Pesta Pantun Peringkat Akhir 2009
28 Mei dilangsungkan Pesta Pantun Peringkat Akhir di Perpustakaan Awam Negeri Perlis yang bertemakan Kehalusan dan Keindahan Bahasa Wadah Kegemilangan Budaya Bangsa. Peringkat Akhir ini menemukan pemantun-pemantun daripada SMK (A) Perempuan Kangar dengan AL-MAAD. SMK(A) Perempuan diwakili oleh 'Ainin Sofia Aziz, Nik Nurhaziqah Nik Wil, Nur Atiqah Rusli, dan Afifah Nazib manakala AL-MAAD diwakili oleh Siti Zaleha Rusli, Nurkhairi Farisa Shah Shul, Nurul Shuhada Mat Yusoff, dan Athrah Jinal. Encik Abdul Manaf Hassan selaku jurupantun berjaya menghidupkan suasana dengan suara jantannya.
Pemantun-pemantun telah menunjukkan persaingan yang hebat dalam pertandingan ini. Setiap pantun yang dijual mesti mematuhi tema yang ditetapkan atau dipilih oleh pemantun, pembeli mesti menjawab dalam masa 60 saat berdasarkan tema yang dijual. Pemikiran yang kreatif dan kritis diperlukan untuk menjawab setiap pantun dan ditambah lagi langgam bahasa yang menarik.
Setelah sejam lebih bertarung, akhirnya SMK(A) Perempuan Kangar dinobatkan sebagai Johan dan Nur Atiqah Rusli diangkat sebagai pemantun terbaik. Tahniah diucapkan. Majlis penyampaian hadiah dan perasmian penutup disempurnakan oleh Tn Hj Yaziz Suid, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pelajaran Perlis mewakili Pengarah Pelajaran Perlis. Pemenang akan mewakili Perlis pada peringkat kebangsaan nanti. Tahniah juga kepada guru-guru yang terlibat. Gambar (1) - Peserta memperkenalkan diri, (2) Acara selingan sementara menanti keputusan hakim, (3) Barisan Yang Arif Hakim
Insan Kerdil
Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.
Musim Sekolah
Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.
2 comments:
Hang jadi apa, Mim? Tukang pukul gambar ke? Tapi laporan hang best.
Baguih... Martabatkan pantun!
Jadi MC, sambil-sambil tu pukul gambar laaa... he..hee
Post a Comment