Tuesday, July 21, 2009

BERCUTI




Cameron Highlands, untuk kesekian kalinya menjejakkan kaki ke tanah tinggi ini. Perjalanan yang diharungi sememangnya bengkang bengkok dan mengundang pening-pening lalat bagi sesiapa yang mudah mabuk perjalanan. Perjalanan yang ditempoh sesudah sampai ke Simpang Pulai, belok ke kanan menuju ke puncak. Awalnya tidak mencabar namun sudah mula mengundang rasa loya. Antara pekan yang ditempuh ialah Kampung Raja, Terla, Tringkap, Kea Farm di puncak dan menurun ke arah Brinchang. Dari Brinchang menghala ke arah Tanah Rata. Anak bongsuku sudah mula menangis, badannya berpeluh dalam sejuk penghawa dingin kereta, ditambah haba sekeliling yang nyaman dan sejuk. Aku tahu anak bongsu ini juga mabuk perjalanan.
Gambar 1(Kea Farm), 2 (Brinchang), 3 (Tanah Rata), 4 (Penunjuk arah), 5 (Kawasan Bukit)

Sesampai di Kea Farm, aku singgah membeli sayur untuk dimasak sewaktu berada di situ. Tidak banyak yang berubah. Pengunjung sama seperti dulu. Singgah dan beli, kemungkinan balik atau singgah di beberapa tempat lain. Selepas itu terus ke apartment untuk menyewa. Sedikit terkejut kerana kereta banyak dan hendak meletak kereta pun susah. Dalam hati sedikit resah, bimbang kalau-kalau tidak ada bilik. Alhamdulillah, masih ada.

Ketika berkunjung ke Kea Farm untuk kali kedua, dengan sebelah kanan mendukung si kecil, aku memerhati gerai-gerai jualan dan sepanjang gerai itu, penjual-penjualnya terdiri daripada wanita-wanita Indonesia yang bertudung dan taukenya seperti yang sedia maklum. Penjual Bumiputera hanya ada menjual teh dan jeruk serta asam di hujung gerai dan menjual jagung rebus dan bakar bersama-sama makanan goreng yang lain pada selekoh masuk di deretan gerai tersebut. Cuba kita renungkan, jika ada yang masih menuntut hak yang lebih-lebih...

Bertamu di Brinchang, tidak banyak yang berubah. Bangunan masih seperti dulu dan gerai taninya seakan-akan sama dengan gerai tani di tempat kita. Hasil jualan sayuran, strawberi, kain baju, madu lebah, penanda kunci, dan bantal hiasan. Anak-anakku lebih tertarik kepada strawberi getah yang ditiup angin seakan-akan bola. Mahu tidak mahu, perlu juga hadiah untuk mereka.

Bercuti sememangnya meringankan minda di samping menikmati suasana nyaman di sekeliling. Tidak banyak yang dilawati hanya tempat biasa seperti Strawberry Farm dan Taman Agro Tourism, yang juga bukan milik kita. Masuk percuma, memandu sehingga ke atas dan makin ke atas sewaktu hendak keluar sehinggalah menyusur bukit yang ditarah. Tinggi, sungguh tinggi. Gear satu sahaja, naik dan turun. Sedikit gayat.

Berada di Tanah Tinggi Cameron mengundang nostalgia sewaktu berkursus menjadi fasilitator minggu suaikenal kolej dulu. Sewaktu itu tidak tinggal di apartment, tetapi di kabin yang dindingnya diperbuat daripada zink sahaja. Banyak aktiviti dijalankan untuk membentuk kerjasama kumpulan. Bermain kereta api panjang dengan mata ditutup, kemudian mengikut arah pemandu arah yang hanya mengarah ke kiri, kanan, depan dan belakang. Bahan yang dicari tidak tahu tempat letaknya. Meraba dan mengagau merata-rata. Ada kumpulan yang menjumpai barang yang dicari, tidak kurang juga yang tidak mendapat apa-apa.

Ketika itu aku mengenali rakan-rakan sekolej yang kebanyakannya dipanggil dengan nama singkatan. Kata mereka diberikan oleh senior. Di sini aku semakin rapat dengan Yap, Tamil, Atong (sehingga sekarang tidak ku tahu nama sebenar mereka), Tora, dan beberapa orang lagi yang aku ingat-ingat lupa. Di sini juga ada kisah seorang peserta yang balik ke kabin kerana mengatakan ada 'kawan' hendak berjumpa. Sebaik diselidiki dia bercakap-cakap dengan 'rakan' yang tidak kelihatan itu. Kisah ini berlarutan sehingga ke kolej.

Kehadiran Pengetua Kolej dan para fellow banyak membantu. Namun, segalanya tinggal kenangan yang sekali sekala menjelma tanpa diundang. Lumrah hidup, umur kian bertambah, peristiwa lalu hanya mampu dikenang.

Akhirnya, setelah bercuti dan merehat minda, tiba masa untuk pulang dan Alhamdulillah, perjalanan pulang tanpa sebarang masalah sehinggalah menjejak kaki ke rumah untuk menjalankan tugas seperti biasa pada keesokan harinya.

3 comments:

Brahim Nyior said...

Sioknyer cuti kat CH. Anak aku takleh g, muntah lembek...

Tunggu lah beso ckit.

DYAMIM BAHARI said...

Yang kakak tu pening-pening juga tapi tak le sampai muntah. Beg plastik standby juga. Pergi dan balik, alhamdulillah tak muntah.

Unknown said...

nak tahu.....saya dipanggil ke KTP ..kata rakan utk 2 hari mesyuarat.
Sampai disana..bas sudah menunggu..

nak kemana???...depa kata ke CH
la.....tak bawa baju,,2 helai t shirt je....

kat sana.....terasa sejuk sebab kena tido kat cabin dan bukan 2 hari ... seminggu....balik kurus

dan telahirlah moto KTP

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan