Monday, October 26, 2009

Setelah 14 Tahun


Sabtu, 24 Oktober 2009- Aku menjejakkan kaki ke Kampus Hijau UPM selepas 14 tahun tidak bertandang ke daerah ilmu itu. Banyak yang berubah dan banyak juga yang masih kekal. Aku bertolak dengan bas lebih kurang 10 malam dari Kangar dan sampai di Puduraya dalam pukul 6 pagi. Bas berhenti di hadapan bangunan Maybank dan aku menapak ke Puduraya. Pemandu-pemandu teksi seperti dulu juga bertanya akan tuju dan hala kita. Aku menolak dengan baik dan aku percaya mereka faham yang aku atau sesiapa pun ada ketikanya tidak memerlukan perkhidmatan teksi.
Puduraya tidak banyak berubah dengan platform yang sama, papan tanda syarikat bas sudah berubah. Namun, alhamdulillah surau di tingkat satu sudah besar daripada dahulu. Jemaah sembahyang subuh juga ramai. Kaunter menyimpan beg dan kasut berkhidmat seperti biasa dengan sedikit bayaran yang sangat berpatutan. Selesai solat, aku melahu di kerusi Hentian Puduraya dengan menyaksikan tayangan di kaca televisyen. Banyak perkara yang dipaparkan sepintas lalu. Daripada jaringan gol, ombak-ombak yang memukul pantai, kisah-kisah lucu, promo filem Papadom, dan selamat menyambut Deepavali. Sehingga hampir pukul tujuh aku menanti sahabat, kuhubungi tidak berjawab. Aku terus menanti dan sahabat lama itu menghubungi kembali dengan meminta aku menaiki komuter ke Serdang.
Dari Puduraya nak ke stesen Komuter, macam mana ya? Sejenak aku terfikir. Aku bergerak dan bertanya kepada pengawal yang segak beruniform putih. Jawabnya,"Encik keluar ikut situ, dan terus saja ke sebelah kiri," sambil menunjukkan dengan tangannya yang berlukis tatu. Setelah berterima kasih aku berlalu. Rupa-rupanya buka stesen komuter tetapi LRT tadi sahabat aku pesan naik Komuter. Memang silap. Aku kembali menghala semula ke Puduraya dan bertanya lagi dengan tiga orang pengawal yang berpakaian sama seperti tadi. Mereka membantu tapi sedikit terkejut kerana loghat mereka dalam bahasa Indonesia. Malahan sewaktu menerangkan kepada ku mereka bertelagah sesama mereka untuk memberitahu aku stesen komuter. Ya Allah, mana satu nak ikut? Akhirnya aku berjalan ke arah Central Market dan dengan harapan bertanya lagi di kawasan itu. Tempat pertama ialah penjual kueh antara Hentian Bas Kelang dengan Central Market. "Maaf encik, saya pun tak tahu," berbahasa Indonesia juga. "Baik, terima kasih," jawabku dan berlalu. Ada penjual surat khabar yang kulitnya sedikit gelap daripadaku (aku bukannya putih), apabila bertanya, langsung tak boleh berbahasa Melayu. Bayangkan menjual surat khabar di Malaysia tidak mampu berbahasa Melayu. Dalam hatiku "Gila betul!" Aku bertanya lagi dengan pengawal CM yang aku kira dia rakyat tempatan,"Encik ikut jalan itu, terus sampai tangga-tangga sana."
Aku kepada penjual nasi lemak tidak jauh daripada CM itu,"Akak pun tak tau dik. Nanti tanya dia jap." Sambil menunjuk ke arah seorang lelaki berhampiran van yang juga sama-sama berniaga nasi lemak itu. "Adik ikut jalan ni terus sampai tangga itu, adik naik tangga." "Terima kasih. "
Aku berlalu dan sampai di situ aku ketemu seorang anggota polis dan dia menjelaskan," Cik, komuter di sebelah sana. Ikut jejambat tu, seberang jalan dan atas sana," jelas daripadanya. Dan dengan menggalas beg merah aku pun terus ke tempat itu dan sesampai di situ memang jelas KTM Komuter. "Encik nak ke Serdang?" "Boleh, encik tunggu di bawah menghala ke Seremban."

Aku mengambil tiket dengan RM1.70 dan turun ke bawah menunggu komuter. Lebih kurang 5 minit menunggu komuter sampai dan bertolak ke Serdang. Beberapa stesen komuter itu berhenti dan terlupa nak hitung berapa minit perjalanan dari KL ke stesen Serdang. Di Serdang Bukriman, junior di KTP menanti dan terus membawa ke padang sofbol kerana ada perlawanan persahabatan dengan pasukan UPM. Boleh main lagi kah?" Aku bertanya di dalam hati. Antara ya dengan tidak aku tukar pakaian dan main juga. Bayangkan selepas berbelas tahun tak main sofbol. Tentu saja banyak yang tak bagus daripada yang bagus. Hanya seorang dua sahaja yang aku benar-benar kenal. Bukriman, Bonang, Puyut, Rahim dan Zanuar. Yang lain aku ingat-ingat lupa. Pesot barangkali ada dalam ingatan aku. Apa-apa pun aku berkongsi separuh perlawanan dengan Bonang bermain picther. Ada sedikit sahaja yang straight berbanding ball. Tapi kira ok juga. Selesai perlawanan, ada majlis makan-makan dan bersembang bercerita tentang zaman kampus sehinggalah isu semasa. Selesai semua aku balik ke rumah Bukriman di Bangi, berehat dan ke jamuan di rumah bapa Bukriman sempena hari lahir salah seorang ahli keluarganya. Selepas Maghrib, Bukriman menghantar ke stesen LRT Sungai Besi dan aku ke Puduraya untuk pulang.
Sewaktu itu nama-nama yang berada di sekeliling ketika di kampus amat jelas di ingatan. Rakan sekolej- Mate Zainal, Haimi, Suzaimi, Mat Le, Mat Iesak, Mega, Ibrahim @Vellu. Rakan-rakan sekuliah- Azam, Izzuddin, Zuraidi, Jiplus, Salleh dan seterusnya ....
UPM selepas 14 tahun, banyak yang berubah terutama pertambahan kolej, depan masjid bukan lagi selekoh tajam tapi dah ada round about boleh terus ke Fakulti Kejuruteraan baru. Cuma sebelah dalam kampus sahaja aku tidak sempat meneroka. Insya-Allah kesempatan yang akan datang. Apa-apa pun terima kasih kepada Buke, yang memberi layanan yang begitu baik, terima kasih kepada kawan-kawan yang sama-sama hadir. Mudah-mudahan akan ada lagi pertemuan pada masa akan datang.

4 comments:

Brahim Nyior said...

Salam Mim,

Terharu aku membaca entry kali ini. Nama aku turut diselitkan,.. Lebih terharu lagi, apabila mengenangkan kembali suka duka kita di UPM.

Dulu, nak dapat HP pun payah. Tepon awam 'jenuh' berebut.

Sekarang, usahkan HP, laptop sudah jadi sebahagian drp cara hidup kampus.

Jangan cari di mana Dusun Contoh, sebab saiznya dah mengecil. Pesta Konvo, tak segah pesta zaman kita. Waktu itu, orang ramai 'turun' ke Bukit Ekspo semata-mata nak cari benih durian D24, benih rambutan terbaik dan seumpamanya.

Aku tetap akan kenang zaman seronok berkelana di UPM. Takkan dilupakan, dan hanya bekas siswa Kampus Hijau yang merasainya.

Teringat kisah hang dan Ros**...

Kami semua ingat 'jadi dah..'

P/s: Sori Mim, ter'buka' kisah lama..

Unknown said...

Itu semua lumrah hidup yang kita hanya mampu merancang... Selebihnya milik Yang Maha Esa.

Anonymous said...

AWAT TAK AJAK SAMA..BOLEH PI TENGOK NAMA KITA DAH DIBUANG ATAU BELUM DARI DEWAN KTP?

PuteraJejawi said...

tentu seronok ya kalau dapat kembali ke kampus tempat belajar dan bertemu dengan kawan-kawan lama..selamat bercuti kepada Dyamim dan keluarga.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan