Malam semalam aku membawa anak sulung untuk berjumpa doktor sebab sakit mata dan selesema. Kiranya aku sampai awal, doktor belum sampai tetapi sudah giliran yang ketujuh. Alhamdulillah, aku terima saja. Kebetulan, staf yang mengambil pendaftaran pesakit itu rakan sekolah ku dulu. Sambil mendaftar sambil bertanya itu dan ini.
"Doktor akan sampai pukul 8.30," katanya. Aku lihat jam di tangan, 8.10 malam. "Ayah, kita pi beli susu." "Ok," ringkas daripada aku. Kami keluar menuju ke pasar raya berhampiran. Selesai semuanya, aku kembali ke klinik dengan harapan dapat berjumpa doktor cepat. Duduk menunggu memang membosankan. Benarlah kata-kata penantian itu satu penyeksaan.
Selepas pesakit keempat dan kelima, seorang lelaki yang aku kira lebih separuh umur keluar dari bilik air sambil memegang pinggang sebelah kanan. Boleh berjalan perlahan-lahan dan bercakap dengan nada yang cukup jelas. Dia sudah mendapat rawatan daripada doktor. Katanya dia datang dengan memandu sendiri dalam jarak 15 km (dalam kesakitan).
Sewaktu dia duduk menunggu staf klinik menghubungi anak-anaknya, dia mula sakit dan memegang bahagian pinggangnya. Dua nama anak diberikan kepada staf itu, tetapi tidak seorang pun yang berjaya dihubungi.
"Anak pakcik dua sahaja?" "Ada banyak." Staf itu terdiam. Pakcik itu mula mengerang dan aku dengan pelanggan klinik itu tidak mampu berbuat apa-apa selain menyabarnya. Semakin lama semakin kuat sakitnya. "Allahuakbar, Lailahaillah." Itu sahaja dialog yang jelas kedengaran sewaktu pakcik itu menahan. Akhirnya staf klinik itu mengambil keputusan untuk menghubungi ambulans hospital. Dalam keadaan itu, pakcik itu semakin sakit dan sudah tidak mampu berdiri lagi. Sewaktu hendak meletakkannya diatas kerusi roda, dia terlalu sukar untuk berdiri. Pakcik itu seakan-akan mengeliat menahan sakit, macam hendak pitam rupanya. Ambulan masih juga belum tiba. Pakcik itu meminta dia ditolak ke bilik air. seketika keluar dengan keadaan yang sama. Aku yakin pelanggan lain tertanya-tanya,"Mana ambulan, mana ambulan?"(termasuk aku). Seketika ambulans sampai dan pintu klinik dikuak, pakcik itu ditolak ke ambulans. Aku juga yakin semua berasa lega, juga termasuk aku.
Setelah aku merenung sejenak, banyak pengajaran di sebalik kisah ini. Di sebelah aku, seorang ayah membawa anaknya yang dalam lingkungan remaja untuk mengambil ubat kerana demam, muntah dan cirit-birit, di hujung dekat kaunter, seorang ibu membawa dalam lingkungan 6 tahun kerana asma, di sebelah seorang ayah itu, ada pelajar IPT yang meneman rakan untuk berjumpa doktor, di deretan kerusi seterusnya, emak ayah yang membawa anak-anaknya, juga untuk berjumpa doktor. Antara sedar dengan tidak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja untukmelihat anaknya sihat dan sejahtera. Mereka tidak mahu anak-anak dibelenggu masalah kesihatan. Namun begitu, apabila seorang ayah sakit, emak sakit, berapa orang anak yang boleh membawa mereka ke klinik atau ke hospital. Kasih sayang yang ditunjuk oleh ibu dan ayah tidak ada galang gantinya. Sekiranya kita masih mempunyai emak (termasuk aku), masih mempunyai ayah, maka ambil peluang sewaktu mereka masih ada. Jangan hanya menghargai atau mengetahui nilai sesudah mereka tiada.
Bagi anak-anak remaja yang berjauhan kerana melanjutkan pelajaran, rakan-rakan menjadi tempat bergantung. Ketika begini kita perlu mencari rakan dan kenalan yang seramai mungkin untuk manfaat pada masa hadapan. Rakan-rakan boleh membantu ketika kita dalam kesusahan.
Sebagai seorang pekerja, kita hendaklah cuba membantu pelanggan dengan sabaik mungkin. Pertolongan yang kita beri tidak diharapkan balasan, tetapi siapa tahu suatu masa nanti kita memerlukan pertolongan orang lain. Hidup seperti roda yang berputar, ada ketika berda di bawah.
2 comments:
Mim, kalau anak sakit, kita sendiri tak tentu arah..
Klinik lah jawapannya.
Di sana pun, seribu satu cerita boleh kita dapat..
Betul Din. La ni kita tahu kasih sayang ayah dan mak itu tiada bandingan. Anak-anak kena sedar yang mereka amat disayangi.
Post a Comment