Monday, May 18, 2009

Guru oh Guru

SELAMAT HARI GURU

Hakikat Seorang Cikgu

Di sini, di negeri permai mempesona ini
Kita lahirkan kesyukuran tidak terperi
Tidak ada pedalaman ulu untuk dihuni
Tidak ada arus deras yang harus dilintas
Tidak ada jeram dalam yang perlu diselam
Tidak ada curam tajam yang mendatang ancam
Tidak ada selut lekat yang separas lutut

Di sini, segalanya cikgu
bukan cikgu mendabik dada
cikgu juga manusia biasa
sekali sekala terpampang cerita duka
di dada-dada media
disinis hanya kerana kesilapan minima
disaman apabila hilang kesabaran di dada
soalnya,
siapa pula yang datang membela?

Segalanya cikgu terima
cikgu tak untung apa-apa jika murid berjaya
cuma cikgu tumpang gembira
cikgu tak untung apa-apa tika murid memandu lebih daripada Wira, Waja, dan Perdana
biarpun kereta cikgu kereta lama
adakala putera-puteri berjaya
jarang sekali terima kasih dijelma
adakala putera-puteri terkandas
cikgu juga yang dibidas

Hakikat seorang cikgu
sepahit mana cabaran mendatang
tetap ditelan juga
biar memakan masa
biar mengguna tenaga
biar di hujung usia
cikgu pasti tak berputus asa
kalimah cikgu akan diungkap
di mana-mana dan sampai bila-bila
biar sesudah memejam mata
tetap cikgu penyambung bicara ilmu

Mei 2007
Perlis
*Dibaca pada Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2007

No comments:

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan