Sepanjang berumah tangga dengan Abang Deris, inilah kali pertama dia menerima hadiah. Dia membiarkan kotak itu tanpa dibuka. Dulu, Abang Deris seorang anggota keselamatan berpangkat rendah. Gaji tidak seberapa. Bayangkan, dengan gaji yang sedikit digunakan untuk mengalas perut sepuluh orang insan. Rezeki Mak Gayah dengan Pak Deris dianggap mudah, dalam kesempitan hidup itu mereka dianugerahkan lapan orang anak.
Ada dulu, rakan-rakan mengatakan anak-anaknya meremut macam anak tikus. Lepas seorang-seorang pula datang. Mak Gayah hanya tersenyum. "Itulah rezeki aku Mak Som. Harta benda dah tak ada, anak-anaklah harta aku."
"Anak-anak, kalau mengenang jasa tak apa, Mak Gayah. Kot-kot menambah seksa."
"Kita didik mereka, bagi pelajaran, ilmu agama, takkan boleh menyeksa kita pula."
Mak Som hanya mendiam diri. Mak Gayah cukup yakin yang anak-anak itu harta dunia dan akhirat. Penting diasuh dan dididik.
"Macam mana le kau nak didik anak yang berkarang ni?" Satu ketika disinis sepupunya yang berpangkat besar tetapi beranak dua sahaja.
"Kita cuba Kak Chah. Aku memang tak pandai, tapi kita usaha. Insya-Allah," yakin sungguh Mak Gayah pada petang itu. Kedatangan Kak Chah yang berpangkat dan berkereta besar itu disambut dengan senang hati.
"Hidup ni kena rancang Gayah. Bila kena yang kita rancang semuanya mudah."
"Itu memang betul. Kita rancang dan usaha. Cuma, aku tak setuju kalau maksud rancang Kak Chah ada kaitan dengan bilangan anak. Anak-anak itu rezeki. Hari ini kita susah, esok-esok siapa tahu."
"Yalah, Gayah, tapi kita kena tengok juga kemampuan ekonomi kita." Hujah Kak Chah seolah-olah berbincang dengan rakan sekerja di pejabat.
"Aku pun nak tengok kau senang juga. Abang Deris kerja seorang, teruk dia aku tengok."
"Dia suami Kak Chah, tanggungjawab suami menyara keluarga."
Kak Chah terdiam apabila Mak Gayah melafazkan kata-kata itu. Mak Gayah sendiri terdetik di hatinya kalau-kalau ungkapan tadi mengguris hati Kak Chah. Perjalanan hidup Kak Chah jauh berbeza daripada Mak Gayah. Kisah Kak Chah berpisah dengan suami dulu heboh sekampung, walaupun itu bukan perkara yang baik. Suami isteri bekerja tetapi ada kecurangan. Akhirnya berpisah di tengah jalan. Itu dulu.
"Mak, ayah mana?" Sapa Azizul sebaik keluar daripada biliknya. Bilik yang dikongsi dengan adik sekian lama. Balik lagi pada minggu ini, walaupun minggu lepas sudah balik.
"Ayah ke tempat biasa le," ringkas Mak Gayah.
"Tempat biasa?" "Yalah, hujung kampung dengan batang pancing. Mana boleh tinggal pancingnya."
"Tak apalah mak. Bagi ayah rehat sekarang. Dulu dia dah teruk bekerja menyara keluarga. Cari rezeki untuk mak dan anak-anak dia."
"Mak pun teruk juga."
"Itu saya akui mak. Saya dan adik-adik tak pernah nafikan. Mak dan ayah telah laksanakan yang terbaik. Kalau tidak masakan saya boleh jadi begini." Azizul duduk sebelah Mak Gayah di tepi beranda rumah kayu itu.
"Adik-adik tak balik?"
"Azmin kata nak balik juga tapi lewat sikit. Jun tak pasti, Hani tak balik, katanya kena out station."
"Apa benda tu?"
"Kena pergi kerja luar, mak."
"Oh... ingatkan apa," selamba Mak Gayah dengan senyumnya.
"Ni, mak nak tanya, apa benda dalam kotak kecil tu?"
"Mak tak buka ke?"
"Tak."
"Laa... Zizul ingat mak dah buka. Bagus juga mak tak buka, kita tunggu ayah balik, lepas Maghrib atau Isyak kita buka sama-sama."
Waktu-waktu dilayan berbicara dengan anak sulung itu membuatkan hati Mak Gayah terasa cukup senang. Itulah anaknya yang pertama melanjutkan pelajaran ke universiti. Seperti tidak terganggu dengan kekurangan hidup. Malahan anak itu yang menjadi perintis jalan sehingga 3 lagi berjaya menjejakinya. Mak Gayah amat bersyukur. Dalam kepayahan hidup itu, bantuan pelajaran daripada kerajaan memungkinkan anak desa seperti anaknya menjejaki ke menara gading. "Belajar dulu, duit kita boleh cari," itu pegangan Abang Deris.
Sebelum masuk Maghrib, kereta berwarna putih berkilat singgah di halaman rumah. Mak Gayah meninjau dari tingkap. Pak Deris masih di beranda. Dua anak muda, lelaki dan perempuan keluar dari kereta itu. Salam bersahut.
"Haa, balik juga. Kata tak pasti."
"Abang Min ajak balik, naik kereta baru," balas Jun menjawab sapaan Mak Gayah yang entah bila berada di beranda bersama-sama Pak Deris.
Malam itu selepas solat Isyak, mereka duduk di ruang tamu yang sempit. Azizul, Azmin, Jun, Azri, Nisak, Mak Gayah dan Pak Deris. Nani dan Jamal di asrama.
"Mak, ayah. Kami adik-beradik rasa bertuah menjadi anak-anak mak dengan ayah," Azizul memulakan bicara. "Dah lama, mak dengan ayah susah, sara kami adik-beradik."
"Itu tanggungjawab ayah dengan mak," balas Pak Deris. Mak Gayah mengangguk.
"Saya, Min, Jun, dan Hani sudah bekerja. Kami tak mahu mak dengan ayah susah lagi. Esok ulang tahun perkahwinan emak dengan ayah."
Mak Gayah dan Pak Deris berpandangan. Azri dan Nisak tersenyum.
"Sudah 30 tahun emak dengan ayah berkahwin. Betulkan?"
"Entah, ayah pun tak pasti." Semua ketawa. Mak Gayah hanya meleretkan senyumnya.
"Kami adik beradik bersetuju nak bagi hadiah buat mak dengan ayah. Barangkali tidak senilai susah payah emak dan ayah mengasuh, menjaga dan mendidik kami. Kami memang tak mampu membalas semuanya, tapi kami cuba untuk membahagiakan emak dengan ayah. Kami nak jadi anak-anak yang soleh dan solehah."
Azizul menghulurkan kotak kecil comel yang tidak dibuka oleh emaknya petang tadi. Mak Gayah memerhati sahaja. Pak Deris juga tidak menyambar seperti ikan yang dipancing menyambar kailnya. Kotak kecil berada di tengah-tengah antara mereka.
"Mak, bukalah," desak Nisak.
"Cepatlah ayah, mak," Azri pula bersuara.
Azmin menghulurkan satu lagi kotak yang hampir sama besar dengan kotak pertama. Azizul dan adik-adiknya membiarkan ruang itu tanpa suara. Desir angin terdengar membelai dedaunan. Pak Deris dan Mak Gayah hilang kata-kata barangkali.
"Cepatlah, mak," sekali lagi Nisak bersuara.
"Okay, mak buka kotak ini, ayah buka kotak ini," cadang Azri yang masih bersekolah.
Perlahan-lahan Pak Deris membuka kotak berwarna keemasan tanpa riben. Hatinya benar-benar tersentuh. "Ya Allah, benarkah ini hadiah daripada anak-anakku," hatinya berdetik.
Mak Gayah menarik riben kuning perlahan-lahan dan membuka kotak yang satu lagi. Segugus kunci memenuhi ruang di dalam kotak itu.
"Ayah, kereta itu untuk ayah dengan emak. Rumah itu untuk kita sekeluarga. Emak jangan susah hati tentang bayaran. Ayah jangan risau pasal ansuran. Kami sepakat untuk kesenangan dan kebahagiaan emak dengan ayah. Terima kasih kerana menjadi emak dan ayah kami. Nanti kita pindah ya!"
*Adaptasi sebuah kisah benar
No comments:
Post a Comment