Monday, September 12, 2011

Mini Cerpen - Andainya...

Jun merenung ke arah bendang yang terbentang di belakang rumah melalui tingkap yang terbuka luas. Dari biliknya kelihatan tunggul-tunggul padi yang hampir ditenggelami air. Sekarang musim hujan. Hari ini hujan sejak semalam. Pergerakannya juga menjadi malas-malas. Di bendang itulah dia bersama adik-adik menangkap atau mengail ikan apabila tiba musim padi ditanam. Tapi semua itu berlalu sudah. Musim berganti dan kini tumpuan bukan lagi kepada aktiviti yang dipenuhinya pada zaman kanak-kanak. Jun tersenyum sendirian. Zaman kanak-kanak memang menyenangkan.
Entah mengapa sejak akhir-akhir ini hatinya resah tidak keruan. Ruang masa tanpa kerja menjadikan diri gelisah, masa terlalu panjang, detik yang berlalu terlalu lambat dan dia pendamkan di dalam hati. Sesekali mendengus seakan mengeluh.
“Agak-agak, andainya kita jumpa dulu bagaimana?”
“Bagaimana apa?” balas Zaidi.
“Yalah, agak-agak awak, kita boleh berkawan?”
“Boleh, kan sekarang kita juga berkawan.”
“Susahnya bercakap dengan orang yang pandai berkata-kata.”
“Ok, saya faham maksud awak. Mungkin… kan kita pernah jumpa di kampus dulu, waktu awak buat diploma. Awak buat tak tau kat saya.”
“Mana ada, saya tak pernah juga awak pun.”
“Tapi kalau jumpa pun awak tak akan berkawan dengan saya, sebabnya saya selekeh…”
“Ah… alasan mudah untuk mengelak,” balas Jun yang mudah tersenyum sebaik bertembung dengan Zaidi. Perbualan itu terasa melekat di kepalanya. Di luar kembali gerimis.
“Serasa awak, dua hari cuti panjang atau pendek?”
“Bergantung kepada keadaan. Kalau saya sibuk, terasa pendek, kalau santai-santai terasa panjang. Awak?”
“Mestilah pendek, dua hari. Tak sempat nak tidur puas-puas. Tak sempat nak menebas di kebun, tak sempat nak meracun rumput, tak sempat nak tengok kolam ikan keli, tak sempat duduk saja-saja…” balas Zaidi sambil tersenyum yang meleret.
“Amboi, banyaknya kerja awak… jadi tak rasa panjang le???” sekali lagi soalan tersebut dilafazkan.
Zaidi tersenyum. Dahi dikerutkan dan mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya cuba pertimbangkan…”
“Menyampah!”
“Lebih baik kita berjumpa dan berkawan dalam keadaan sekarang. Itu realitinya, awak setuju atau tidak?”
“Tak pasti!”
“Begini, kalau kita berkawan dulu, tentu tidak akan jadi seperti kawan biasa. Awak faham maksud saya?”
Jun tidak menunjukkan reaksi. Menunggu terus ucapan daripada Zaidi. Zaidi mengherotkan mulutnya. Memerhati sahaja wajah Jun.
“Saya yakin, andainya kita berjumpa dulu, kita tidak akan berkawan seperti sekarang.”
“Mengapa pula?” Jun membalas penyataan itu untuk mendapat penjelasan selanjutnya.
“Andainya kita berjumpa dulu, kita akan bermula dengan berkawan biasa, kemudian kita akan bercinta, dan selepas itu awak akan menyimpan marah yang mendalam pada saya.”
Zaidi menghentikan ayatnya. Dia tahu soalan akan terbit dari mulut Jun tentang marah yang mendalam.
“Sebab?”
“Sebab saya akan tinggalkan awak, jodoh awak bukan dengan saya. Bila saya tinggalkan awak dan awak akan marah, malahan mungkin akan benci. Kesimpulannya, baik kita berkawan sekarang ini. Setuju?”
Jun diam. Dia hilang kata-kata. Apakah ada kebenarannya atau sekadar hujah yang disampaikan oleh seorang kawan.
“Dan kalau awak merasakan dua hari cuti itu panjang, sebenarnya awak menyimpan perasaan rindu. Rindu pada saya. Betulkan awak rindu? Betulkan?”
Jun diam lagi. Zaidi mengangkat kening tanda mahu jawapan. Jun tersenyum tawar.
“Yalah tu… Awak?”
Zaidi tersenyum dan berlalu. Zaidi membiarkan Jun berteka-teki. Sesekali timbul rasa geram dengan persoalan yang tidak terjawab. Hujan di luar semakin lebat. Esok dinanti dengan lambat. Hati Jun hebat dilanda rindu…

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan