Wednesday, May 19, 2010

SELAMAT HARI GURU

WAJAH-WAJAH KITA

Saban hari menghayun langkah
Meniti tangga-tangga bersama usia
Terkadang dicabar dek kerenah anak-anak didik
Bicara dijelma menggambar hati yang mulus bersama niat yang tulus
Tatkala marah persis seorang bapa
Leternya bicara seorang ibu
Riang tawa penuh makna
Mengajar anak-anak berhati mulia
Cikgu setia di daerah itu
Biar anak didik silih berganti datang dan pergi

Wajah itu sering bertukar watak
Terkadang seperti kerani yang menguruskan pengkeraniannya
Bak jurulatih yang melatih atletnya
Umpama jeneral yang mengarah batalionnya
Laksana imam yang mengimami jemaahnya
Bagai ahli korporat yang mentadbir koperasinya

Kata orang jadi cikgu cutinya panjang
Cuti memang panjang
Tapi kerjanya malam siang, pagi dan petang
Sesekali terlupa jalan pulang
Kata orang juga jadi cikgu hidupnya senang
Hidup memang senang
Beli kereta, tanah, dan rumah, semuanya hutang
Hakikat seorang guru,
Mendidik manusia tidak semudah kata-kata
Tidak sesenang mengira angka.

Adakala putera-puteri berjaya
Jarang sekali diucap terima kasih
Adakala putera-puteri terkandas
Cikgu juga yang dibidas
Cikgu tidak untung apa-apa jika murid berjaya
Cuma mereka tumpang gembira
Cikgu tidak untung apa-apa tika murid memandu lebih daripada Wira, Waja dan Perdana
Biarpun kereta cikgu kereta lama
Cikgu juga tidak rugi apa-apa jika murid gagal dan merana
Tetapi hati kecil cikgu turut kecewa dan terseksa

Hakikat seorang cikgu,
Sepahit mana cabaran mendatang,
Tetap ditelan juga,
Biar memakan masa,
Biar mengguna tenaga,
Biar di hujung usia,
Cikgu pasti tidak berputus asa.
Terima kasih cikgu.....

Dyamim Bahari
*Dibaca pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2009

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan