Tuesday, October 19, 2010

Cerpen Mini - Insurans

Petang itu di kedai topup Din Kari, Tok Husin berbual seketika setelah berhenti untuk topup kredit telefon bimbitnya. Dia bukan guna sangat, tapi anak-anak yang beriya-iya agar dia menggunakan telefon mudah alih itu dengan alasan mudah dihubungi.
"Tak nak tukar motor ke Tok Husin?"
"Udah le, yang itu pun aku tak larat dah nak bayar insurans dan roadtax."
"Berapa sangat le motor buruk Tok Husin tu?" tingkah Din Kari memancing cakap.
"Sebab buruk le yang aku meluat tu. Harga insurans motor tu dah dekat-dekat harga motor aku, mahal sungguh."
Din Kari tersenyum. Bukan dia tidak tahu yang insurans motor melambung tinggi. Entah apa alasan pun tidak dinyatakan. Yang dia tahu, first party saja yang boleh dibeli. Second party ke, third party ke tidak ada. Lepas tu, lagi tua motor lagi mahal pula insuransnya.
"Tak ada pula disebutkan dalam Belanjawan tempoh hari."
"Sebut apa Tok Husin?"
"Ini le, pasal insurans kereta motor yang membebankan rakyat ni. Tak kan pemimpin negara tak tau susah rakyat. Tak pun buat-buat tak tau."
"Ya tak ya juga." Din Kari seakan baru tersedar.
"Kerajaan kena cerita kepada rakyat, pasal apa keadaan insurans jadi macam ni. Kita mana tahu semua ni. Yang kita tahu mesti bayar saja. Kalau tidak, tak boleh bayar roadtax."
"Kerajaan dok fikir pasal pilihan raya kot?"
"Nanti ada pihak guna isu insurans ini, macam mana? Baru nak kalut."
Tok Husin mengeluarkan wang kertas sepuluh ringgit. Diletakkan di atas meja depan Pak Din.
"Tambah aku sepuluh ringgit."
"Cukup ke Tok Husin?" soal Mimi anak Din Kari yang sentiasa membantu ayahnya.
"Cukuplah tu. Bukan nak telefon sangat. Sekali sekala saja. Itu pun nak telefon Hisham dengan Nora saja. Yang lain, orang saja dok telefon tok. Nak jaul kelapa, atau suruh pergi ambil kelapa. Nasib baik le telefon ni tak kena ambil insurans."
"Tok, cukai telefon mansuh. Nanti boleh beli yang canggih-canggih."
"Macam tok ni tak perlu semua tu, cuma tok harap selesai dulu masalah insurans motor buruk tok ni."

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan