Wednesday, February 8, 2012

Mini Cerpen - Oh... Cuti (2)

Azrul meletakkan silanya dekat benar dengan emaknya yang sedang berbaring mengiring. Mak Chah menggerakkan sedikit kepalanya memerhati Azrul yang baru duduk itu. Kepala Mak Chah di atas bantal hijau berbunga kuning. “Mak pening atau sakit kepala?” Tangan kanan Azrul memegang kepala Mak Chah dekat dengan telinga dan menekan perlahan-lahan sambil menggerakkan jari ke arah belakang telinga. “Tak pening tapi rasa tak sedap saja.” “Demam?” “Tak lah.” “Kalau demam, Rul nak ambik ubat yang ada tu…” Tangannya bergerak ke tengah kepala Mak Chah. Dipicitnya perlahan-lahan turun ke bahagian tengkuk. “Sakit?” “Tak,” balas Mak Chah.
“Mak bawa le berehat. Jangan nak ke sawah saja. Sekarang ni kan panas terik.” Nasihat daripada seorang anak. Sebenar tidak sesuai sebagai nasihat tetapi lebih kepada peringatan. Mak Chah lebih tahu berbanding Azrul. Namun, niat Azrul murni kerana mengingatkan emaknya. “Rul.” “Ya mak,” sahut Azrul dan tangannya berhenti seketika daripada memicit kepada Mak Chah. “Ada tak Rul sembunyikan apa-apa daripada mak?” Azrul terdiam. Cuba memikirkan perkara yang dimaksudkan. Mencari sekiranya ada perbuatan yang boleh disampaikan oleh orang lain kepada emaknya. Serasanya tidak ada. “Sembunyi apanya, mak. Rul rasa-rasa tak ada apa-apa.”
Mak Chah bangun dari baringnya dan duduk bersimpuh. Azrul mengemaskan silanya. “Mak jaga Rul baru ini atau dah lama?” “Mengapa mak? Pelik saja bunyinya.” Mak Chah tersenyum. Menatap anak lelakinya itu dalam-dalam. “Mak tengok Rul dalam seminggu dua ini banyak diam. Macam tak cergas dan tak seperti sebelum ni.” “Mak, Rul rasa macam biasa saja.” “Itu kata Rul. Ini mak, mak yang menjaga Rul sejak kecil lagi. Kata orang sekilas ikan di air ….” “…sudah tahu jantan betinanya,” sampuk Azrul dan diikuti ketawa kecil antara dua beranak itu.
“Cerita le dangan mak, atau Rul tak sihat?” Azrul diam. Ungkapan yang ada di benaknya berpintal-pintal menjadi kusut untuk dilepaskan. Ketika dipanggil tadi pun Azrul sudah memikirkan cara yang paling baik untuk memberitahu kepada emaknya tentang pembedahan itu. Masih menimbang untuk memberitahu, malam ini atau esok-esok. “Atau pun putus cinta?” “Mak, ke situ pula. Cerita tu, ada edisi khas nanti.” “Rul, mana ada emak yang gembira bila tengok anaknya seperti susah hati atau tak sihat. Cuba Rul cakap.” “Memang betul, yang emak cakap tu, Rul setuju.” “Kalau setuju bagi tau mak, Rul ada masalah?”
Azrul menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Rambut hitamnya masih lebat dan tersikat rapi. “Mak, siang tadi Rul pergi jumpa doktor.” “Hah… mengapa?” Riak cemas mula menguasai Mak Chah. “Mak, tenang dulu. Itu yang Rul tak nak mula. Mak janji jangan cemas dan susah hati. Boleh?” Mak Chah kembali merenung muka anak lelakinya itu. Penuh tanda tanya. “Hah.. apanya Rul?” “Mak, gini. Rul pergi jumpa doktor tadi, doktor kata tak serius tapi tak ada ubat mak.” “Sakit apa tak ada ubat. Yang tak ada ubat ni mati saja…” “Mak, Rul perlu dibedah baru boleh sembuh.” “Kalau tak bedah?” “Tak boleh juga, mesti bedah.” Mak Chah merenung wajah anaknya dalam-dalam. Riak terkejut tergambar jelas. “Haa… tengok. Kalaulah mak tak tanya, tentu Rul tak bagi tau mak. Mak nampak Rul sehari dua ni pun tak secergas hari-hari dulu. Kebun pun dah banyak hari tak pergikan?” “Ya mak, tapi tak sempat bukannya apa-apa.”
“Mak masih ingat lagi, dulu masa Rul bedah perut dulu, seorang diri saja. Tak bagi tau mak dengan ayah pun waktu itu. Tau-tau kawan universiti yang hantar balik ke rumah. Jangan le buat lagi macam tu… mak ayah risau tau tak?” “Mak, Rul sayang mak, tu yang tak mau bagi tau.” “Rul, anak mak. Orang tua-tua tak kata sayang kalau macam tu. Orang tua-tua kata membelakangkan orang tua. Kalau jadi apa-apa macam mana? Tak kesian pada emak dengan ayah.” “Rul minta maaf mak. Rul tak nak susahkan mak ayah pada waktu tu. Lagi pun jauh. Jadi kawan-kawan universiti Rul yang tengok-tengok Rul. Baik mereka tu…”
Mak Chah memegang pipi Azrul dengan kedua-dua tapak tangannya. Kemudian menarik turun kedua-dua tapak tangan itu sampai ke dagu dan tersentuh janggut nipis anaknya. “Mak sayang Rul. Jaga diri baik-baik, kesihatan Rul juga kena jaga.” Mak Chah tersenyum lagi. Di matanya bersinar kaca air jernih yang bertakung. “Rul juga sayang mak. Rul janji tak akan buat mak risau lagi.” Bersama ungkapan itu juga, Azrul memegang tangan emaknya dan diangkat merapati mulutnya. Dicium lama belakang tangan Mak Chah. Mak Chah menggosok perlahan-lahan kepala Azrul. Sesungguhnya, kerisauan seorang emak tetap bersarang biarpun anaknya menjelaskan yang sakitnya hanya sedikit. Mak Chah tidak mahu memikirkan perkara yang buruk terhadap Azrul. Sehingga kini, Azrullah harapannya. Memang ajal maut ditentu Yang Maha Esa, namun diharapkan bukan masa ini. Cuma persoalannya, sampai bila Azrul sanggup bertahan?

Tuesday, February 7, 2012

Mini Cerpen - Oh... Cuti

Azrul menguakkan jendela rumahnya. Angin malam menerpa masuk tanpa diundang. Membelai mukanya dengan usapan manja. Terasa sejuk menyusup dari atas kulit menyelinap ke ruang roma dan sampai ke saraf untuk terus menghantar maklumat ke otak. Mukanya terasa sejuk. Di hadapannya berdiri gagah pohon-pohon kelapa. Daunnya dan pelepah meliuk-liuk disapa angin malam. Di celah-celah pelapah itu terang sang purnama. Azrul tersenyum sendirian. Bulan yang satu, masih di situ. Hatinya kembali kepada seseorang.
“Awak, maafkan saya. Apa lagi yang saya mampu katakan. Bukan niat untuk mengguris apatah lagi melukakan. Saat ini, saya mengharapkan yang awak juga melihat bulan yang satu,” monolog itu terbit bersama bersinarnya bulan di celah-celah pelepah kelapa itu. Azrul menikmati keindahan malam itu. Nyaman dan sekali sekala diganggu ngauman enjin motosikal anak remaja yang memecut di jalan kampung. Angin terus bertiup perlahan-lahan. Terdengar juga rengekan nakal nyamuk di telinga kiri dan kanan. Tangan kanannya mengibas-ngibas di telinga kiri dan kanan, menghalau nyamuk nakal itu.
Sesungguhnya, Azrul masih dihambat rasa bersalah kerana gagal menunaikan sesuatu. Cuti kali ini memang menjadikan benar-benar dihambat rasa bersalah. Tambahan pula cuti yang panjang. Bermula dengan cuti hujung minggu, bersambung dengan Maulidur Rasul, dan Thaipusam sekali gus. Panjangnya bagi orang seperti Azrul yang menanti hari bekerja. Mengapa? Azrul sahaja yang ada jawapannya. Jiwanya masih mengharapkan agar buah hatinya benar-benar mengerti. Dia membaringkan diri di atas katil bujang itu dan jelas melihat sang bulan di angkasa. Cerah bertemankan bintang.
Sejenak, Azrul memejamkan mata dan mengenang peristiwa petang semalam sewaktu dalam perjalanan ke pekan. Takdirnya sudah begitu. Dalam deretan kereta yang panjang, Azrul terleka seketika memerhati kereta di hadapannya membelok. Tanpa disedari kereta di hadapan yang satu lagi berhenti kerana lampu isyarat merah. Sesedarnya, kereta itu benar-benar di hadapannya. Antara membrek atau membelok, Azrul membelok sedikit. Mampu dielak kereta itu walaupun keretanya agak ke tengah jalan. Syukur, selamat. Pada masa yang sama, bunyi brek yang panjang kedengaran. Azrul melihat cermin pandang belakang, sebuah Waja menuju laju ke arah keretanya dan gedegum… keretanya tersorong ke depan.
Azrul menghela nafas panjang. Memberi isyarat ke kiri dan turun dari kereta. Tuan punya kereta yang melanggar belakang kereta Azrul pun turut turun sama. Azrul menghulur tangan untuk bersalam. “Oh, encik sikit saja ni, tak teruk pun. Saya yang teruk. Tengok, plat nombor dan lampu saya pecah. Belakang kereta encik calar sikit saja.” Azrul diam. Memerhati sahaja pemandu yang boleh dipanggil dengan pangkat abang. “Kira selesai lah,“ kata pemandu itu lagi. “Bukan kira calar sikit atau pecah, bang. Abang cuai (walaupun aku juga hampir melanggar kereta hadapan). Kalaulah luruh bumper belakang ini, macam mana? Itu bumper ok lagi, kalau cedera, apa pula abang nak kata? Boleh abang kata sikit saja ni, baru terkoyak kulit kepala, tak pecah tempurung kepala lagi. Atau patah sikit saja ni tak putus terus. Boleh kata macam tu?”Azrul diam, pemandu itu juga diam. “Kita selesai di sini saja ya, encik?” Sebenarnya, Azrul menanti ucapan maaf daripada pemandu itu. Sudahnya, ucapan maaf dan terima kasih tidak terucap juga. Naik kereta dan berlalu. Benarlah dalam dunia teknologi ini, nipisnya nilai kemanusiaan, dan tebalnya nilai keegoan. Sukarkah mengucapkan maaf dan terima kasih? Azrul mengetap bibir. Tangan kanannya menampar pipi kiri untuk membunuh nyamuk yang mahu mencuri darahnya. Mata dibuka dan bulan sudah berubah tempat letaknya, sikit ke barat. Hatinya berbicara lagi, “Awak, maaf saya tetap mengingati awak.” Angin malam terus-terusan menghembus. Nyamuk juga tidak malu-malu mahu mencuri darahnya.
Azrul bangun dan duduk mendakap lutut, namun matanya tetap pada sang bulan. Cantik dan menawan. Laut fikirnya memikirkan ungkapan doktor petang tadi. Selepas melakukan pemeriksaan, Azrul kembali duduk di kerusi sisi sebelah kanan doktor itu. Doktor menarik fail yang berkulit kuning, membuka dan melukis sesuatu berpandukan gambar ultrasound yang dicetak keluar. “Encik, ini masalah biasa yang boleh berlaku tapi jarang sangat. Encik sakit?” “Sakit tu tidak sangat tapi tidak selesa. Kadang-kadang sakit, kadang-kadang rasa sangat tidak selesa.” Doktor itu tersenyum mesra dan menyatakan istilah yang Azrul sendiri tidak mampu mengingatnya. Pastinya, penerangan doktor sikit meresahkan. “Doktor, apa alternatif yang saya ada?” Doktor tersenyum lagi dan penuh yakin. “Tidak ada alternatif lain, kecuali operation.” “Ubat?” “Pun tak ada.” Azrul diam. Memandang doktor dengan penuh harapan. Disandarkan badan ke kerusi yang berwarna oren itu. Dan cuba mengukir senyum tapi sangat tawar.
“Doktor.” “Ya.” “Kebarangkalian risiko yang mungkin saya hadapi?” “Sangat kurang.” “Saya nak pastikan risiko sekiranya saya menjalani pembedahan.” “Encik, saya yakin sangat kurang. Jangan risau.” Azrul cuba untuk senyum lagi, masih gagal. “Encik balik dulu, cari masa yang sesuai dan datang semula jumpa saya,” terang doktor itu. Azrul bangun sambil mengucapkan terima kasih dan bersalam dengan doktor itu. Sewaktu melangkah keluar dari bilik doktor itu, Azrul memikirkan cara-cara untuk memberitahu emaknya. Bagaimanakah cara yang terbaik, agar emaknya tidak terkejut atau risau dengan keadaannya. Angin malam masih menyapanya.
“Azrul, Azrul.” “Ya mak.” “Turun sini picit kepala mak.” “Kejap mak, nak tutup tingkap.” Azrul bingkas bangun. Memerhati bulan yang satu kemudian menutup jendela yang terkuak itu. Membetulkan kain pelekatnya dan turun sambil memikirkan cara-cara untuk memberitahu emaknya. Sekarang atau esok-esok. Cutinya berakhir malam ini dan esok akan meneruskan rutin kerja. Akan bertandangkah yang dinanti-nanti?

Thursday, February 2, 2012

Mini Cerpen - Lewat

Beberapa orang pengawas yang bertugas berdiri di hadapan pintu pagar. Menahan dan mencatat nama pelajar yang datang lewat. Zia bersama rakan-rakan yang lain bertugas pada minggu ini. Memakai blazer biru dan bertali leher. Tudung biru dimasukkan ke dalam baju. Kemas. Comel dan menawan. Dua orang pelajar bermotosikal melewati pintu pagar. Zia menahan. “Nama?” Dua orang pelajar itu tidak menjawab. Mereka turun dari motosikal dan menanggalkan topi keledar. “Nama?” sekali lagi Zia mengulangi soalannya. Mereka berdua berpandangan dan tersenyum. Mengundang rasa geram di hati Zia.
“Azrul Danial Dahlan.” “Seorang lagi?” “Zainal Abidin Zainon.” Salah seorang rakan Zia mencatat nama mereka berdua. Zia memandang kepada rakannya dan apabila siap mencatat nama, Zia kembali memandang ke arah Azrul dan Zainal. “Alasan lewat?” Mereka berdua diam. Memandang antara satu sama lain seakan-akan mencari alasan datang lewat ke sekolah. “Cepatlah, sebab datang lewat ni. Saya nak catat alasan awak,” jelas Zia.
“Sebab saya suka awak!” Ringkas daripada Azrul. Dia tidak lagi senyum-senyum tapi nampak serius. Muka Zia merah padam. Hati Zia yang geram tadi bertukar terbakar. Bukan jawapan itu yang dia mahu. Rakan-rakan Zia juga seakan seperti Zia, ada sedikit rasa marah.
“Awak jangan main-main. Saya tanya serius ni!” “Saya pun serius, saya suka awak sebab itu saya datang lambat.” “Menyampah!” Getus Zia semakin terbakar hatinya. “Cepatlah, kami nak tulis ni,” desak Zia lagi. “Kan saya dah bagi jawapan.” “Jawapan itu tak boleh diterima dan tak menjawab soalan.” “Itu alasan saya. Mana ada alasan yang betul atau salah. Tulis sudahlah.” Jawapan Azrul terus mengundang panas di hati Zia. “Awak jangan main-main, cakap la alasan awak,” Zia separuh memujuk walaupun hatinya geram. “Awak tulislah tayar pancit,” sambung Zainal yang sedar Zia dan rakan-rakannya seakan hendak marah. Seketika Zia memandang ke arah padang bola dan waktu itu juga muncul Cikgu Zul.
“Ni pasal apa lambat?” suara kuat Cikgu Zul dari jauh. Azrul dan Zainal memandang sesama sendiri. Zia masih memandang mereka berdua dengan rasa geram. Dalam hatinya berasa puas sebaik Cikgu Zul muncul. “Haa… cakap la… kata awak suka saya,” balas Zia kepada Azrul yang terdiam. Azrul memandang Zia dengan jelingan tajam. “Baik, ini masa awak, nanti masa aku akan tiba,” Azrul berkata-kata di dalam hati.
“Dua-dua tolak motor keliling padang,” arah Cikgu Zul kepada Azrul dan Zainal. Zia menghadiahkan senyuman manis tanda puas buat Azrul dan Zainal. Sambil berlalu Azrul bersuara, “Saya datang lambat sebab saya suka awak. Jadi, saya boleh jumpa awak setiap kali awak bertugas. Jumpa lagi!” Suaranya perlahan agar tidak didengari Cikgu Zul. Kedua-duanya berlalu sambil menolak motosikal ke arah padang.

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan