Tiba-tiba hari ini aku terjumpa
sehelai kemeja biru yang pernah aku pakai pada tahun 1991 dulu. Lama dulu.
Kemeja itu aku beli pada Mei 1991, aku pakai pada 13 Mei 1991, setelah beberapa
hari menggayakan di rumah. Berhadapan dengan cermin tanpa komen daripada
sesiapa. Waktu itulah satu-satunya kemeja yang aku beli sendiri dengan harga
RM29.90 (rasanya dah cukup mahal). Masih elok, cuma ada bekas lipatan dan kesan tahi lipas
sahaja. Ada apa dengan kemeja ini setelah 21 tahun berlalu?
Aku menerima surat daripada
Universiti Pertanian Malaysia (Putra) yang bertarikh 26 April 1991, perlu
menghadiri temuduga di Bilik Seminar B pada 13 Mei 1991. Syukur dan berdebar.
Maka aku pun ke pasaraya Looking Good (tak dak dah pasaraya ni). Memilih dan
mencuba beberapa kali, aku memilih warna biru, berjenama G. MENTA International (tak terkenal pun).
Waktu itu aku begitu jahil tentang jenama pakaian, dan sangat tidak mengambil
kisah. Waktu itu, aku tidak lagi tahu tentang Orlando, John Master, Lentino, Crocodile,
GMV, dan yang setaraf dengannya. Asalkan sesuai dan padan, aku beli saja. Maka
aku pilihlah baju ini.
Bersaiz 16 atau 40-41, dan itulah
saiz yang aku pakai sekarang.Bayangkan pada ketika itu aku lebih kecil daripada
sekarang, sudah memakai saiz itu, tentu nampak besar bukan? Maklumlah waktu itu
tidak ada jururunding imej (tak kenal sesiapa). Waktu memakai baju itu memang
nampak besar. Kasut jenama Treveler (ada ke lagi?). Seingat aku, seluar
berwarna hitam.
Aku bertolak ke Kuala Lumpur dengan
seorang rakan pada 11 Mei, malam. Sampai di Puduraya pada waktu pagi dan
dijemput oleh bapa saudara, terus ke apartmen di Kampung Baru. Seharian dan bermalam
di situ, 13 Mei pagi aku dan rakan bertolak ke Serdang dengan menaiki teksi.
Banyak teksi yang tidak mahu ke Serdang, tapi Alhamdulillah ada juga seorang
pemandu yang sanggup ke sana dengan syarat tidak memasang meter perjalanan. Aku
setuju.
Aku sampai ke UPM lebih kurang
9.45 pagi. Temuduga pukul 10.00 pagi. Dalam perjalanan, perasaan aku berbaur,
resah tentang temuduga, isu apa yang nak ditanya bermain-main dibenak. Di mana
nak cari Bilik Seminar B? Berapa orang panel? Maklumlah ini temuduga aku yang
pertama. Susahnya hendak masuk universiti aku rasa pada waktu itu. Mengapa
program ini perlu ada temuduga? Bukankah mudah kalau pemohon diterima terus.
Aku mencadang pada waktu yang tidak wajar. Ahh…kecut juga waktu itu… teksi berhenti di hadapan kafeteria (sekarang
dah berubah) dan aku berjalan beberapa
ketika sebelum sampai ke tempat temuduga… Berbaju biru, berseluar hitam, kasut
kulit koko, maka aku ditemuduga. Apakah yang berlaku di dalam Bilik Seminar B? Nak tahu? Tunggu episod seterusnya... (Insya-Allah,
ada waktu bersambung).
2 comments:
Salam buat sahabat.
Terkesima membaca bait-bait kenangan lalu.. Aku pun ada kenangan masa temuduga.
Bajunya aku dah lupa, tapi tali leher aku pinjam pak sedara yang bekerja di KL. Aku pun macam hang, anak kampung yang tak pernah pun pi UPM. Mujurnya ada abang sedara pupu yang pernah pelajor di sana. Aku tumpang dia dan tak silap aku, ada ramai calon pompuan berbanding lelaki. Tak silap aku, Zulkarnain Johor satu-satunya yang aku perasan semasa intake kita.. Duia tiga orang calon lelaki mungkin tak 'sebertuah' aku.
Apa pun, aku bersyukur sebab temuduga tu berjaya menempatkan aku bersama orang-orang hebat macam hang.
Alhamdulillah..
Salam Dyamim... sekian lama tak mendengar khabar berita, rasa terpanggil untuk komen di sini... Terima kasih kepada Izzuddin aka Brahim Nyior kerana membawa ke sini.. Kenangan lama yang memungkinkan kita membina kenangan bersama-sama rakan seangkatan.. semoga terus segar dalam ingatan...
Post a Comment