Friday, October 15, 2010

Gebang-gebang

Suatu hari dalam perjalanan mengikuti kuliah Maghrib, bercerita tentang bahasa orang tua-tua yang pandai berkias tetapi maknanya sangat mendalam. Terbit cerita bagaimana hendak memberitahu orang apabila tiba masa untuk berkahwin. Siapa yang harus diberitahu? Emak atau ayah? Dalam diskusi itu majoriti bersetuju kebanyakan akan memberitahu emak. Anda bagaimana? Emak atau ayah? Mungkin juga tidak memberitahu sesiapa apabila ingin berkahwin LAGI. Yang itu pandai-pandai sendiri.


Kisah 1 : Satu hari seorang anak muda sedang mengejar ayam bapak keliling rumah. Bapa kepada anak muda ini hanya memerhati sejak tadi. Setelah agak lama anak muda itu mengejar ayam bapak itu, maka dia pun memanggil anaknya.
"Pul, sini," sambil menggamitkan tangan.
"Ya, ayah," patuh dan duduk di pangkin bersebelah ayahnya.
"Apa salah ayah jantan tu?"
"Tak ada salah apa-apa, ayah,"
"Habis mengapa dihambat ayam jantan itu keliling kampung?"
"Nak buat macam mana ayam betina tak ada, ayam jantan saja yang ada! sebab itulah Pul hambat ayam jantan."
"Oh... ayah faham."

Kisah 2 : Pagi itu Mak Budin berasa hairan dengan kelakuan anaknya yang sedang tidur di dalam bilik dengan menggantung kelambu sebelah sahaja. Sebelah lagi dibiarkan berjuntai ke lantai. Sebelum ini anak itu menggantung kelambu dengan betul. Malam berikutnya, masih seperti itu. Malam seterusnya, kelambu tersebut digantung oleh emaknya sebelum anak bujang ini masuk tidur. Setelah pagi emaknya melihat kelambu tersebut kembali seperti digantung oleh anaknya, yakni menggantung sebelah sahaja dan sebelah lagi dibiarkan berjuntai ke lantai.
"Budin, mengapa digantung sebelah saja kelambu tu, susah le kalau nak tidur."
"Mak, kalau saya gantung dua-dua belah pun, bukan ada guna. Saya tidur sorang-sorang juga."
"Budin nak tidur berdua ke?"
"Ya le mak, kelambu kan besar!"
Emak Budin terdiam dan semakin faham maksud sebab anaknya berubah perangai.

Kisah 3 : Setelah lama merantau, Kasim pulang ke kampung. Rutin harian seperti biasa. Ayah Din akan ke sawah. Emak Leha menjadi suri rumah sepenuh masa. Mak Leha faham perangai anaknya yang sedikit baran dan jarang bercerita sesuatu dengan panjang lebar. Biasanya, tanya sepatah, jawab sepatah. Kalau Pak Din bertanya, cepat pula menjawab.
Pagi itu, sudah dua pagi Kasim di rumah. Setelah siap sarapan, Pak Din terus ke sawah. Kasim di rumah seperti hari semalam. Anehnya, pagi itu merupakan pagi kedua, Kasim duduk dekat dengan pintu dan memain-mainkan daun pintu. Berbunyilah pintu itu, kriok kriek.
Mak Leha menjadi hairan. Semalam main daun pintu, hari ini main daun pintu lagi.
"Mengapa Kasim, dimainnya pintu tu?"
Diam.
"Kau ni dah macam bebudak. Pagi-pagi main pintu."
Diam.
"Nak kata kecil dan besar panjang dah."
Diam.
"Sudah le, jangan dimain lagi daun pintu itu. Sim bukan bebudak lagi."
"Mak, kalau bukan bebudak, bagi le saya kahwin."
Mak Leha baru tersedar, yang anaknya sudah nak berbini.

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan