Thursday, May 20, 2010

Sekisah Hidup

Suatu Ketika Di Depan Mata

Panas terik yang membakar
Pintu kereta dikuak
Didatangi seorang anak hingusan
Berpakaian selekeh
Menjinjing beg plastik
Menghulur salam dan bertanya,
“Pak cik nak kuih siput?”
Anak itu kupandang sinis
“Berapa?”
“Satu ringgit.”
“Bagi satu.”
Ambil dan anak itu berlalu.

Di kereta simpati melanda
Kembali mencari dan bertanya
“Anak tak sekolah?”
“Sekolah.”
“Mengapa menjaja?”
“Mak tak ada duit.”
Ikhlas dan tenang
Ungkapan menikam lubuk hati
Mulianya seorang ibu mendidik anak
Bertuahnya anak kerana ibu mengajar usaha
Bukan meminta-minta
Cukup terasa kerana pernah susah suatu ketika
Rupanya masih ada lagi di depan mata.

1 Ogos 2006


Hampir genap empat tahun, aku kembali menemui anak yang dulu pernah menjual kuih siput kepadaku. Sekarang anak itu sudah remaja dan tingginya hampir sama dengan tinggiku (mungkin lebih tinggi) masih menjual kuih siput. Ingatan kembali menjengah peristiwa empat tahun dulu. Masih seperti dulu sopan menegur untuk menjual kuih siput yang dibawa di dalam beg plastik biru. Kini, aku temui remaja itu di depan bank. Nampak lebih rapi daripada dulu. Rambutnya disisir , dibelah sebelah kiri. Sesungguhnya, ibunya cukup bertuah kerana memiliki anak yang mahu berusaha bukan meminta-minta.
Sewaktu menjamah kuih siput yang dijual, terasa masih panas di dalam plastik itu. Mudah-mudahan suatu hari nanti anak remaja ini akan berjaya dalam hidup. Sesungguhnya, apabila hubungan dengan ibu dan bapa atas keredhaan nescaya akan ada keredhaan Allah. Moga kau berjaya ... Insya-Allah.

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan