Monday, September 26, 2011

Air Mata Isteri - Sebuah Catatan

Kelmarin aku menziarah kematian ahli keluarga yang mempunyai pertalian yang agak dekat walaupun keadaan kesihatan kurang memberangsangkan. Setelah sekian lama tidak bertandang ke rumah itu, inilah masanya selepas hampir lima tahun tidak bertandang. Kematian datang dengan tiba-tiba, tiada sesiapa yang menjangka. Di satu sudut anak kecil yang baru berusia empat tahun masih riang bermain dan berlari-lari bersama-sama dengan sepupunya. Di satu sudut, orang dewasa bersembang sesama sendiri ada ketika membangkitkan ketawa. Di satu sudut, orang dewasa kelihatan sugul dan merah matanya. Di dalam rumah jenazah sedang dimandikan, akan dikafan, akan disembahyangkan dan akan dikebumikan.
Di satu sudut, seorang wanita yang separuh umur memegang tiang, di tangannya ada sapu tangan yang digenggam erat, diusap-usap belakang dengan perlahan oleh saudara terdekat. Matanya merah, seketika berbicara dengan saudara yang menziarah, dan bersalaman serta membetulkan kain tudungnya. Jenazah di dalam rumah sedang dikafankan, penziarah-penziarah menunggu giliran mengambil air sembahyang. Seketika ada suara yang memanggil, menjemput hadirin menyembahyangkan jenazah.
Keranda diangkat dibawa ke tanah kuburan. Wanita yang menggenggam sapu tangan tadi bertambah sedu. Ada saudara yang memeluknya. Dua matanya terus basah, air mata semakin bah mengalir menjatuhi tubir matanya. Deras dan berpanjangan. Itulah perjalanan keluar terakhir suaminya yang tercinta. Perjalanan itu pasti tidak akan kembali. Itulah perpisahan yang tidak akan ada pertemuan lagi di dunia yang fana ini. Sayang kepada suaminya tetap ada walaupun hati suaminya itu berkongsi dua. Isteri mana yang tidak menyayangi suaminya, apatah lagi segala-galanya dikongsi sewaktu hidup bersama. Sendu bertambah apabila jenazah dibawa ke liang lahad. Itulah tanda isteri menghantar suaminya dengan kasih sayang, tambahan pula selama ini menjadi penyejuk di mata penawar di hati.
Hargailah masa yang ada. Emak berpesan, “Kalau nak sayang, sayanglah sekarang, jangan dinanti-nanti. Esok kalau dah mati, dah tak berguna lagi walau berpisah hanya sejarak enam kaki di dalam bumi.”

Thursday, September 22, 2011

Sifat Sahabat Mulia

Mempunyai sahabat sejati merupakan anugerah yang tidak ternilai kerana sahabat boleh mempengaruhi atau mewarnai corak kehidupan kita, baik sahabat maka baiklah perilaku seseorang walaupun ada juga yang tidak termasuk dalam golongan ini.

SIFAT SAHABAT MULIA - mari kita renungkan bersama-sama

1. Memiliki akhlak dan pekerti yang baik

Seseorang yang disenangi, berbudi pekerti dan mematuhi perintah Allah, berbicara dengan kelembutan dan kesopanan.

2. Menutup keburukan dan kekurangan sahabat.

Tidak menyebut kepada orang lain, baik sewaktu kita ada atau tiada. Rasulullah SAW bersabda,"Sesiapa yang menutup keburukan saudaranya, maka Allah akan menutup keburukannya di akhirat," riwayat Ibnu Majah.

3. Memperbesarkan kebaikan yang dilakukan sahabat.

Menyenangi kebaikan, bertanya khabar, berkongsi masalah, sering cuba membantu, dan penghibur di kala sedih.

4. Menyebut kebaikan.

Mengingati dan menghargai sesuatu kebaikan yang diberikan oleh sahabatnya. Tidak menyebut perkara yang tidak disenangi demi menjaga perasaan.

5. Mudah mengalah.

Jika berlaku perselisihan, nescaya mengalah salah seorang untuk menjaga hubungan.

6. Mendorong ke arah kejayaan.

Menasihat dan dinasihati untuk kejayaan dunia dan akhirat.

7. Makin menghormati.

Semakin lama bersahabat, semakin tinggi nilai hormat, tidak mempersenda walaupun remeh.

Monday, September 19, 2011

Kebesaran-Nya

Memerhati dengan mata hati mendekatkan diri kita dengan kebesaran Ilahi. Setiap perkara yang dicipta Yang Maha Esa member petunjuk yang amat jelas kepada kita. Malahan, apa-apa sahaja yang dicipta pasti akan membawa kepada Kebesaran Yang Maha Esa.
Bayangkan, kecanggihan teknologi maklumat yang ada hari ini sudah cukup dikagumi. Maklumat berada di hujung jari. Berhubungan sesama insan juga hanya berada di hujung jari. Urusan kewangan, tidak lagi perlu menunggu waktu bank dibuka sahaja, selagi ada teknologi, selagi itu manusia mampu untuk berurusan dalam kehidupan seharian. Itu baru berkaitan kecanggihan teknologi ciptaan manusia. Kecanggihan teknologi menjadikan dunia tanpa sempadan hanya berasaskan pemikiran manusia yang ilmu amat terbatas. Sekiranya, ciptaan itu sudah sampai ke peringkat mengagumkan, inikan pula ciptaan Yang Maha Esa. Dalam kejadian mahkluk-mahkluk lain ada kekuasaan-Nya, malahan kita turut diminta melihat kebesaran Allah melalui kejadian seekor unta sekalipun. Kita perlu membuka mata hati untuk memikirkannya dan mudah-mudahan kita semakin dekat dengan rahmat Yang Maha Esa.

Thursday, September 15, 2011

Mini Cerpen - Sikit terguris

Zed menggalas beg menuju ke kereta. Matanya sukar dicelik luas. Matahari yang membahang itu menjadikan matanya disepetkan. Langkahnya ditemani longlai. Hatinya sikit terguris. Tapi siapa yang tahu? Betul ,tidak ada sesiapa yang tahu, malah kawan baiknya juga tidak tahu.
Dalam perbualan yang rancak itu, Karim mengeluarkan dialog, “Saya lain, awak pegawai tinggi.”
“Betul, aku setuju,” sampuk Budin.
“Karim, dalam berkawan, soal pegawai tinggi atau rendah tidak timbul. Apa yang membezakan awak dengan saya? Kita sama kan?” Zed menghabiskan kopi O ais dan bangun.
“Awak nak ke mana?”
“Saya ada kerja yang perlu diselesaikan,” jawab Zed.
Kerja-kerja di pejabat cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin. Esok cuti. Kalau ditangguh, akan bertimbunlah kerja nanti. Namun hati kecil Zed tidak segembira hari-hari yang dilalui. Dia tidak suka kalau kedudukan yang dijadikan perbandingan. Sepatutnya Karim tahu. Sepatutnya Budin tahu. Bukan sehari dua dia berkawan dengan Karim dan Budin. Dan dia berharap bukan Karim sahaja, malah kawan-kawan yang lain juga. Soal pangkat tidak membezakan hubungan persahabatan. Bukankah apabila kita mati nanti kita akan dikafan dengan kain putih juga. Tidak ada beza. Zed harap kawan-kawannya mengerti, terutama kawan baiknya.
Dia pulang dengan hati yang berbaur-baur.

Monday, September 12, 2011

Mini Cerpen - Andainya...

Jun merenung ke arah bendang yang terbentang di belakang rumah melalui tingkap yang terbuka luas. Dari biliknya kelihatan tunggul-tunggul padi yang hampir ditenggelami air. Sekarang musim hujan. Hari ini hujan sejak semalam. Pergerakannya juga menjadi malas-malas. Di bendang itulah dia bersama adik-adik menangkap atau mengail ikan apabila tiba musim padi ditanam. Tapi semua itu berlalu sudah. Musim berganti dan kini tumpuan bukan lagi kepada aktiviti yang dipenuhinya pada zaman kanak-kanak. Jun tersenyum sendirian. Zaman kanak-kanak memang menyenangkan.
Entah mengapa sejak akhir-akhir ini hatinya resah tidak keruan. Ruang masa tanpa kerja menjadikan diri gelisah, masa terlalu panjang, detik yang berlalu terlalu lambat dan dia pendamkan di dalam hati. Sesekali mendengus seakan mengeluh.
“Agak-agak, andainya kita jumpa dulu bagaimana?”
“Bagaimana apa?” balas Zaidi.
“Yalah, agak-agak awak, kita boleh berkawan?”
“Boleh, kan sekarang kita juga berkawan.”
“Susahnya bercakap dengan orang yang pandai berkata-kata.”
“Ok, saya faham maksud awak. Mungkin… kan kita pernah jumpa di kampus dulu, waktu awak buat diploma. Awak buat tak tau kat saya.”
“Mana ada, saya tak pernah juga awak pun.”
“Tapi kalau jumpa pun awak tak akan berkawan dengan saya, sebabnya saya selekeh…”
“Ah… alasan mudah untuk mengelak,” balas Jun yang mudah tersenyum sebaik bertembung dengan Zaidi. Perbualan itu terasa melekat di kepalanya. Di luar kembali gerimis.
“Serasa awak, dua hari cuti panjang atau pendek?”
“Bergantung kepada keadaan. Kalau saya sibuk, terasa pendek, kalau santai-santai terasa panjang. Awak?”
“Mestilah pendek, dua hari. Tak sempat nak tidur puas-puas. Tak sempat nak menebas di kebun, tak sempat nak meracun rumput, tak sempat nak tengok kolam ikan keli, tak sempat duduk saja-saja…” balas Zaidi sambil tersenyum yang meleret.
“Amboi, banyaknya kerja awak… jadi tak rasa panjang le???” sekali lagi soalan tersebut dilafazkan.
Zaidi tersenyum. Dahi dikerutkan dan mengangguk-anggukkan kepala.
“Saya cuba pertimbangkan…”
“Menyampah!”
“Lebih baik kita berjumpa dan berkawan dalam keadaan sekarang. Itu realitinya, awak setuju atau tidak?”
“Tak pasti!”
“Begini, kalau kita berkawan dulu, tentu tidak akan jadi seperti kawan biasa. Awak faham maksud saya?”
Jun tidak menunjukkan reaksi. Menunggu terus ucapan daripada Zaidi. Zaidi mengherotkan mulutnya. Memerhati sahaja wajah Jun.
“Saya yakin, andainya kita berjumpa dulu, kita tidak akan berkawan seperti sekarang.”
“Mengapa pula?” Jun membalas penyataan itu untuk mendapat penjelasan selanjutnya.
“Andainya kita berjumpa dulu, kita akan bermula dengan berkawan biasa, kemudian kita akan bercinta, dan selepas itu awak akan menyimpan marah yang mendalam pada saya.”
Zaidi menghentikan ayatnya. Dia tahu soalan akan terbit dari mulut Jun tentang marah yang mendalam.
“Sebab?”
“Sebab saya akan tinggalkan awak, jodoh awak bukan dengan saya. Bila saya tinggalkan awak dan awak akan marah, malahan mungkin akan benci. Kesimpulannya, baik kita berkawan sekarang ini. Setuju?”
Jun diam. Dia hilang kata-kata. Apakah ada kebenarannya atau sekadar hujah yang disampaikan oleh seorang kawan.
“Dan kalau awak merasakan dua hari cuti itu panjang, sebenarnya awak menyimpan perasaan rindu. Rindu pada saya. Betulkan awak rindu? Betulkan?”
Jun diam lagi. Zaidi mengangkat kening tanda mahu jawapan. Jun tersenyum tawar.
“Yalah tu… Awak?”
Zaidi tersenyum dan berlalu. Zaidi membiarkan Jun berteka-teki. Sesekali timbul rasa geram dengan persoalan yang tidak terjawab. Hujan di luar semakin lebat. Esok dinanti dengan lambat. Hati Jun hebat dilanda rindu…

Wednesday, September 7, 2011

Berkawan

Dalam satu syarah berkaitan akhlak, kita berkawan dengan tiga peringkat.



1. Golongan yang ilmunya melebihi tahap yang kita miliki, maka bersyukurlah kerana kita mempunyai guru yang boleh menegur, membimbing, dan menjadi tempat rujukan serta boleh membetulkan kita ketika tersasar.


2. Golongan yang ilmunya sama taraf dengan kita, maka bersyukurlah kerana kita mempunyai rakan yang boleh berbincang dan sama-sama mendorong untuk mencari kebenaran.


3. Golongan yang ilmunya berada di bawah kita, maka bersyukurlah kerana kita mempunyai peluang untuk membimbingnya dengan ilmu yang kita miliki, menegur atau membetulkan rakan kita, mudah-mudahan menjadi kebajikan. Jangan memandang rendah kepada yang kurang apatah lagi menghina.


Akhlak yang baik, tidak pernah berasa diri ada kelebihan sehingga meletakkan orang lain sentiasa di bawah. Ketakwaan yang dipandang Allah. Fikir sejenak...

Tuesday, September 6, 2011

Terikat Janji




Akad berwali, ijab bersaksi, janji termeteri, sah bergelar suami isteri. Berkahwin bermakna perkongsian hidup antara suami dengan isteri. Berkahwin bukan bermakna menguasai antara satu sama lain. Jauh sekali untuk mengongkong. Kepada yang baru bergelar suami isteri, SELAMAT PENGANTIN BARU, layarilah bahtera rumah tangga dengan penuh keimanan dan kesabaran. Suami menjadi pembimbing sejati, isteri menjadi pengikut yang setia selagi tidak melanggar hukum-hukum syarak.

Sebelum terikat janji, pastikan restu ayah dan ibu, baik anak mahupun menantu. Redha Allah dengan adanya redha ibu dan ayah. Jangan menongkah arus menentang badai yang sengaja dicipta. Larangan ibu dan ayah ada sebabnya. Tidak ada ibu dan ayah yang mahu anak-anak melayari bahtera rumah tangga dalam sengsara. Jadi, pastikan ada restu ibu dan ayah.

Yang sudah lama menjadi pengantin, eratkan hubungan semoga berbahagia ke akhir hayat.



“Masa berubah, zaman berubah, tapi ketaatan dan kepatuhan kita kepada ibu bapa tidak boleh berubah. Biar 10, 100 atau 1000 tahun, mereka permulaan kita. Cinta juga tidak dapat mengubah ketaatan itu." -Petikan novel...

Insan Kerdil

Tahun baru menjelma lagi bermakna usia kita makin berkurangan, selangkah lagi kita menghampiri perkuburan. Tuntutan dalam kehidupan perlu dipenuhi sebaik mungkin. Pada masa yang sama kita tidak perlu lupa yang usia kian dimamah waktu yang tidak menunggu sesiapa. Dalam mengejar kehidupan dunia sesekali kita terlupa yang kita ini insan kerdil apatah lagi ada waktu-waktunya kita didakap rasa ego yang meninggi. Itulah insan. Penuh dengan kelemahan dan sentiasa perlu didik hatinya dengan menggunakan akal dan iman untuk kembali kepada asal manusiawi.
Manusia merupakan sebaik-baik kejadian tetapi manusia juga boleh menjadi seburuk-buruk kejadian akibat daripada tingkah laku, sikap, dan perbuatan terhadap orang lain. Tidak ada manusia dalam kelompok haiwan tetapi terdapatnya haiwan dalam kelompok manusia. Renung-renungkanlah agar mendatang manfaat kepada kita. Oleh itu dalam usia yang terbatas ini, terasa usia yang dimiliki tidak sepanjang mana untuk mencari bekal bagi menghadapi pelayaran yang cukup panjang nanti.
Perjalanan yang jauh dengan bekal yang sedikit sudah tentu mengundang sengsara yang berpanjangan, apatah lagi dalam hidup ini kita tidak mencari bekal yang banyak hanya dengan alasan sibuk dan terlalu sibuk (barangkali aku juga). Oleh itu marilah kita sama-sama mengingati Allah dan berusaha untuk menjadi sebaik-baik hamba dengan usia yang ada, Insya-Allah.

Ciptaan Agung

Ciptaan Agung
Keindahan alam dan kekuasaan Yang Maha Esa - Senja di Langkawi

Musim Sekolah

Kunjungan tahun baru biasanya menjadikan ibu bapa sibuk bersiap sedia untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak. Dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, semestinya ibu bapa menghadapi tekanan kewangan apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap. Tuntutan itu menjadikan ibu bapa terpaksa berkorban dan bekerja keras untuk memenuhi keperluan anak-anak. Barangkali bagi yang kurang berada mengharapkan anak-anak mengerti agar dapat menghargai pengorbanan ibu bapa dan yang benar-benar mampu diberikan ialah pelajaran untuk menjamin masa depan. Oleh itu anak-anak perlu insaf agar tidak mengsia-siakan pengorbanan ibu bapa.
Dalam menghitung perbelanjaan persekolahan anak-anak, ibu dan ayah akan melakukan apa-apa sahaja asalkan kelengkapan anak-anak dapat disediakan. Mak ayah yang mempunyai bilangan zuriat yang ramai semestinya terpaksa menanggung lebih jumlah perbelanjaan yang diperlukan. Bayangkan sekiranya mempunyai 7 atau 8 atau 9 orang anak, dan paling kurang 5 atau 6 anak sudah bersekolah. Dianggarkan seorang anak akan menggunakan perbelajaan untuk baju, seluar, stokin, kasut, beg, buku, dan bayaran tambahan persekolahan (dulu yuran, sekarang ni ubah nama saja, konsepnya sama) dalam lingkungan RM300. Banyak yang perlu disediakan apabila musim persekolahan bermula.

Alam untuk direnung

Alam untuk direnung
Hidup memerlukan renungan