Tuesday, October 18, 2011

Mini Cerpen - Menanti

Ika sibuk melayan tetamu yang bertandang. Hari itu Ika gembira. Majlis perkahwinan kakaknya nampak meriah. Itulah kenduri pertama Haji Nan dan Hajah Som untuk anak sulungnya. Ika berbaju pink dengan sedikit mekap nipis dan tanpa kaca mata pada hari itu. Nampak menarik. Hatinya gembira,rakan-rakan bertandang memenuhi jemputan. Di luar khemah kelihatan mendung di arah utara. Bimbang juga kalau-kalau hujan turun pada hari itu.
“Assalamualaikum, sibuk nampak,” sapa Ina yang datang bersama suaminya.
“Ya, terima kasih kerana sampai juga.”
“Mesti datang, kawan punya pasal. Aku bawa suami ni.”
“Tahu, jemput makan Zizul. Pergi makan dulu, nanti kita sembang.”
“Tak payah, kau sibuk, buat kerja kau tu,” sambil Ina bergerak ke arah tempat nasi dan lauk.
Ika hanya tersenyum. Pelanggan silih berganti, kebanyakan rakan yang dijemput sudah datang, tapi hatinya masih menanti seseorang yang tidak kunjung tiba. Geram pun ada. Janji hendak datang tapi tidak sampai-sampai. Kakaknya, yang menjadi raja sehari sudah selesai majlis makan beradab. Para tetamu yang datang bersama-sama pengantin pun hendak bergerak pulang. Ika menghulur bunga telur dan cenderahati yang disediakan sejak berminggu-minggu yang lalu.
Hatinya kembali resah. Ada juga tercuit rasa geram dan marah. Telefon bimbit yang dipegang sejak pulangnya rombongan pengantin diakses. Sekadar menghantar mesej dan sengaja tidak mahu membuat panggilan.
“Mana?”
Ika menunggu kalau-kalau ada jawapan. Hujan mula gerimis. Tetamu yang berada di sekitar khemah bergerak mencari tempat yang lebih selesa untuk berteduh. Akhirnya, gerimis bertukar rintik dan mencurah membasahi bumi serta sekitar kawasan. Tetamu berkumpul di dalam khemah dan ada juga bergerak ke ruang hadapan rumah yang berbumbung. Tempias angin tetap membawa habuk-habuk hujan melembapkan pakaian tetamu.
Telefon bimbitnya bergetar, “Dalam perjalanan. Hujan?”
Ika membalas, “Di sini hujan lebat.”
“Kalau lebat, nak patah balik!”
Geram Ika bertambah tebal. Hendak datang tapi kerana hujan lebat hendak patah balik pula. Dengan perasaan geram, Ika membalas pesanan ringkas, “Ok!”
“Ika, aku balik dulu.”
“Hujan ni.”
“Kereta dekat saja, lagi pun bagi tetamu lain ambil tempat pula.”
Ika hanya mencebikkan mulutnya. Memandang Ina dengan penuh rasa geram, tetapi geram itu untuk orang lain. Tangannya mencapai cenderahati, menghulurkan kepada Ina dan suaminya.
“Kau masih menunggu?”
“Siapa?”
“A.D.”
“Entahlah Ina, tak sampai-sampai. Sejak tadi dalam perjalanan. Dari mana entah, Marikh agaknya.”
“Menanti yang istimewa memang begitu, sabar saja Ika. Aku nak balik dulu, lain kali kita cerita. Haa… kau tunggulah si A.D. kau tu… entah-entah esok pagi baru sampai, sangkut kat bulan agaknya.”
Sakat Ina sambil berlalu. Begitulah sikap kawan baiknya itu. Zaman sekolah dulu, Inalah yang sering menarik rambutnya yang sepanjang paras belakang. Sehingga kini, mereka masih berkawan baik.
“Awak nii… datang la…. Saya tunggu ni,” pesanan ringkas dihantar lagi.
Terasa sunyi walau dalam keriuhan tetamu yang ada. Hujan kian reda. Ada juga yang basah terutama yang bertugas bagi memastikan lauk pauk cukup untuk tetamu. Mesej diterima.
“Tiba-tiba saya dekat dengan awak.”
“Mana?”
“Dekat hati awak!”
Hati Ika bertambah sebal, menyampah dan geram. Dengan langkah bersahaja, A.D. sampai di hadapan Ika. A.D. memandang sekeliling mencari sesuatu yang tidak pasti. Geram dan menyampah tadi hilang begitu sahaja. Reaksinya menunjukkan gembira, sangat gembira. Tanpa bicara, Ika mengarah A.D. untuk makan. A.D. mengikut sahaja. Ika memerhati dari jauh. Tidak manis rasanya menunjukkan perhatian yang berlebihan kepada A.D.
“Lama kita tak jumpa kan?
“Ya. Dan akhirnya awak datang juga.”
“Ya, demi awak.”
“Kata nak patah balik, mengapa tak jadi?”
“Awak ingat apa yang awak kata dulu bila lama tak jumpa?
“Apa?” soal Ika.
“Awak kata, saya rindu awak la sekarang ni, faham Encik Azrul Daniel. Kerana itu, saya tetap datang.”
“Terima kasih, pergi jumpa ayah saya bawah khemah sana. Cakap bakal menantu datang ni,” usik Ika.
A.D. tersenyum. Ika ketawa kecil. Majlis terus berjalan sehingga ke lewat petang.

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan