sesedap mana. Rasanya sekadar manis sikit-sikit sahaja.
Adakah benar apabila kita mendapat gading maka tanduk tidak berguna? Lumrah manusia, apabila mendapat sesuatu yang lebih baik akan meninggalkan yang selama ini memberi khidmat kepadanya. Sebenarnya ada dua keadaan, memilih yang lebih baik atau tidak mengenang budi. Jika keputusan yang diambil itu untuk berhijrah kepada yang lebih baik, itu menggambarkan kita berusaha untuk menjadi semakin baik tanpa menghina perkara yang sebelum ini banyak membantu kita. Sekiranya kita memilih yang lebih baik semata-mata melihat kekurangan terhadap yang pernah kita miliki, maka ini lebih menjurus kepada kelompok yang kurang mengenang budi. Adakah patut apabila kita mendapat gading maka jasa tanduk yang sekian lama menyumbang bakti dipinggirkan terus? Adakah kerana kesempurnaan gading itu, maka kita langsung tidak mengenangkan kebaikan yang selama ini dimiliki tanduk? Dalam kita berbangga akan kesempurnaan gading, kita jangan lupa bahawa tidak ada gading yang tidak retak. Renungkan...

Wednesday, July 29, 2009

Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2009










Sekitar Raptai Majlis Penutupan Gala Kokurikulum

Tuesday, July 28, 2009

Perasmian Penutupan Gala Kokurikulum
















































Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2009 berlangsung di Kem Tasoh (Pusat Kokurikulum Perlis), bermula 23 hingga 28 Julai 2009. Para peserta terdiri daripada kontijen seluruh Malaysia kecuali Labuan. Sejumlah 300 peserta dan 30 orang guru pengiring terlibat dalam gala kokurikulum kali ini.
Majlis perasmian penutup telah diadakan pada 28 Julai, dengan disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Zulkifly bin Mohd Wazir, Pengarah Bahagian Sukan, Seni, dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebelum ucapan perasmian, Encik Mansor bin Lat, Pengarah Pelajaran Perlis merangkap Pengerusi Pengelola Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2009 turut berucap. Turut hadir Encik Mahamad Amran bin Kamsi, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Kokurikulum, Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum.
Aturcara majlis dimulai dengan tabik hormat, pemeriksaan kawalan kehormat dan bergerak ke pentas utama. Dalam cuaca hujan, majlis terpaksa ditangguh lebih kurang 30 minit dan Tuan Haji Zulkifly diberi taklimat dibilik tetamu Kem Tasoh.
Persembahan pelajar melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah dari negeri Perlis. Persembahan kebudayaan, kawad kaki, dan Brass Band. Akhirnya disusuli dengan persembahan senaman silat oleh semua peserta Gala Kokurikulum Peringkat Kebangsaan 2009.

Friday, July 24, 2009

Pidato Piala DiRaja Peringkat Negeri Perlis 2009





















23 Julai - Pertandingan Pidato Piala DiRaja diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis dengan penyertaan seramai 14 peserta, iaitu 8 daripada sekolah rendah dan 6 daripada sekolah menengah. Pidato ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A memberi peluang kepada pemidato untuk bersedia awal dan Bahagian B merupakan pidato spontan yang tajuknya dipilih melalui cabutan sampul. Bahagian A menyediakan 5 tajuk bagi kategori sekolah rendah dan menengah. Manakala Bahagian B kategori sekolah rendah terdiri daripada 10 tajuk dan sekolah menengah 15 tajuk.
Pertandingan dimulai dengan Bahagian A peserta sekolah rendah dan Bahagian peserta sekolah menengah. Bahagian B bagi kedua-dua kategori bersambung selepas majlis berehat. Acara selingan menyerikan pertandingan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar SMK Dato' Sheikh Ahmad yang bertindak selaku pengelola partandingan.
Akhirnya keputusan dimuktamadkan. Johan Pidato DiRaja Peringkat Negeri Perlis 2009 Kategori Sekolah Rendah disandang oleh Nur Hanisa binti Hasanuddin(SK Beseri) dan Kategori Sekolah Menengah disandang oleh Adam Shafiq bin Azuden (SMK Derma). Mereka akan mewakili negeri Perlis ke peringkat kebangsaan. Tahniah kepada semua peserta dan guru pengiring serta pihak pengelola.
Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup disempurnakan oleh Yang Berusaha En Nuzrin Nu'iman, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Perlis. Hadir bersama Encik Sharudin Mahmud, Ketua Unit Koakademik. Majlis yang bermula 8.00 pagi berakhir 2.00 petang.

Senarai peserta:
Sekolah Rendah

1. NURUL ASHIDA ZAINAL (SK SG. BARU)
2. NUR JUHANNITA SHAHIDAN (SK KUALA PERLIS)
3. AMIRA NABILA MOHD NOOR (SK JALAN RAJA SYED ALWI)
4. NUR HANISA HASANUDDIN (SK BESERI)
5. NURUL AIN SYAFIQA ABD RAHMAN (SK TITI TINGGI)
6. NUR SYAHIRAH AFIQAH ABDULLAH (SK ORAN)
7. NUR FARHA IZZAT ABD RAZAK (SK GUAR NANGKA)
8. FATIN INSYIRAH ROSLI (SK SANGLANG)

Sekolah Menengah
1. NUR WAFAA ZUKIMIRI (SMK DATO' ALI AHMAD)
2. NAZATUL SYAFIQAH MD RADZI (SMK DATO' SHEIKH AHMAD)
3. RUWAIDA ROSLI (SMK SYED ALWI)
4. ADAM SYAFIQ AZUDEN (SMK DERMA)
5. NUR IZZATI KHAIRUDDIN (SMK AGAMA PEREMPUAN KANGAR)
6. MUHAMMAD DZARIFF KHOIRON NOOR (SM TEKNIK KANGAR)

Tuesday, July 21, 2009

BERCUTI




Cameron Highlands, untuk kesekian kalinya menjejakkan kaki ke tanah tinggi ini. Perjalanan yang diharungi sememangnya bengkang bengkok dan mengundang pening-pening lalat bagi sesiapa yang mudah mabuk perjalanan. Perjalanan yang ditempoh sesudah sampai ke Simpang Pulai, belok ke kanan menuju ke puncak. Awalnya tidak mencabar namun sudah mula mengundang rasa loya. Antara pekan yang ditempuh ialah Kampung Raja, Terla, Tringkap, Kea Farm di puncak dan menurun ke arah Brinchang. Dari Brinchang menghala ke arah Tanah Rata. Anak bongsuku sudah mula menangis, badannya berpeluh dalam sejuk penghawa dingin kereta, ditambah haba sekeliling yang nyaman dan sejuk. Aku tahu anak bongsu ini juga mabuk perjalanan.
Gambar 1(Kea Farm), 2 (Brinchang), 3 (Tanah Rata), 4 (Penunjuk arah), 5 (Kawasan Bukit)

Sesampai di Kea Farm, aku singgah membeli sayur untuk dimasak sewaktu berada di situ. Tidak banyak yang berubah. Pengunjung sama seperti dulu. Singgah dan beli, kemungkinan balik atau singgah di beberapa tempat lain. Selepas itu terus ke apartment untuk menyewa. Sedikit terkejut kerana kereta banyak dan hendak meletak kereta pun susah. Dalam hati sedikit resah, bimbang kalau-kalau tidak ada bilik. Alhamdulillah, masih ada.

Ketika berkunjung ke Kea Farm untuk kali kedua, dengan sebelah kanan mendukung si kecil, aku memerhati gerai-gerai jualan dan sepanjang gerai itu, penjual-penjualnya terdiri daripada wanita-wanita Indonesia yang bertudung dan taukenya seperti yang sedia maklum. Penjual Bumiputera hanya ada menjual teh dan jeruk serta asam di hujung gerai dan menjual jagung rebus dan bakar bersama-sama makanan goreng yang lain pada selekoh masuk di deretan gerai tersebut. Cuba kita renungkan, jika ada yang masih menuntut hak yang lebih-lebih...

Bertamu di Brinchang, tidak banyak yang berubah. Bangunan masih seperti dulu dan gerai taninya seakan-akan sama dengan gerai tani di tempat kita. Hasil jualan sayuran, strawberi, kain baju, madu lebah, penanda kunci, dan bantal hiasan. Anak-anakku lebih tertarik kepada strawberi getah yang ditiup angin seakan-akan bola. Mahu tidak mahu, perlu juga hadiah untuk mereka.

Bercuti sememangnya meringankan minda di samping menikmati suasana nyaman di sekeliling. Tidak banyak yang dilawati hanya tempat biasa seperti Strawberry Farm dan Taman Agro Tourism, yang juga bukan milik kita. Masuk percuma, memandu sehingga ke atas dan makin ke atas sewaktu hendak keluar sehinggalah menyusur bukit yang ditarah. Tinggi, sungguh tinggi. Gear satu sahaja, naik dan turun. Sedikit gayat.

Berada di Tanah Tinggi Cameron mengundang nostalgia sewaktu berkursus menjadi fasilitator minggu suaikenal kolej dulu. Sewaktu itu tidak tinggal di apartment, tetapi di kabin yang dindingnya diperbuat daripada zink sahaja. Banyak aktiviti dijalankan untuk membentuk kerjasama kumpulan. Bermain kereta api panjang dengan mata ditutup, kemudian mengikut arah pemandu arah yang hanya mengarah ke kiri, kanan, depan dan belakang. Bahan yang dicari tidak tahu tempat letaknya. Meraba dan mengagau merata-rata. Ada kumpulan yang menjumpai barang yang dicari, tidak kurang juga yang tidak mendapat apa-apa.

Ketika itu aku mengenali rakan-rakan sekolej yang kebanyakannya dipanggil dengan nama singkatan. Kata mereka diberikan oleh senior. Di sini aku semakin rapat dengan Yap, Tamil, Atong (sehingga sekarang tidak ku tahu nama sebenar mereka), Tora, dan beberapa orang lagi yang aku ingat-ingat lupa. Di sini juga ada kisah seorang peserta yang balik ke kabin kerana mengatakan ada 'kawan' hendak berjumpa. Sebaik diselidiki dia bercakap-cakap dengan 'rakan' yang tidak kelihatan itu. Kisah ini berlarutan sehingga ke kolej.

Kehadiran Pengetua Kolej dan para fellow banyak membantu. Namun, segalanya tinggal kenangan yang sekali sekala menjelma tanpa diundang. Lumrah hidup, umur kian bertambah, peristiwa lalu hanya mampu dikenang.

Akhirnya, setelah bercuti dan merehat minda, tiba masa untuk pulang dan Alhamdulillah, perjalanan pulang tanpa sebarang masalah sehinggalah menjejak kaki ke rumah untuk menjalankan tugas seperti biasa pada keesokan harinya.

Thursday, July 2, 2009

Durian


"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlain-lain warnanya (tua dan muda), dan juga yang hitam legam." Surah Faatir, Ayat 27.
















Kitaran kejadian buah durian yang kita makan terkadang terlupa untuk memikir kejadian yang ajaib ini. Pada batang pokok boleh terbit bunga dan bertukar menjadi buah dalam jangka masa tertentu. Masihkah kita tidak mahu berfikir? Daripada buah yang tidak ada apa-apa, menjadi wangi dan isinya manis. Masihkah tidak mahu berfikir? Terkadang kita terlupa dalam mengejar kesibukan dunia.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan