Monday, September 26, 2011

Air Mata Isteri - Sebuah Catatan

Kelmarin aku menziarah kematian ahli keluarga yang mempunyai pertalian yang agak dekat walaupun keadaan kesihatan kurang memberangsangkan. Setelah sekian lama tidak bertandang ke rumah itu, inilah masanya selepas hampir lima tahun tidak bertandang. Kematian datang dengan tiba-tiba, tiada sesiapa yang menjangka. Di satu sudut anak kecil yang baru berusia empat tahun masih riang bermain dan berlari-lari bersama-sama dengan sepupunya. Di satu sudut, orang dewasa bersembang sesama sendiri ada ketika membangkitkan ketawa. Di satu sudut, orang dewasa kelihatan sugul dan merah matanya. Di dalam rumah jenazah sedang dimandikan, akan dikafan, akan disembahyangkan dan akan dikebumikan.
Di satu sudut, seorang wanita yang separuh umur memegang tiang, di tangannya ada sapu tangan yang digenggam erat, diusap-usap belakang dengan perlahan oleh saudara terdekat. Matanya merah, seketika berbicara dengan saudara yang menziarah, dan bersalaman serta membetulkan kain tudungnya. Jenazah di dalam rumah sedang dikafankan, penziarah-penziarah menunggu giliran mengambil air sembahyang. Seketika ada suara yang memanggil, menjemput hadirin menyembahyangkan jenazah.
Keranda diangkat dibawa ke tanah kuburan. Wanita yang menggenggam sapu tangan tadi bertambah sedu. Ada saudara yang memeluknya. Dua matanya terus basah, air mata semakin bah mengalir menjatuhi tubir matanya. Deras dan berpanjangan. Itulah perjalanan keluar terakhir suaminya yang tercinta. Perjalanan itu pasti tidak akan kembali. Itulah perpisahan yang tidak akan ada pertemuan lagi di dunia yang fana ini. Sayang kepada suaminya tetap ada walaupun hati suaminya itu berkongsi dua. Isteri mana yang tidak menyayangi suaminya, apatah lagi segala-galanya dikongsi sewaktu hidup bersama. Sendu bertambah apabila jenazah dibawa ke liang lahad. Itulah tanda isteri menghantar suaminya dengan kasih sayang, tambahan pula selama ini menjadi penyejuk di mata penawar di hati.
Hargailah masa yang ada. Emak berpesan, “Kalau nak sayang, sayanglah sekarang, jangan dinanti-nanti. Esok kalau dah mati, dah tak berguna lagi walau berpisah hanya sejarak enam kaki di dalam bumi.”

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan