Saturday, December 24, 2011

Mini Cerpen - Putus Cinta

Sebuah kereta Nissan Sentra berhenti di hadapan rumah. Adik aku keluar dan berdiri dekat dengan tiang garaj. Kereta itu diundur. Tangan pemandu dilambai-lambai, Adik aku membalas. Kereta tersebut berlalu dan Adik aku masuk ke dalam rumah terus ke bilik. Seketika keluar dengan tuala dan terus ke bilik air dan mandi. Petang itu Adik aku mandi sambil menyanyi. Satu perkara yang jarang benar berlaku.
Selepas Isyak, sebaik aku melangkah masuk isteri sedang membasuh pinggan dan cawan. Senyum manis terukir untuk menambat suami (itu yang sepatutnya setiap kali suami balik). “Dah balik?” “Ye le.” Aku membalas dialog isteriku. “Aikk, malam ni adik abang tak keluar ke? Biasanya lepas Isyak begini ke rumah Zul, nak main badminton, nak check motor, adjust brek, adjust clac….”
“Adik abang tu…” “Apanya?” Aku melabuhkan punggung di kerusi plastik selepas menukar baju. “Adik, akak bagitau abang ya?” “Ikut kak lah!” Matanya masih tertumpu pada televisyen yang memaparkan perlawanan bola sepak. “Abang, adik tu putus cinta!” “Ooo ya… ke? Tapi tak Nampak sedih pun. Biasanya orang putus cinta, nangis-nangis, kurung dalam bilik, ish…ish…” Isteriku senyum meleret. Adik aku selamba melayan perlawanan bola sepak seperti tidak mendengar apa-apa.
“Yang nyanyi dalam bilik air tu, frust la tu.” “Patut la, tak pernah abang dengar adik nyanyi dalam bilik air. Rupanya, tanda-tanda orang frust nyanyi dalam bilik air.” Malam itu bagi aku berlalu seperti biasa. Isteri aku juga seperti biasa, adik aku juga aku tengok seperti biasa, layan bola sepak. Selesai semua aku berbicara dengan adik aku.
“Adik, sedih tak?” Sebaik dia duduk di ruang tamu bersama-sama aku. Aku masih memegang majalah yang baru dibeli. “Entah, bang. Rasa bercampur-baur. Rasa ok dan tak ok.” “Pasal apa putus?” “Ika dah nak kahwin, bulan Mac.” Cepatnya.” “Mak Ika kata dengan kawan abang Ika.” “Mak dia?” Aku memancing cerita. “Ya, adik ke rumah Ika. Jumpa dengan Mak Yam. Mak Yam kata dia tak kisah Ika kawan dengan adik, tapi jodoh Ika dah ditetapkan.” “Reaksi adik waktu itu?” Adik aku diam. “Abang ni banyak tanya la…”
“Waktu tu biasa saja bang, sebab Mak Yam cakap baik sangat. Abang nak adik ulang dialog tu ke?” “Tak usah dik, abang sebenarnya kenal Mak Yam tu. Bahasa dia lembutkan?” Adik aku senyum tawar. Barangkali terkejut yang aku kenal dengan Mak Yam. “Tak payah nak frust menonggeng, cinta tu sebahagian kecil daripada hidup. Banyak lagi hal-hal lain yang penting. Bukan abang kata tak penting langsung, penting juga cinta tu, tapi jangan ikut emosi. Control emosi adik, handle with care!” Sehabis ayat itu adik aku senyum panjang. “Bukan barang kaca, kot-kot pecah. Apa lah abang ni.” “Yalah, hati adik tu, jangan sampai pecah berderai…”
“Abang nak bagitau, apa-apa yang ditentukan Allah ada hikmah. Nanti adik akan kata, ooo …. patutlah jodoh aku bukan dengan Ika, patutlah dengan Mira.” Pantas adik aku menjawab, “Mira mana?” “Konon-konon le. Yang kita rancang tak semestinya berlaku dan yang tak dirancang pun boleh berlaku bila-bila masa. Cuma, meninggalkan tidak separah ditinggalkan.” “Yalah bang. Terima kasih banyak.” Diam seketika. “Abang!” “Ya.” “Abang pernah putus cinta?” Aku renung muka adik aku. Tidak menjawab tapi mengherotkan pipi dengan sedikit suara, “ Emm... dipertimbangkan jawapan nanti.” “Tak payah rahsia bang, nanti adik tanya akak!” Adik aku bangun bersama-sama senyum manisnya.

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan