"Tergamak kau buat macam tu," tingkah Syed sebaik dia tahu tindakan Zaid. "Aku tak ada pilihan Syed. Apa lagi pilihan yang aku ada," balas Zaid setelah ditegur Syed. Syed memerhati dengan pandangan kosong. Zaid juga nampak tidak kesal dengan tindakan yang diambilnya.
"Kau memang tak mengenang jasa!" Syed menyerang lagi. Zaid tidak menjawab. Tangannya mencapai kacang bersalut tepung dan memasukkan ke dalam mulutnya. Mengunyah, mengunyah dan menelan kacang tepung yang sudah hancur itu.
"Bukan aku tak mengenang jasa tapi aku terpaksa, kau faham tak. Aku terpaksa." "Ahh.. alasan yang sengaja dicipta." "Kau katalah apa-apa yang kau suka. Bila kena batang hidung kau baru kau tahu." Syed menjeling. Zaid tetap bersahaja.Seolah-olah hatinya sudah nekad. Keras dan keras hati. Mengunyah lagi kacang yang berada di dalam mulutnya. "Kau nak kacang?" "Tak nak, nanti angin." Syed mula menunjukkan senyum. Zaid bersahaja lagi.
Syed teringatkan cerita petang tadi. Bersama-sama dengan Zaid ke bank untuk memasukkan wang ke dalam akaun adik Zaid. Sewaktu Zaid memasukkan wang ke dalam mesin automatik itu, dicubanya beberapa kali, tapi masih tersangkut. Tiba-tiba mesin deposit wang itu tergendala operasinya. "Maaf, mesin ini tergendala. Sila hubungi pihak bank." Waktu sudah petang, bank sudah tutup, pegawai bank pun sudah balik rumah masing-masing. Siapa yang boleh dihubungi?
"Inilah kelemahan berurusan dengan mesin. Ikut suka dia saja. Dia tergendala, masalahnya kita," Zaid meluahkan rasa kesal. Apatah lagi itulah kali pertama menggunakan mesin deposit tunai. Selalunya Zaid memindahkan wang terus dari dalam akaun. Dugaan, dugaan. Benarlah dugaan datang dalam pelbagai bentuk. Semuanya menguji kesabaran kita. Jadi jalan yang terbaik ialah sabar, sabar. Bukankah sabar itu sebahagian daripada iman.
"Tunggu bank buka esok," cadang Syed. "Esok Ahad. Bank tutup lagi," jawab Zaid. "Dugaan lagi," getus Zaid di dalam hati. Tidak mungkin Zaid sanggup tunggu sehingga Isnin. "Nanti kau ke cawangan sana, tanya macam mana nak uruskan perkara ni. Kita dah nak balik."
"Ya la... Aku pun tak nak tunggu sini." Mereka berdua bergerak menuju ke pekan dengan berjalan kaki. Lagi pun tidak sejauh mana. "Kita beli sikit-sikit sudah, nanti susah nak bawa," cadang Zaid. "Susah apanya, teksi yang bawa. Bukan kena heret sepanjang jalan," balas Syed. "Ya, aku setuju. Jadi belilah selagi kita mampu membayar." "Haa, bijak, memang bijak." Bijak menghabiskan yang ada." Mereka berdua ketawa dan masuk ke kedai menjual coklat dan beg. Syed sibuk mencari coklat kegemaran. Zaid membelek beg yang dipamerkan di kaki lima kedai. Teringin hendak membeli beg baru. Syed membayar nilai coklat yang dibeli. Zaid juga mengeluarkan wang untuk membayar barang yang dibeli.
"Syed." "Ya, ada apa?" Soalan kembalikan kepada Zaid setelah nama Syed dipanggil. "Kat mana ada kedai tayar." "Mengapa?" Nak tukar sport rim roda beg ni." Kering jawapan Zaid. Syed senyum meleret dan mereka meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke tempat penginapan.
"Aku dah ambil gambar." "Nak buat apa?" Syed spontan sebaik sahaja Zaid bersuara. Lamunan tentang petang tadi hilang begitu sahaja. Syed tersenyum. "Kau ni mengapa? Asyik senyum ja," Zaid terus bersuara.
"Ya lah, beg tu pun kau ambil gambar." "Yalah, banyak jasanya pada aku. Aku terpaksa tinggalkan beg ni di sini.Tengok pemegang pun dah patah, jahitan tepi pun dah terkoyak. "Sampai hati ke kau nak buang dia, banyak jasa yang dicurahkan."
"Kan aku kata tak ada pilihan. Sampai hati ke, tak sampai ke, kena tinggal la... Selamat tinggallah wahai beg." Zaid mengeluarkan isi di dalam beg lama dan memindahkan ke dalam beg baru.