Monday, August 10, 2009

Sarapan Pagi

Sabtu, 8 Ogos- Ketika singgah di Pekan Rabu untuk bersarapan sebelum menyelesaikan urusan lain, aku dan isteri bersama-sama dengan salah seorang anak bersarapan di gerai bawah dekat dengan tangga. Pelanggan tidak berapa ramai. Meja banyak lagi yang tidak berpenghuni. Boleh dikatakan semua gerai makanan dibuka, di hadapan gerai pula terdapat penjual goreng cempedak.
Dalam aku memilih tempat duduk, anakku bersuara,"Ayah!" "Ada apa?" balasku spontan. "Tikus." Aku hanya tersenyum. Sememangnya aku nampak tikus yang sebesar dua penumbuk itu berlari dicelah kaki salah seorang pelanggan yang duduk di sebelah mejaku menuju ke tempat penjual goreng cempedak.
"Minum cik?" sapa seorang pengambil pesanan. "Teh O, Nescafe, ..." "Kakak nak teh ais!" sampuk anakku.
"Abang tak nak makan?" tanya isteri kesayanganku selepas pengambil pesanan itu berlalu. "Nasi lemak boleh juga," balasku. "Baik makan nasi biasa, masih panas," isteriku mencadang. Aku bangun dan ke gerai yang paling hampir dengan tangga.
"Nasi, cik?" "Ya, separuh." Aku mengambil nasi putih dalam pinggan kaca yang dihulurkan dan bergerak ke bahagian lauk yang sudah banyak terhidang. Ikan potong goreng, kuah gulai, dan sebiji kacang bendi. Isteriku hanya mengambil beberapa biji kuih dari gerai sebelah dan berkongsi dengan anakku.
Selepas selesai makan aku memanggil salah seorang pekerja gerai makan itu,"Kira dik." "Berapa?" soalan ditujukan kepada seorang yang agak tua di dalam gerai itu. "RM4.00."
Aku memandang isteriku. Dia tersenyum dan sememangnya isteriku memahami maksud maksud yang tersirat di mindaku. Spontan aku bertanya,"Nasi separuh, ikan sekerat pun RM4.00?" Selamba jawab pemuda itu,"Tanya tauke."
Aku dan isteri ketawa. Bukan kerana lucu apa-apa tapi tak berapa nak percaya yang pagi itu sarapanku bernilai RM4.00 tidak termasuk minuman.
Aku melihat harga pada senarai menu yang tertulis di atas gerai itu, nasi putih RM1.00, (aku membuat anggaran sendiri, jadi setengah RM0.50), ikan goreng RM2.00 - 3.00 (aku meletakkan RM2.50), kacang bendi RM0.50, dan kuah gulai RM0.50. Apabila dihitung, memang RM4.00. Jika sarapan berharga RM4.00 di Bandaraya Alor Setar, apatah lagi makan tengah hari, makan malam di bandar-bandar lain. Semuanya melambung tinggi. Itulah keuntungan hasil daripada kemajuan.

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan