Ketika berkunjung ke Kea Farm untuk kali kedua, dengan sebelah kanan mendukung si kecil, aku memerhati gerai-gerai jualan dan sepanjang gerai itu, penjual-penjualnya terdiri daripada wanita-wanita Indonesia yang bertudung dan taukenya seperti yang sedia maklum. Penjual Bumiputera hanya ada menjual teh dan jeruk serta asam di hujung gerai dan menjual jagung rebus dan bakar bersama-sama makanan goreng yang lain pada selekoh masuk di deretan gerai tersebut. Cuba kita renungkan, jika ada yang masih menuntut hak yang lebih-lebih...
Bertamu di Brinchang, tidak banyak yang berubah. Bangunan masih seperti dulu dan gerai taninya seakan-akan sama dengan gerai tani di tempat kita. Hasil jualan sayuran, strawberi, kain baju, madu lebah, penanda kunci, dan bantal hiasan. Anak-anakku lebih tertarik kepada strawberi getah yang ditiup angin seakan-akan bola. Mahu tidak mahu, perlu juga hadiah untuk mereka.
Bercuti sememangnya meringankan minda di samping menikmati suasana nyaman di sekeliling. Tidak banyak yang dilawati hanya tempat biasa seperti Strawberry Farm dan Taman Agro Tourism, yang juga bukan milik kita. Masuk percuma, memandu sehingga ke atas dan makin ke atas sewaktu hendak keluar sehinggalah menyusur bukit yang ditarah. Tinggi, sungguh tinggi. Gear satu sahaja, naik dan turun. Sedikit gayat.
Berada di Tanah Tinggi Cameron mengundang nostalgia sewaktu berkursus menjadi fasilitator minggu suaikenal kolej dulu. Sewaktu itu tidak tinggal di apartment, tetapi di kabin yang dindingnya diperbuat daripada zink sahaja. Banyak aktiviti dijalankan untuk membentuk kerjasama kumpulan. Bermain kereta api panjang dengan mata ditutup, kemudian mengikut arah pemandu arah yang hanya mengarah ke kiri, kanan, depan dan belakang. Bahan yang dicari tidak tahu tempat letaknya. Meraba dan mengagau merata-rata. Ada kumpulan yang menjumpai barang yang dicari, tidak kurang juga yang tidak mendapat apa-apa.
Ketika itu aku mengenali rakan-rakan sekolej yang kebanyakannya dipanggil dengan nama singkatan. Kata mereka diberikan oleh senior. Di sini aku semakin rapat dengan Yap, Tamil, Atong (sehingga sekarang tidak ku tahu nama sebenar mereka), Tora, dan beberapa orang lagi yang aku ingat-ingat lupa. Di sini juga ada kisah seorang peserta yang balik ke kabin kerana mengatakan ada 'kawan' hendak berjumpa. Sebaik diselidiki dia bercakap-cakap dengan 'rakan' yang tidak kelihatan itu. Kisah ini berlarutan sehingga ke kolej.
Kehadiran Pengetua Kolej dan para fellow banyak membantu. Namun, segalanya tinggal kenangan yang sekali sekala menjelma tanpa diundang. Lumrah hidup, umur kian bertambah, peristiwa lalu hanya mampu dikenang.
Akhirnya, setelah bercuti dan merehat minda, tiba masa untuk pulang dan Alhamdulillah, perjalanan pulang tanpa sebarang masalah sehinggalah menjejak kaki ke rumah untuk menjalankan tugas seperti biasa pada keesokan harinya.
3 comments:
Sioknyer cuti kat CH. Anak aku takleh g, muntah lembek...
Tunggu lah beso ckit.
Yang kakak tu pening-pening juga tapi tak le sampai muntah. Beg plastik standby juga. Pergi dan balik, alhamdulillah tak muntah.
nak tahu.....saya dipanggil ke KTP ..kata rakan utk 2 hari mesyuarat.
Sampai disana..bas sudah menunggu..
nak kemana???...depa kata ke CH
la.....tak bawa baju,,2 helai t shirt je....
kat sana.....terasa sejuk sebab kena tido kat cabin dan bukan 2 hari ... seminggu....balik kurus
dan telahirlah moto KTP
Post a Comment