Friday, July 24, 2009

Pidato Piala DiRaja Peringkat Negeri Perlis 2009





















23 Julai - Pertandingan Pidato Piala DiRaja diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis dengan penyertaan seramai 14 peserta, iaitu 8 daripada sekolah rendah dan 6 daripada sekolah menengah. Pidato ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Bahagian A dan Bahagian B. Bahagian A memberi peluang kepada pemidato untuk bersedia awal dan Bahagian B merupakan pidato spontan yang tajuknya dipilih melalui cabutan sampul. Bahagian A menyediakan 5 tajuk bagi kategori sekolah rendah dan menengah. Manakala Bahagian B kategori sekolah rendah terdiri daripada 10 tajuk dan sekolah menengah 15 tajuk.
Pertandingan dimulai dengan Bahagian A peserta sekolah rendah dan Bahagian peserta sekolah menengah. Bahagian B bagi kedua-dua kategori bersambung selepas majlis berehat. Acara selingan menyerikan pertandingan dengan persembahan daripada pelajar-pelajar SMK Dato' Sheikh Ahmad yang bertindak selaku pengelola partandingan.
Akhirnya keputusan dimuktamadkan. Johan Pidato DiRaja Peringkat Negeri Perlis 2009 Kategori Sekolah Rendah disandang oleh Nur Hanisa binti Hasanuddin(SK Beseri) dan Kategori Sekolah Menengah disandang oleh Adam Shafiq bin Azuden (SMK Derma). Mereka akan mewakili negeri Perlis ke peringkat kebangsaan. Tahniah kepada semua peserta dan guru pengiring serta pihak pengelola.
Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup disempurnakan oleh Yang Berusaha En Nuzrin Nu'iman, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Perlis. Hadir bersama Encik Sharudin Mahmud, Ketua Unit Koakademik. Majlis yang bermula 8.00 pagi berakhir 2.00 petang.

Senarai peserta:
Sekolah Rendah

1. NURUL ASHIDA ZAINAL (SK SG. BARU)
2. NUR JUHANNITA SHAHIDAN (SK KUALA PERLIS)
3. AMIRA NABILA MOHD NOOR (SK JALAN RAJA SYED ALWI)
4. NUR HANISA HASANUDDIN (SK BESERI)
5. NURUL AIN SYAFIQA ABD RAHMAN (SK TITI TINGGI)
6. NUR SYAHIRAH AFIQAH ABDULLAH (SK ORAN)
7. NUR FARHA IZZAT ABD RAZAK (SK GUAR NANGKA)
8. FATIN INSYIRAH ROSLI (SK SANGLANG)

Sekolah Menengah
1. NUR WAFAA ZUKIMIRI (SMK DATO' ALI AHMAD)
2. NAZATUL SYAFIQAH MD RADZI (SMK DATO' SHEIKH AHMAD)
3. RUWAIDA ROSLI (SMK SYED ALWI)
4. ADAM SYAFIQ AZUDEN (SMK DERMA)
5. NUR IZZATI KHAIRUDDIN (SMK AGAMA PEREMPUAN KANGAR)
6. MUHAMMAD DZARIFF KHOIRON NOOR (SM TEKNIK KANGAR)

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan