Sehari dua sebelum Aidil Fitri, sesudah sahur aku bertamu di bilik air dan tiba-tiba pintu bilik air diketuk anak perempuan. "Ayah, ayah!!!" Suaranya yang agak cemas. Sangkaan aku, dia terdesak untuk masuk ke bilik air juga. "Awat pulak," aku membalas bersama-sama dengan sedikit kuat berlawan dengan bunyi air paip yang menjunam ke dalam tong air. Ada sedikit geram kerana terganggu ketika berada di bilik air.
"Dalam bilik kita ada ular!!!" balas anakku. "Ya ka?" aku pulak yang terkejut. Cepat-cepat aku keluar dan masuk ke bilik tidur. Aku bangunkan anak-anak kecil dan keluar daripada bilik. Keluar mengambil buluh yang kebetulan tersandar pada dinding rumah. Ular itu terlengkar antara rak buku dengan televisyen. Nampak macam ular kapak. Tengok lama-lama macam anak ular sawa pula. Niat hati memang hendak menamatkan sahaja riwayat ular. Aku usik perlahan-lahan, tidak melawan atau mematuk, malahan menggerakkan kepalanya perlahan-lahan. Agak pasif tetapi bergerak menuruni almari kecil sehingga nampak perutnya yang membuncit. Aku mengangkat dengan buluh dan memasukkan ke dalam baldi setelah benar-benar yakin, anak ular sawa. Panjangnya lebih kurang 3 kaki.
Akhirnya, tetamu ini aku hantarkan ke Taman Ular Batu Pahat. Alhamdulillah, tidak ada perkara tidak diingini berlaku setelah dikunjungi tetamu itu.
2 comments:
Nilai pasaran anak ular sawa antara RM100-RM300, ikut saiz.. Tapi yang dibenarkan berlesen sahaja memeliharanya.. Haiwan eksotik..
Tkasih Din.
Post a Comment