Saturday, October 8, 2011

Mini Cerpen - Katil itu

Hidup tidak pernah dapat dijangka. Berubah dalam sekelip mata. Perkara yang tidak pernah ada di dalam minda boleh datang melanda. Sedar-sedar itulah keadaan yang perlu dihadapi. Has pasrah. Dia tidak mampu melawan takdir. Apabila dihitung kembali, ada juga kesalahan yang sukar ditebus kembali. Benar. Perencanaan hidup tidak boleh dicuba-cuba. Tersilap langkah hidup akan punah. Has merenung ke arah hadapan, kemudian beralih ke arah kanan, semuanya terbaring. Berpaling ke arah kiri, ada dinding dan tingkap yang menampakkan awan.
Episod melankolik bermula. Zizi sering marah-marah. Ada ketika menyumpah-nyumpah dan mengatakan Has menyusahkannya. Ada ketika Has terbiar tidak terjaga.
“Kau ni banyak menyusahkan, aku nak buat kerja pun payah. Sikit-sikit ke hospital, sikit-sikit ke hospital.”
“Saya sakit bang, bukannya main-main.”
“Itulah, menyusahkan saja.”
“Menyusahkan apa, saya kan isteri abang.” Lembut dan perlahan.
“Isteri apa? Hah… cakap? Cakap?” keras menengking sambil menonyoh kepala Has dengan kuat.
Has tersengguk kuat. Kepala terhantuk ke lantai yang dilapik tilam nipis. Terasa berdengung di kedua-dua belah telinga. Matanya berpinar-pinar. Ungkapan dan jerkahan suaminya didengar antara jelas dengan tidak.
“Apa yang awak boleh buat. Terlantar saja… cakap? Apa yang awak boleh buat untuk aku? Ada kau sedia pakaian untuk aku. Ada kau siapkan makanan, basuh baju dan layan aku. Ada? Sampai bila aku harus begini…” keras nada Zizi.
Air mata Has tumpah lagi. Sejak dia tidak mampu mengurus diri, Zizi sememang membuangnya. Anak-anak tidak tinggal bersama lagi. Buat hal masing-masing. Di sini silap Has. Dia gagal mendidik dengan baik. Hatinya mengakui yang dia tersilap langkah kerana terlalu mengikut kehendak anak-anak. Sudahnya, anak anak pijak kepala dan langsung tidak mempedulikannya. Semuanya sudah ke kota. Sejak sakit membarah, mereka tidak mahu pulang.
Di atas katil 614 itu dia terbaring tanpa dipeduli. Jururawat sahaja yang mengubati. Doktor yang sering menyuntik ubat. Malahan hujung kaki berdekatan urat ketingnya ditanam jarum untuk ditambah darah. Tidak dialih jururawat, Has tidak beralih. Tidak ditukar lampin pakai buang, maka terbaringlah Has di dalam air kencing dan ada ketikanya bersama najis yang melekat pada kulit-kulit punggungnya. Gatal yang tidak terhingga, tapi siapa yang peduli.
Di hujung katilnya, di katil 615, juga terbaring seperti Has. Tapi pesakit itu beruntung, anak-anak bergilir menjaganya. Ada saja yang datang menziarah. Ada anak-anak yang menggosok di tempat-tempat yang gatal. Ada yang membantu mengelap badan walaupun terbaring kaku. Has sayu. Episod itu menjadi lebih sayu.
“Nombor telefon suaminya tak ada?” tanya jururawat muda bersembang sesama mereka.
“Tak ada.”
“Telefon rumah?” Tanya lagi jururawat muda itu.
“Kan suaminya tinggalkan nombor masa pendaftaran masuk hari tu,” sampuk jururawat ketiga.
“Nombor palsu, tidak ada dalam perkhidmatan. Dan dah pindah ke tempat lain!”
Has memejamkan matanya dalam-dalam. Cuba ditahan air mata itu agar tidak tumpah. Akhirnya tumpah juga. Has sedar hidupnya makin ke penghujung, tapi Has tidak menjangka yang penghujung itu penuh kesedihan. Sepatutnya Has di kelilingi anak-anak, dibantu suami dengan penuh kasih sayang. Bukan ditinggalkan setelah dicemuh dan akhirnya terbuang. Katil itulah saksinya. Tilam itu temannya. Jarum di kaki itulah kawan rapitnya sehingga menunggu untuk dijemput pergi…

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan