Thursday, July 30, 2009

Pantun Orang Tua-tua

Buah langsat
Bunga senduduk
Buah senduduk

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.

Mengapakah apabila buah langsat menjadi kuning (maksudnya masak) pokok senduduk yang berada di bawah pokok langsat tidak berbunga lagi?
Maksudnya, apabila buah langsat mula berbuah dan sudah mula masak, kawasan di sekitar pohon langsat itu ditebas atau dicerahkan untuk memudahkan kerja-kerja memetik langsat. Mungkinkah juga nilai langsat itulebih tinggi daripada pokok senduduk itu sendiri. Langsat yang datang semusim sekali dalam setahun diletak nilai yang tinggi sehingga mengorbankan senduduk. Apakah pula nilai senduduk? Senduduk sekadar pokok renek yang batangnya boleh dibuat terebay (lastik), manakala buahnya sekadar menjadikan lidah ungu. Zaman kanak-kanak dulu sering kali lidah bertukar warna walaupun buah senduduk tidak sesedap mana. Rasanya sekadar manis sikit-sikit sahaja.
Adakah benar apabila kita mendapat gading maka tanduk tidak berguna? Lumrah manusia, apabila mendapat sesuatu yang lebih baik akan meninggalkan yang selama ini memberi khidmat kepadanya. Sebenarnya ada dua keadaan, memilih yang lebih baik atau tidak mengenang budi. Jika keputusan yang diambil itu untuk berhijrah kepada yang lebih baik, itu menggambarkan kita berusaha untuk menjadi semakin baik tanpa menghina perkara yang sebelum ini banyak membantu kita. Sekiranya kita memilih yang lebih baik semata-mata melihat kekurangan terhadap yang pernah kita miliki, maka ini lebih menjurus kepada kelompok yang kurang mengenang budi. Adakah patut apabila kita mendapat gading maka jasa tanduk yang sekian lama menyumbang bakti dipinggirkan terus? Adakah kerana kesempurnaan gading itu, maka kita langsung tidak mengenangkan kebaikan yang selama ini dimiliki tanduk? Dalam kita berbangga akan kesempurnaan gading, kita jangan lupa bahawa tidak ada gading yang tidak retak. Renungkan...

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan