Monday, January 17, 2011

Interlok

Tiba-tiba sebuah novel yang cetakan pertama pada 1971 mendapat perhatian umum. Sebelum ini umum tidak kenal pun malah tidak tahu akan kewujudan Interlok kecuali bagi mereka yang terlibat dalam bidang sastera atau pencinta sastera. Sebenarnya, aku berasa terlalu kerdil untuk melontarkan pendapat dalam polemik ini, namun mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa. Bermulanya polemik ini apabila seorang menteri mengumumkan penarikan balik novel ini sebagai teks komsas tingkatan lima kerana dikatakan ada unsur menghina dan jangan sampai berlaku pembakaran novel tersebut. Keesokan hari terbitlah komen yang menyangkal berserta alasan yang begitu akademik.

Soalannya, adakah yang terlibat dalam pembakaran novel itu membaca karya ini? Sekiranya membaca, adakah benar-benar difahami tentang tulisan tersebut? Seandainya difahami, tidakkah yang ditulis oleh Sasterawan Negara itu satu fakta yang tidak mungkin disangkal. Mengapa fakta hendak disangkal? Adakah salah apabila Sasterawan Negara Abdullah Hussain, menghurai kisa Maniam yang berasal dari Tricur dengan mengatakan kedudukan kastanya. Benarlah dalam tahun 1910, di India waktu itu masih kukuh pengamalan kastanya. Gambaran di Tanah Melayu, waktu itu yang tidak membezakan kasta juga menjadikan Maniam gembira. Salahkah?

Polemik demi polemik menunjukkan bahawa yang menentang itu tidak tahu maklumat atau tidak mahu mengaku hakikat. Interlok, bukan sekadar kisah yang memaparkan kehidupan samata-mata, malah turut menyentuh soal agama secara tidak langsung. Apakah dalam kehidupan itu perlu ada pengelasan kepada masyarakat? Bukankah manusia itu sama di sisi Penciptanya. Secara tidak langsung, Interlok turut merungkai isu agama yang membezakan darjat. Mana mungkin dalam agama ada kasta yang merendahkan orang lain dan meninggikan satu pihak yang lain. Di sisi Islam, semuanya sama melainkan taqwa. Bukankah dari sudut itu juga menggambarkan bahawa Islam itu agama yang benar?

Mungkin juga memandang sepi kepada bidang sastera menyebabkan masyarakat boleh bertindak berlandaskan emosi. Persoalan timbul lagi, bagaimana harus memahami sastera sekiranya Bahasa Melayu pun tidak mampu dikuasai? Apakah dengan penguasaan Bahasa Melayu yang terhad mampu memahami tulisan sastera seperti tulisan Sasterawan Negara Abdullah Hussain?

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan