Pesta Buku Perlis berlangsung pada 21 - 27 April di Dewan Wawasan. Kesempatan berkunjung ke pesta buku ini memberi peluang melawat, menjengah, dan singgah secara rela mahu pun tidak rela ke gerai-gerai buku yang ada. Selain gerai buku banyak juga promosi bahan pendidikan yang berasaskan komputer dan internet. Hajat hati bertamu ke situ untuk mencari bahan bacaan yang dianggap boleh menambat hati. Gerai buku disinggah secara rela dan yang dianggap tidak rela apabila dipelawa dan 'paksa singgah' oleh promoter bahan didikan berkomputer. Memang bahan itu cukup berguna cuma kekadang mengganggu keselesaan untuk bersantai-santai dan kekadang mengambil masa yang agak panjang.
Sempat juga aku bersembang dengan seorang yang mempromosikan bahan pendidikan untuk anak-anak. Pada dasarnya berteraskan perniagaan. Setiap yang dipromosi melibatkan nilaian wang yang bukan sedikit. Memang benar, pelaburan untuk pendidikan tidak ternilai harganya, tetapi adakala kita perlu benar-benar merancang untuk membeli sesuatu yang tinggi harganya. Kita sama-sama renungkan.
Berkunjung ke gerai buku, sesungguhnya meruntun hati untuk bertamu lama. ada-ada saja yang berkenan. Kalau difikirkan hendak beli buku, banyak sungguh. Ada ketikanya tertanya juga sempat baca atau tidak? Jumpa, tertarik dan beli. Buku, sumber ilmu yang memberi kepada sesiapa yang membaca. Buku, guru senyap yang tidak pernah memilih sesiapa.
No comments:
Post a Comment